Carian
OnePlus Kongsi Informasi Kamera OnePlus Nord 2 – Sensor Sony IMX766 Dan Menyokong Mod Malam Nightscape Ultra
July 16, 2021 Fahim Zahar

OnePlus Nord 2 adalah peranti kelas pertengahan utama OnePlus yang ramai nanti-nantikan. Ia adalah pengganti sebenar kepada OnePlus Nord yang asal, yang boleh dikatakan menaikkan nama OnePlus. Walaupun ada masalah kemaskini yang lambat, kemaskini hadir dengan pepijat, masalah terformat sendiri, – ia masih lagi sebuah peranti yang mampu milik yang padat dengan ciri sebuah peranti mercu.

OnePlus Nord 2 dilihat akan menggunakan elemen Oppo Reno6, maksud saya OnePlus 9. Ia juga sudah disahkan akan dijana dengan cip pemprosesan MediaTek Dimensity 1200-AI. Skrin pula masih menggunakan teknologi Fluid AMOLED kini bersaiz 6.43-inci dengan kadar segar semula 90Hz dan paparan HDR10+. OnePlus baru-baru ini telah berkongsi serba-sedikit informasi mengenai kamera pada OnePlus Nord 2.

Pertama ia adalah antara peranti mampu milik yang hadir dengan sensor kamera berserta OIS. Ia juga menggunakan strategi sama seperti Nord asal, jika Nord menggunakan sensor OnePlus 8 – Nord 2 menggunakan sensor OnePlus 9 Sony IMX766.

Saiz sensor adalah 1/1.56-inci, sedikit besar di antara 48MP dan 64MP dan sedikit kecil daripada 50MP. Nord 2 juga akan menerima ciri Nightscape Ultra, yang mana kawasan dengan jumlah cahaya 1lux pun peranti masih boleh mengambil gambar. Sensor tambahan adalah 8+2 Megapixel sudut ultra lebar dan makro. Ia juga mempunyai sistem kecerdasan buatan yang boleh merakam 22 imej dan menghasilkan satu paling sempurna.

Tambahan pada paparan adalah Oxygen OS hadir dengan sistem AI Resolution Boost, AI Color Boost dan juga Smart Ambient Display. Seperti Nord asal, Nord 2 juga akan dioptimasikan untuk permua agar pengalaman bermain adalah mengasyikkan.

Peranti ini mungkin akan dilancarkan pada 22 Julai akan datang.

Komen