Cari @ Amanz

Seperti tahun lalu, Xiaomi akan memperkenalkan peranti mercu baharu dengan cip Snapdragon generasi baharu pada penghujung tahun. Mi 11 pada Disember 2020 dan kini Xiaomi 12 dilaporkan akan tiba sekitar penghujung Disember 2021.

Peranti ini akan menjadi antara yang terawal hadir dengan cip Snapdragon 8 Gen 1, selain turut akan menggantikan Huawei dalam kerjasama kamera bersama dengan Leica. Kita tahu yang sekali lagi Xiaomi akan memberi penekanan serius terhadap kamera pada siri Xiaomi 12, seperti konfigurasi kamera baharu atau pilihan sehingga tiga variasi; Xiaomi 12, Xiaomi 12 Pro atau Xiaomi 12 Ultra.

Terkini Lets Go Digital telah menghasilkan imej pengolokan baharu berdasarkan maklumat mengenai peranti yang telah tertiris. Mereka berjaya mengacah bagaimana Xiaomi 12 Ultra kelak mungkin akan kelihatan nanti.

Xiaomi 12 Ultra dilihat tidak lagi menggunakan skrin kedua seperti Mi 11 Ultra. Tetapi modul kamera gergasi masih dikekalkan kini pada panel belakang terdapat seakan satu plat kaca dan ada modul kamera bulat gergasi dengan sensor rata di atasnya. Pada plat kaca ini, logo Leica turut kelihatan.

Ia mengimbau kembali rekaan Nokia Lumia 1020. Peranti ini mungkin akan hadir dengan lima sensor, di antaranya adalah 50MP Samsung Isocell GN5, sensor sudut ultra lebar, sensor telefoto periskop, makro dan mungkin kedalaman atau satu lagi tambahan telefoto.

Skrin dikhabarkan adalah 6.8-inci OLED QHD+, 120Hz, dan mungkin pengecasan sehingga 200W atau saiz bateri besar sama dengan rekaan lebih nipis. Xiaomi sudah banyak uji teknologi baharu pada MIX Fold, MIX 4 dan mungkin banyak akan dapat dicuba oleh pengguna pada Xiaomi 12 akan datang. Sama-sama kita nantikan kehadiran peranti ini tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd