Bukan lagi perkara asing, yang Nothing Phone (1) adalah sebuah peranti kelas pertengahan. Ia adalah peranti yang dilihat mungkin akan menjadi penanda aras baharu untuk sebuah peranti kelas pertengahan premium baharu.
Keunikan peranti ini terletak pada rekaan serta sistem LED. Sebelum ini ada tertiris yang peranti ini akan dijana dengan cip Snapdragon 778G+. Kini Carl Pei telah mengesahkan kepada Input Mag yang Nothing Phone (1) akan dijana dengan cip ini.
Menurut Carl, cip ini digunakan kerana menawarkan spesifikasi yang baik melalui konfigurasi lapan-teras 4x Cortex-A78 + 4x Cortex-A55, GPU Adreno 642L dan modem X53 5G. Ia juga adalah cip yang tiada masalah memanas yang serius serta jimat dalam penggunaan kuasa. Tambahan Carl lagi, cip ini juga mempunyai sokongan pengecasan nirwayar dan pengecasan nirwayar berbalik yang mereka mahukan.
Nothing Phone (1) akan dilancarkan pada 12 Julai akan datang. Ia dilihat sudah pun menerima banyak permintaan dengan ratusan ribu mendaftar minat. Peranti ini akan hadir dengan pilihan warna hitam atau putih, memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman mencapai 256GB. Harga jualan yang tertiris menyatakan ia akan dijual pada harga bermula sekitar RM1700.