Ulasan Samsung Galaxy SmartTag – Hilang Boleh Jumpa, Berdering Bila Lupa

Ulasan Samsung Galaxy SmartTag – Hilang Boleh Jumpa, Berdering Bila Lupa

Diterbitkan pada Mei 3, 2021 oleh .

Pada usia 42 tahun, saya sudah boleh diketegorikan sebagai insan vintaj. Kepala lutut sudah longgar, perut sudah memboroi seperti E-Honda, telinga semakin tuli dan memori semakin gagal. Dari empat perkara yang berlaku selepas memasuki Siri-4 ialah memori yang sudah tidak sebaik dahulu adalah perkara yang paling menjengkelkan. Telefon yang gagal ditemui di rumah adalah insiden yang boleh saya katakan berlaku sekurang-kurangnya sehari sekali. Paling memalukan ialah kadang kala ia di dalam poket seluar tetapi tidak dirasai.

Apabila ini berlaku, saya akan menggunakan ciri Find My Device untuk peranti Android dan Find My untuk peranti Apple yang dimiliki. Ini memerlukan saya mempunyai peranti lain untuk mengaktifkan deringan pada peranti yang hilang. Alangkah baiknya jika wujud sistem yang lebih mudah untuk masalah memori yang seteruk ikan emas di dalam akuarium ini?

Spesifikasi Dan Rekaan

Sekiranya anda pengguna peranti Samsung, jawapannya ialah SmartTag yang mula ditawarkan di Malaysia sejak Februari lalu. Ia adalah sebuah peranti penjejak lokasi bluetooth dengan pelbagai ciri tambahan yang memberikannya kelebihan berbanding penjejak lain di pasaran seperti Tile dan AirTag yang baru dilancarkan pada beberapa minggu lalu.

SmartTag diperbuat daripada plastik dengan tubuh berwarna hitam ataupun Oatmeal. Di berbentuk empat segi sama dengan sisi yang dibulatkan. Ia mengingatkan kami kepada biskut bantal tetapi dengan lubang cangkuk yang membolehkan ia disambungkan kepada gegelung kunci rumah atau dipasang pada kalung di leher haiwan peliharaan. Pada bahagian atas terdapat sebuah butang fizikal multi fungsi dan pada bahagian bawahnya pula terdapat lubang untuk pembesar suara.

Dengan rekaan ini tiada aksesori tambahan perlu dibeli secara berasingan oleh pengguna SmartTag. Samsung mengambil langkah yang sama seperti Tile dan ianya lebih praktikal dari langkah yang diambil Apple AirTag. Tetapi kami masih merasakan rekaan Tile adalah lebih mesra pengguna kerana pertama sekali ialah pengguna gelung logam pada bahagian luar. Ianya lebih tahan lasak untuk jangka masa yang lama. Dari pengalaman peribadi mempunyai gelang kunci sambungan plastik, ia akan menjadi rapuh selepas beberapa tahun. Masa depan SmartTag nampak sedikit kelam kerana bahagian gelung plastik yang digunakan ini.

Tile juga mempunyai kelebihan kerana ditawarkan dalam pelbagai saiz dan ketebalan. Ada model yang cukup nipis untuk diselitkan ke dalam dompet. SmartTag terlalu kembung seperti bantal untuk dimasukkan ke dalam dompet. Jika anda melakukannya dompet akan mengembung sehingga tidak selesa diletakkan di dalam kocek terutamanya pada bahagian punggung.

Rekaan yang agak kembung ini digunakan kerana bateri yang boleh ditukar ganti. Ini ialah kelebihan SmartTag pula jika dibandingkan dengan Tile yang merupakan peranti pakai buang yang apabila baterinya habis perlu digantikan dengan yang baru. SmartTag menggunakan bateri leper CR2032 yang membekalkan kuasa sehingga 300 hari sebelum perlu digantikan.

Kenapa Samsung tidak menggunakan bateri boleh dicas semula? Tiada jawapan diberikan tetapi mungkin untuk mengurangkan kos dan ketebalan. Jika port pengecas dan mekanisme pengecasan disertakan SmartTag mungkin lebih boroi dari rekaan yang digunakan sekarang.

Keseluruhan tubuh diperbuat daripada plastik dengan kemasan yang pudar. Ini ialah pilihan yang terbaik kerana ia langsung tidak bercalar selepas kami menggunakannya selama tiga minggu dan kami adalah insan yang mempunyai reputasi seperti monyet mendapat bunga di Amanz. Bukan sahaja ia sukar tercalar ia juga tidak memerangkap kotoran seperti magnet. Kami yakin anda ada membaca laporan Apple AirTag yang calar balar selepas hanya beberapa jam digunakan. Isu ini tidak muncul langsung sepanjang tempoh ulasan SmartTag.

Yang menjadi isu bagi kami ialah SmartTag tidak hadir dengan sebarang ketahanan kalis air dan debu. Sepanjang tempoh ulasan cuaca di Malaysia adalah hujan lebat (kadang kala ribut) di waktu petang. Apabila ke Pasara Ramadan, kami perlu berhati-hati untuk memastikan tangan kering sebelum mengeluarkan kunci dengan SmartTag dari kocek kerana risau ia mengakibatkan kerosakan kepada penjejak. Walaupun tidak ada piawaian IP rasmi, kami dapati jika sekadar percikan air, SmartTag cukup kedap menghalang air dari memasuki ruang dalaman yang menempatkan bateri.

Penggunaan Dan Perisian

Mulakan terlebih dahulu dengan sedikit berita buruk. Pada waktu ini SmartTag hanya boleh digunakan pada telefon pintar Galaxy keluaran Samsung. Ini adalah kerana ia memerlukan sokongan Samsung SmartThings yang terbina pada setiap peranti keluaran mereka. Langkah yang diambil oleh Samsung adalah sama seperti Apple yang hanya membenarkan peranti dalam ekosistem mereka sahaja boleh menggunakan penjejak objek yang digunakan.

Sekiranya anda mempunyai telefon pintar Samsung, proses mengaktifkan SmartTag adalah amat mudah. Sejurus selepas dikeluarkan dari kotak pengguna hanya perlu menekan butang SmartTag dan sebuah skrin yang memaparkan imejnya pada skrin telefon. Ikut arahan yang diberikan untuk menamakannya dan SmartTag akan didaftarkan kepada akaun Samsung pemilik.

Semasa proses pendaftaran, pengguna hanya perlu menetapkan pada objek apakah ia di akan diikat. Terdapat pilihan untuk haiwan peliharaan, bagasi, basikal, payung, kunci kereta dan pelbagai lagi. Samsung ada menyenaraikan dompet dalam senarai ini tetapi seperti kami katakan di perenggan terdahulu SmartTag adalah terlalu tebal untuk disimpan dengan selesa di dalamnya.

Selepas didaftar, SmartTag akan disenaraikan di bawah pilihan Devices pada talam notifikasi peranti bersama dengan peranti-peranti lain yang pernah ditambat kepada peranti sebelum ini. Selagi ia masih di dalam rangkuman bluetooth (sehingga 20 meter) ikon SmartTag akan dipaparkan dengan warna menunjukkan ia masih mempunyai tambatan aktif.

Dalam SmartThings pemilik boleh melihat lokasi, melakukan carian berhampiran (Search Nearby), melakukan navigasi ke lokasi terakhir ia dikesan dan membunyikan penggera untuk memudahkan proses pencarian. Deringan SmartTag adalah amat nyaring dengan 10 bunyi penggera diberikan sebagai pilihan. Menggunakan ciri penggera ini adalah lebih efektif berbanding ciri carian berhampiran yang kami rasakan kurang tepat.

Ia amat bergantung kepada kekuatan isyarat bluetooth. Gelung hijau yang menunjukkan kekuatan isyarat bluetooth tidak konsisten. Kadang kala ia menunjukkan isyarat maksimum apabila SmartTag berada bersebelahan peranti dan kadang kala isyarat yang tidak penuh dipaparkan dengan peranti di lokasi yang sama.

Apa pula yang berlaku apabila barang hilang dengan SmartTag berada di luar rangkuman bluetooth pemilik? Menurut Samsung lokasi SmartTag masih boleh dijejak apabila ia berada berhampiran peranti Samsung Galaxy yang lain. Lokasi akan dikemaskini pada peta SmartThings apabila ini berlaku. Dalam situasi ini untuk menjejak semula barang yang hilang pemilik perlu berharap yang menjumpainya menggunakan peranti Samsung.

Tidak seperti AirTag, Samsung tidak memberikan sokongan NFC pada SmartTag yang membolehkan peranti dengan pengimbas NFC membaca alamat dan nombor telefon pemilik yang telah disimpan. Pada hemat kami, ciri ini perlu dipinjam dari AirTag kerana membolehkan sesiapa sahaja mendapatkan maklumat pemilik apabila penjejak objek menandakannya sebagai hilang.

Ciri mencari menggunakan teknologi Ultra Wide Band (UWB) realiti terimbuh tidak disokong pada SmartTag. Jika ini adalah ciri yang anda benar-benar perlukan, kami menyarankan SmartTag+ yang pada waktu ini masih belum ditawarkan di Malaysia. Dengan UWB kedudukan sebenar objek yang hilang dapat dijejak dengan lebih tepat lengkap dengan arah dalam aplikasi SmartThings.

Ciri lain yang boleh dilakukan ialah mencari telefon pintar menggunakan SmartTag selagi wujudnya sambungan bluetooth. Telefon akan berdering apabila butang SmartTag ditekan dua kali. Sekiranya anda pernah memiliki jam tangan pintar Samsung, ciri ini adalah sama seperti Find My Phone. Peranti akan masih berdering dengan nyaring walaupun ia diletakkan dalam mod bisu atau DND.

Sebuah lagi ciri tambahan ialah mengaktifkan peranti-peranti berhubung (IOT) yang digunakan di bawah payung SmartThings. Pengguna boleh mengaktifkan peranti berhubung di rumah sebaik sahaja butang SmartTag ditekan selama sesaat. Sebagai contoh lampu rumah dan pendingin hawa di rumah boleh diaktifkan dengan satu tekanan butang. Kami tidak berupaya menguji ciri ini kerana tidak memiliki sebarang peranti berhubung Samsung di rumah pada waktu ini.

Bateri

Kami tidak tahu apakah hayat sebenar bateri SmartTag kerana ia tidak kami temui pada laman rasmi Samsung. Laman lain pula mengatakan hayat bateri adalah di antara 100-280 hari. Tahap bateri boleh diperiksa menerusi aplikasi SmartThings. Itupun kami rasakan tidak begitu membantu kerana memaparkan Sufficient apabila bateri di dalam julat 100% – 16%, Low (15% – 6%) dan Very Low (5% – 0%). Kami tidak tahu apakah tahap bateri sebenar SmartTag selepas digunakan selama tiga minggu. Apabila habis proses menggantikan bateri CR2032 adalah tidak membebankan kerana dijual pada harga serendah RM2 sebutir.

Kesimpulan

Sebagai manusia yang pelupa, SmartTag ialah peranti yang kini menjadi perlu dalam kehidupan seharian. Selama tiga minggu ia digunakan, tiada lagi masalah terlupa di mana kunci kereta dan telefon pintar diletakkan. Masalah utamanya ialah ia hanya menyokong telefon pintar Samsung sahaja pada waktu ini. Tanpanya SmartTag tidak akan berfungsi.

Bagi mereka yang jatuh dalam kategori manusia dengan memori ikan emas, kami sarankan pembeliannya kerana amat berbaloi. Pada harga RM99 untuk satu atau RM159 untuk sepasang, kami rasakan ia berbaloi bagi menyelesaikan isu yang boleh menyebabkan rumah menjadi kapal karam apabila objek yang ingin dicari tidak dapat dicari. Alternatif di pasaran ialah Tile yang menawarkan ciri yang serupa tetapi agnostik sistem operasi tetapi dijual pada harga yang sedikit lebih mahal.

Pro

  • Tubuh dengan kemasan kusam tidak mudah calar atau memerangkap kotoran.
  • Berfungsi dengan baik untuk menjejak objek hilang atau mencari telefon yang hilang.
  • Saiz kecil yang tidak mendatangkan ketidakselesaan apabila berada dalam kocek.
  • Gelung kunci terbina – Tidak perlu membeli aksesori tambahan.
  • Deringan yang amat nyaring.
  • Bateri tahan lama dan murah untuk digantikan.

Kontra

  • Hanya boleh digunakan oleh peranti pintar Samsung.
  • Gelung kunci diperbuat daripada plastik yang diragui ketahanan jangka panjangnya.
  • Tidak mempunyai sebarang kemampuan kalis air.
  • Memerlukan rangkaian peranti Samsung untuk menjejak barang hilang.


TIPS & ULASAN