Cari @ Amanz

Tahun 2021 sepatutnya menjadi tahun yang lebih baik, tetapi setakat ini masih banyak cabaran dan dugaan. Antara perkara yang mengecewakan adalah WhatsApp mula menyatakan mereka menggunakan data pengguna untuk produk Facebook. Disebabkan polisi baharu ini, orang ramai mula beralih ke Telegram dan Signal. Takut dengan peralihan ini, WhatsApp mula menyebarkan iklan pula bagi mengingatkan pengguna yang mereka masih menghormati dan menjaga privasi pengguna. Iklan ini turut tersebar kepada pengguna tempatan hari ini.

Walaupun WhatsApp nyatakan ia adalah untuk pengguna perniagaan, WhatsApp tetap dikritik ramai sehingga menangguhkan polisi baharui ini. Ini membuatkan pesaing mula menambah ciri baru seumpama WhatsApp, WhatsApp menambah ciri sekuriti biometrik dan Telegram yang menawarkan kemampuan mengimport data WhatsApp ke platform permesejan lain. Peguam tempatan turut sarankan pengguna beralih ke Telegram jika tidak bersetuju dengan polisi WhatsApp.

Terkini, Telegram telah melancarkan kemampuan mengimport data WhatsApp ke platform mereka atau Line, dan KakaoTalk. Ini adalah artikel tutorial, bagaimana anda boleh mengimport data WhatsApp ke Telegram agar and boleh memulakan peralihan sepenuhnya.


  • Amaran
  • Ada kemungkinan besar jika data anda terlampau berat, proses pemindahan akan tergendala. Usah risau, cuba sahaja sekali lagi.

Pertama: Memilih Perbualan Yang Diinginkan Atau Yang Penting

Proses pemindahan ini nampak mudah tetapi sebenarnya ia agak leceh. Ini kerana anda tidak boleh mengimport semua data WhatsApp anda secara serentak. Tidak kira perbualan individu atau berkumpulan, anda hanya boleh lakukan proses pemindahan ini satu demi satu.

Untuk memulakan proses ini, pastikan anda sudah memasang dan mendaftar akaun Telegram untuk proses yang lebih lancar. Seterusnya, buka aplikasi WhatsApp dan pilih perbualan yang anda inginkan. Ada dua cara untuk anda eksport data WhatsApp dan improt ke Telegram.

Android: Buka perbualan individu/kumpulan tekan menu tiga titik dan tekan More, pilih Export Chat, dan talam perkongsian akan muncul – pilih Telegram.

iOS: Buka butiran perbualan individu/kumpulan, di bawah sekali akan ada butang “Export Chat”, atau di halaman utama (iOS) anda tatal ke sisi untuk lihat pilihan menu tiga titik “More” dan “Archive“. Tekan more dan tekan export.

Kedua: Pilih Media Dan Kenalan/Kumpulan Di Telegram

Selepas menekan eksport anda akan diminta memilih untuk Attach Media atau Without Media. Ini adalah pilihan sama ada anda ingin fail-fail seperti dokumen, imej, rakaman suara, pautan dan lain-lain ke platform permesejan baharu. Ini membenarkan anda untuk teruskan sambung perbualan dari WhatsApp atau mulakan yang baru tanpa sebarang media. Proses mengeksport akan bermula.

Talam perkongsian akan mula muncul dan anda dikehendaki memilih aplikasi Telegram. Jika anda tidak memasang lagi aplikasi Telegram, ia tidak akan muncul dalam talam perkongsian ini. Aplikasi Telegram akan terbuka dan anda dikehendaki memilih kenalan individu untuk pemindahan data dan atau pilih kumpulan. Jika kumpulan itu tiada anda dibenarkan cipta kumpulan baharu.

Jika anda memilih untuk cipta kumpulan baru, tetingkap pengesahan akan muncul untuk anda sahkan keputusan anda. Selepas itu, skrin memuat dengan animasi itik comel memindahkan barangan dari beg bimbit ke rak akan muncul. Masa memuat adalah bergantung kepada data setiap perbualan. Lebih besar, lebih lama.

Ketiga: Selesai Dan Terus Buat Semakan Di Telegram

Skrin memuat itik comel tadi akan memaparkan beg bimbit yang sudah kosong dengan ayat “Chat imported successfully” dan anda dikehendaki tekan done. Tetingkap Telegram iniakan terus terpadam dan anda akan pergi ke WhatsApp kembali secara automatik. Usah risau dengan perkara ini, tutup WhatsApp dan buka kembali Telegram.

Anda akan lihat akan ada senarai perbualan baru muncul di Telegram. Perbualan di dalam Telegram ini akan tidak tersusun, tetapi berikan ia masa beberapa saat atau sehingga satu minit bergantung kepada jumlah data anda. Masalah yang saya temui adalah mesej yang anda hantar dari WhatsApp akan dipaparkan seakan anda yang menerima mesej. Sekali lagi jangan risau, yang lepas kita lupakan – ayuh mulakan yang baru.

Mesej baru yang anda hantar dari Telegram barulah akan dipaparkan seperti biasa.

Keempat: Nikmati Pengalaman Permesejan Tanpa Dijejak/Dipantau Facebook

Bagi mereka yang skeptikal, was-was atau takut dengan WhatsApp – selamat menikmati pengalaman permesejan baharu tanpa dijejak atau dipantau oleh Facebook.

Dengan kaedah yang lebih kurang sama juga, anda boleh lakukan proses pemindahan ke Line atau KakaoTalk. Adakah anda memang pengguna Telegram, atau baru ingin beralih ke platform ini? Kongsi pendapat anda di ruangan komen mengenai aplikasi permesejan terbaik dan yang anda sedang gunakan. Atau apakah pendapat anda mengenai polisi baharu WhatsApp ini?

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd