Minggu lalu sekali lagi dilaporkan Google akan menggunakan cip keluaran sendiri dengan bantuan dari Samsung. Ia meneruskan ura-ura tahun bahawa cip Whitechapel akan digunakan pada Pixel 6 yang akan dilancarkan sekitar September kelak. Terdapat pelbagai spekulasi mengenai cip yang sedang dibangunkan kerana maklumat lebih terperinci masih lagi misteri. Maka benarkan kami menulis mengenai Pro dan Kontra peranti Google Pixel menggunakan cip kendiri
1.PRO – Kawalan Komponen Yang Lebih Baik Seperti Apple

Sebelum ini kesemua peranti Pixel dan Nexus menggunakan cip keluaran Qualcomm. Setahu kami Google tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengarahkan Qualcomm untuk menyertakan ciri-ciri yang mereka inginkan. Oleh itu perani Pixel dan Nexus hanya boleh menyokong set ciri-ciri yang disertakan oleh Qualcomm. Sekiranya mereka ingin menambah ciri unik, cip sendiri perlu ditambah. Inilah berlaku empat tahun lalu apabila cip Pixel Visual Core dan kemudiannya Pixel Neural Core digunakan pada Pixel 2 dan Pixel 4 bagi memberikan kemampuan fotografi yang lebih baik.
Dengan pembangunan kendiri, Google boleh mengintegrasikan cip pemproses imej pereka terus pada cip Whitechapel seperti Qualcomm menyertakan cip Spectra terus pada cip Snapdragon. Seperti yang dilakukan Huawei pada cip Kirin, kawalan yang ke atas cip pemproses membolehkan pemproses yang lemah di atas kertas masih mampu memberikan prestasi yang baik selepas tiga tahun serta kemampuan fotografi yang masih antara terbaik dalam kelas.
2.KONTRA – Nama Snapdragon Lebih Dikenali

Nama Snapdragon adalah sinonim dengan prestasi pemproses yang baik pada peranti Android. Walaupun perbezaan prestasi di antara Snapdragon, Exynos, Kirin dan Dimensity tidak begitu besar, ramai yang masih akan memilih Snapdragon atas sebab reputasinya yang baik. Isu yang akan berlaku kelak ialah adalah prestasi cip buatan sendiri ini akan mampu menandingi Snapdragon?
Google akan menerima bantuan dari Samsung yang sehingga kini tidak mampu menghasilkan cip Exynos yang sepantas Snapdragon. Akibatnya Pixel yang pada waktu ini hanya menarik minat pengguna ethusiast mungkin akan semakin terjejas jualannya. Lihat sahaja di Malaysia di mana lebih ramai menyukai Galaxy S20 FE 5G dengan Snapdragon 865 berbanding Galaxy S20 dengan Exynos 990.
3.PRO – Kemaskini Perisian Yang Lebih Lama

Satu-satunya peranti Android yang menerima kemas kini selama lima tahun secara rasmi ialah Fairphone 2. Ia baru sahaja menerima kemas kini ke Android 9 Pie walaupun dilancarkan menggunakan Android 5 Lollipop. Jika syarikat tidak ternama mampu melakukannya kenapa syarikat lebih besar seperti Google gagal? Jawapannya terletak di tangan Qualcomm yang sekadar menyokong cip pemproses mereka selama tiga tahun. Selepas tempoh ini sokongan driver tidak lagi diberikan.
Sekiranya cip sendiri digunakan, secara teorinya peranti Pixel akan dapat menerima kemas kini perisian secara rasmi sehingga lima tahun – setanding yang diberikan kepada iPhone oleh Apple. Dengan dunia yang semakin menuju kepada mengurangkan sisi elektronik, peranti yang dapat digunakan lebih lama adalah baik untuk alam sekitar.
4.KONTRA – Percubaan Sulung Jarang Berjaya

Percubaan sulung jarang sekali membawakan kejayaan. Cip Kirin dan Exynos bermula dengan perlahan-lahan sebelum mampu memberikan saingan kepada Snapdragon (tetapi tidak mampu memintas) selepas menjalani beberapa iterasi. Walaupun Google ialah nama besar, mereka tidak mempunyai reputasi sebagai pengeluar cip yang baik. Untuk mengharapkan cip generasi pertama ini tidak mendatangkan masalah adalah wishful thinking.
Apple sendiri mempunyai masalah dengan cip M1 yang masih belum menyokong kebanyakan aplikasi dengan baik sungguhpun dari segi prestasi ia melangkau cip Intel. Sebagai pengguna MacBook M1, kami sedari Photoshop misalnya lebih bermasalah walaupun sudah wujud versi natif. Adakah Google sanggup berenang kembali dalam kolam kontroversi sekiranya cip Whitechapel bermasalah. Isu bootloop Nexus 6P hanya baru-baru ini diselesaikan.
5.PRO – Kepakaran Samsung Dan Google Bergabung

Kemampuan kamera Google Pixel memang dikenali ramai. Walaupun tanpa sensor gergasi dan lensa yang terbaik gambar yang diambil peranti Pixel sering kali lebih baik. Ini semua adalah kerana kepakaran fotografi pengkomputeran (computational photography) mereka yang lebih maju. Berbilion gambar yang dimuat naik pengguna ke Photos dianalisa bagi menghasilkan algoritma kecerdasan buatan untuk fotografi yang sering ditambah baik.
Pada waktu yang sama Samsung juga mempunyai reputasi kemampuan fotografi yang baik dengan sensor buatan sendiri. Bayangkan sebuah peranti dengan perisian fotografi Google digabungkan dengan perkakasan fotografi Samsung.
Ketua perisian visual Samsung Mobile – Joshua Sungdae Cho dalam temuramah bersama Engadget dipetik berkata Samsung juga sudah berjinak-jinak dengan fotografi perkomputeran (yang boleh dilihat pada S21 Ultra). Perisian kamera di masa hadapan akan menghasilkan gambar berdasarkan apa yang dianggap cantik oleh setiap pengguna. Sebagai bekas pengguna Galaxy Nexus, gabungan semula Samsung dan Google selepas 11 tahun akan berakhir.