Kerjasama antara pengeluar peranti dan syarikat kamera bukan lagi sesuatu yang baru. Paling jelas dalam ingatan saya adalah Huawei dan Leica dengan peranti pertama mereka Huawei P9. Tetapi kerana harga yang agak tinggi pada ketika itu, saya memilih peranti Honor 9 yang mempunyai kamera lebih kurang sama iaitu sensor 12MP f/2.2 bersaiz 1/2.9″.
Bertahun kemudiannya selepas banyak peranti Huawei diuji, saya mencuba pula peranti Vivo dengan kerjasama bersama Zeiss dan juga Oppo dengan Hasselblad. Vivo lebih fokus kepada mod potret yang saya kurang gunakan, sementara Oppo pula sukar untuk bezakan apakah penawaran kerjasama dengan Hasselblad kecuali pada rakaman video. Oleh yang demikian, ini membuatkan saya tidak sabar untuk menguji peranti Xiaomi yang bekerjasama dengan Leica.
Xiaomi melancarkan siri Xiaomi 12S, iaitu peranti pertama mereka dengan kerjasama Leica selepas Huawei. Xiaomi 12S Ultra sudah semestinya peranti paling premium mereka dengan sensor Sony Leica IMX989 bersaiz 1″ 50.3MP. Tetapi peranti Xiaomi 12S dan 12S Pro walaupun tidak menggunakan kamera baharu dan kekal sama dengan Xiaomi 12 dan 12 Pro, dua peranti ini menerima sentuhan Leica melalui perisian.
Dengan saya yang sebelum ini adalah pengguna tegar peranti Xiaomi dan benar-benar jatuh cinta dengan kamera peranti mereka sejak mereka menggunakan kamera 108MP serta mod malam mereka diperkenalkan. Xiaomi Mi 11 adalah antara yang paling saya dan Xiaomi 12 mula membuatkan saya yakin dengan kamera mereka, walaupun MIUI versi global banyak pepijat.
Aplikasi Kamera Leica
Peranti ini hanya eksklusif di China, tetapi Xiaomi baru-baru ini mengemaskini aplikasi kamera mereka iaitu Xiaomi Camera 4.3 untuk membenarkan beberapa ciri Leica digunakan. Cuma, pembangunan aplikasi ini dilihat tidak mempunyai kod yang spesifik agar ia boleh digunakan pada peranti Xiaomi 12S sahaja. Malah selepas fail APK boleh dipasang pada peranti MIUI, MIUI for Poco atau juga peranti JoyUI.
Untuk mencuba kemampuan aplikasi kamera ini, saya mengambil Xiaomi 12 Pro di makmal Amanz dan pasang aplikasi kamera ini untuk lihat apakah keunikan ciri Leica ini.
- Memasang aplikasi ini akan terus menggantikan aplikasi kamera utama pada peranti Xiaomi, Redmi, Poco atau juga Black Shark anda
Pertama sekali, aplikasi kamera peranti ini kelihatan sama sahaja dengan sebelum ini. Ada sedikit beza pada muka taip, tetapi semuanya masih mudah untuk dikendalikan. Jika peranti berasaskan MIUI sedia menyokong meletakkan tera air – akan ada pilihan untuk menggunakan versi Leica yang terhad untuk mod Photo atau mod Portrait sahaja. Jika mod Photo tera air yang digunakan adalah lebih unik dan cantik, sementara pada mod Portrait ia adalah tera air nama peranti dengan nama Leica.
Pada dua-dua mod ini, si bahagian penuras akan mempunyai empat pilihan mod Leica berbeza iaitu Leica VIV, Leica NAT, Leica BW NAT dan Leica BW HC. Hanya empat penuras ini akan memberi tera air khas dengan logo Leica, nama peranti, koordinat, serta butiran sensor kamera dan tetapan kamera.
Sampel Gambar
Leica VIV
Leica VIV atau nama sebenar adalah Leica Vivid, adalah sejenis penuras yang memfokuskan kepada warna yang lebih terang. Melalui penuras ini, ia akan meningkatkan lagi ketajaman warna hasil gambar. Bukan sahaja itu, butiran juga turut dipelihara dengan lebih baik dengan cuba mengekalkan tekstur pada sesuatu permukaan, tekstur fabrik dan juga pada wajah.
Dengan menggunakan penuras ini, mod HDR atau mod AI tidak perlu dirisaukan sama ada konsisten ataupun tidak. Kerana penuras ini memastikan penggunaan warna adalah sama sepanjang penggunaan. Xiaomi 12 Pro turut mempunyai sistem fokus yang baik memastikan subjek dalam gambar mempunyai fokus yang sekata dan tidak terasa aneh. Pada mod potret, kesan kabur juga adalah lebih kemas dan memberikan hasil memuaskan.
Leica NAT
Nama penuras ini rasanya semua orang boleh teka. NAT adalah untuk natural, yang cuba memberikan warna lebih semula jadi dan pada hemat saya ia adalah apa yang mata kita nampak. Hasil imej untuk penuras ini dilihat sedikit lembut dan butiran tidak begitu dipelihara kerana tidak cukup tajam.
Akan tetapi, hasil imej ini pada mata saya sendiri adalah menenangkan. Ia memberi satu vibe hasil gambar vintaj seakan ada satu tona sepia lembut digunakan. Penuras ini mungkin tidak akan digemari ramai, kerana ia lebih pudar dan nampak sedikit bosan. Untuk saya yang sudah biasa lihat hasil imej yang terang dan tajam, melihat hasil imej sebegini cukup menarik.
Leica BW NAT
Semasa awal kerjasama Huawei dan Leica, peranti mereka menyertakan sensor hitam mono serta mempunyai mod hitam putih pada aplikasi kamera. Ketika itu, ia adalah antara yang unik kerana ia bukannya gambar biasa dengan mod hitam putih atau gambar biasa yang disunting agar tiada lagi warna-warni kelihatan. Sebaliknya, setiap warna kelabu, putih dan hitam itu bermakna dan mempunyai butiran tersendiri.
Itulah yang berlaku dengan mod Leica BW NAT, iaitu mod Black White Natural pada Xiaomi 12 Pro ini. Ia memberi hasil imej yang lebih vintaj dan klasik.
Mod potret juga memelihara butiran dengan baik dan mempunyai kesan kabur yang amat kemas dan cantik. Hasil imej turut mempunyai kesan hingar yang bukan kerana masalah kamera, tetapi tetapan aplikasi kamera untuk memberikan satu hasil yang berbeza dengan penawaran kamera peranti lain.
Leica BW HC
Penuras keempat dan yang terakhir adalah Leoca BW HC untuk hitam dan putih dalam mod kontras tinggi. Ini adalah mod hitam putih paling saya sukakan. Ini kerana ia bukan sahaja menghasilkan imej hitam putih biasa, ia juga bukan penuras dengan butiran paling banyak – tetapi ia memberikan satu kesan imej klasik yang cantik pada saya.
Warna hitam lebih gelap dan tenggelam, sementara bahagian yang cerah mempunyai kesan seakan terdedah kepada cahaya berlebihan memberi efek warna putih menyala. Hasil potret juga kemas, bayang-bayang jelas kelihatan dan paling unik pada saya adalah kesan hingar yang sengaja disertakan memberikan lagi vibe imej pada kamera Leica lama.
Hasil imej juga adalah lebih lembut, dan tidak mempunyai sebarang petanda yang sistem cuba memproses secara berlebihan. Ia adalah satu mod hitam yang terbaik tanpa memerlukan sensor mono pada peranti.
Apa seterusnya?
Aplikasi Xiaomi Camera 4.3 ini adalah seakan Google Camera pada Pixel yang membolehkan peranti bukan Pixel turut gunakan aplikasi kamera untuk menggunakan ciri Night Sight atau potret. Cuma versi Xiaomi ini adalah untuk peranti berasaskan MIUI sahaja dan turut tidak pasti, sama ada adakah Xiaomi akan kekalkan ciri ini atau ubah kembali agar ia menjadi eksklusif kepada peranti Xiaomi dengan kamera Leica sahaja.
Dengan hasil yang cukup menakjubkan ini, turut membuatkan saya tidak sabar menguji kamera Xiaomi 12S Ultra yang menggunakan sensor 1-inci yang dibangunkan bersama-sama dengan Sony dan Leica iaitu IMX989. Kalau sensor biasa sudah pun hebat, apatah lagi yang bersaiz 1-inci.
Kerjasama Xiaomi dan Leica juga akhirnya akan membuatkan orang ramai dan pesaing pandang serius terhadap jenama Xiaomi yang mereka tidak main-main dan benar-benar ingin bersaing dalam industri sambil turut kekal menawarkan harga lebih hebat dan berbaloi berbanding pesaing.
Aplikasi kamera ini juga belum lagi menyertakan profil Leica Authentic dan Leica Vibrant seakan Photography Style pada iPhone 13. Ini akan memastikan sensor bekerjasama dengan perisian untuk memberikan lagi imej yang lebih cantik dan hebat.
Apa kata anda, adakah ini kamera Xiaomi yang anda inginkan?