Xiaomi Akan Hadir Dengan Cip Komputer Tersendiri Pada 29 Mac – Pesaing M1?

Diterbitkan pada Mac 26, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Empat tahun lepas, Xiaomi melancarkan cip pemprosesan Surge S1. Ia adalah cip yang bersaing dengan Snapdragon 625 dengan empat-teras A53 2.2GHz dan empat-teras A53 1.4GHz. Ia juga adalah cip 64-bit dengan GPU Mali-T860 dengan sokongan piawaian Vulkan, rekaan 28nm dan juga mempunyai modem yang menyokong VoLTE.

Cip ini menguasai peranti Xiaomi Mi5C, yang mana adalah pengganti kepada Mi 4C yang cukup popular. Cip ini tidak cukup hebat dan peranti Xiaomi ini mempunyai banyak masalah. Ia adalah projek gagal daripada Xiaomi. Tahun lepas Xiaomi katakan mereka akan teruskan usaha menghasilkan cip pemprosesan tersendiri dengan bekerjasama dengan MediaTek. Dengan kejayaan Apple melalui Apple Silicon, iaitu cip M1 – semua pengeluar peranti dan syarikat cip pemprosesan mula berhasrat untuk hadir dengan pesaing. Terkini, Xiaomi menyatakan yang mereka akan hadir dengan cip pemprosesan baharu tersendiri pada 29 Mac kelak.

Dengan barisan komputer riba yang cukup popular, Xiaomi mungkin akan hadir dengan sebuah komputer riba asas untuk menggunakan cip pemprosesan tersendiri. Tetapi, masih tidak jelas lagi sama ada ia adalah cip komputer ARM atau X86. Setakat ini Surge S1 adalah satu kegagalan. Adakah Xiaomi akan bekerjasama dengan MediaTek untuk satu perubahan? Tarikh 29 Mac adalah tarikh di mana banyak peranti Xiaomi akan umumkan termasuk Mi MIX Fold, MI 11 Ultra dab banyak lagi.

MediaTek juga masih tidak mempunyai cip pemprosesan yang cukup berkuasa untuk komputer. Tahun lepas MediaTek laporkan akan hadir dengan cip untuk Chromebook, adakah Xiaomi akan hadir dengan komputer Chromebook pertama? Sama-sama kita nantikan.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami