Carian
Ulasan – Huruf “T” Pada Xiaomi 12T Ialah Untuk Terbaik
October 26, 2022 Fahim Zahar

Xiaomi 12T Pro adalah peranti mercu baharu Xiaomi dengan kamera 200MP. Tetapi harga jualannya yang bermula RM2699 mungkin di luar kemampuan sesetengah golongan lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang. Disebabkan itu, Xiaomi 12T turut ditawarkan di pasaran tempatan sebagai alternatif lebih mampu milik pada harga RM1999 dengan kamera 108MP dan cip Dimensity 8100-Ultra. Ramai mengatakan harga lebih menandakan banyak ciri dibuang dan jalan pintas diambil oleh pengeluar untuk mengurangkan kos. Adakah ini benar dalam kes Xiaomi 12T?

Spesifikasi Dan Rekaan

Xiaomi 12T
Skrin6.67″ CrystalRes AMOLED DotDisplay FHD+ (1220 x 2712)
120Hz, HDR10+
PemprosesDimensity 8100-Ultra (5nm)
Cip4x 2.85 GHz Cortex-A78
4x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G610 MC6
RAM8 GB LPDDR5
Muatan Dalaman256 GB UFS 3.1
Kamera Utama108MP, f/1.67, OIS (Utama)
8MP, f/2.2 (Sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (Makro)
Kamera Swafoto20MP, f/2.24
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 120W
SIM/TelefoniDwi SIM nano
5G
NFCAda
AudioStereo, Dolby Atmos
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanImbasan jari bawah skrin
Harga JualanRM 1,999 (8/256 GB)

Rekaan Xiaomi 12T tidak ada banyak beza pun dengan Pro, yang juga mirip dengan Xiaomi 12 Pro. Jika dibandingkan secara bersebelahan, beza ketara hanya pada bonggol kamera yang lebih rata menjadikan peranti ini tiada bermasalah diletakkan rata di atas meja. Peranti ini turut mempunyai skrin yang lebih rata serta menggunakan binaan yang tegap dengan bingkai logam yang sukar untuk dilenturkan walaupun tekanan yang tinggi dikenakan. Tiada perlu risau peranti menjadi melipat menjadi Z Flip jika anda terduduk di atasnya secara tidak sengaja.

Butang kuasa dan laras audio terletak di sisi kanan. Pada bahagian atas terdapat pula pemancar infra merah bersama dengan satu kekisi audio. Sementara itu di bahagian bawah pula terdapat satu kekisi audio, port USB-C dan talam SIM. Talam ini menyokong dwi-SIM bersaiz nano tetapi tiada sokongan untuk kad mikro SD. Kerangka silikon turut diberikan bagi melindungi peranti dari kesan calar dan kotoran cap jari.

Skrin peranti adalah 6.67″ CrystalRes AMOLED DotDisplay, yang menyokong kadar segar semula AdaptiveSync 30-120Hz yang boleh memaparkan kandungan HDR10+. Tiada Dolby Vision di sini kerana ia nampaknya hanya diberikan pada model 12T Pro sahaja.

Dengan rekaan skrin rata menonton video HDR di Netflix adalah memuaskan kerana ia tidak melimpah ke sisi seperti skrin yang melengkung. Lubang kamera pada skrin juga tidak lagi mengganggu kerana saya sudah biasa dengan skrin seperti ini. Kualiti skrin juga cukup terang dengan warna yang jelas dan tajam serta menyokong kecerahan yang baik jika digunakan di bawah cahaya matahari yang terik. Seperti pada Xiaomi 12T Pro, skrin pada peranti pada saya cukup baik dalam kelasnya dengan pengalaman penggunaan yang memuaskan.

Xiaomi 12T dijana dengan cip MediaTek Dimensity 8100-Ultra yang dikatakan lebih berkuasa berbanding Dimensity 8100 biasa. Memori pada peranti ini terhad dengan 8GB RAM sahaja yang dipadankan dengan storan dalaman 256GB. Kamera peranti adalah 108MP utama, dengan dua sensor asas iaitu 8MP dan 2MP untuk sudut ultra lebar dan makro.

12T di atas kertas jatuh dalam kategori kelas pertengahan premium maka jadi ketiadaan perlindungan IP68, pengecasan nirwayar masih belum satu kebiasaan lagi. Bateri peranti adalah 5000mAh, jadi tubuh peranti sedikit tebal. Sungguhpun begitu ia masih lagi selesa untuk dikendalikan dengan satu tangan dan tiada masalah jika diletakkan dalam kocek seluar.

Penggunaan Dan Perisian

Dalam siri Xiaomi 12, MIUI 13 yang digunakan berasakan Android 12 boleh dirasai ada banyak masalah yang telah dibaiki. Seperti Xiaomi 12 Lite dan 12T Pro, 12T juga tiada lagi masalah notifikasi. Xiaomi turut mengekalkan ciri untuk menjadikan paparan lebih baik seperti 2K Upscale, mengubah tona warna, menjadikan pergerakan lebih lancar dan banyak lagi. Ciri Boost Charging Speed dan Optimized Charging turut disertakan bagi mengawal kadar pengecasan 120W HyperCharge agar peranti tidak memanas dan kesihatan bateri terjamin.

Walaupun peranti ini adalah peranti kelas pertengahan, banyak ciri daripada peranti mercu Xiaomi disertakan. 12T menyokong pengimbas cap jari bawah skrin yang boleh mengimbas nadi, boleh meningkatkan jumlah RAM sehingga 3GB dengan Memory Extension dan jaminan kemaskini 3 tahun Android dan 4 tahun tampalan sekuriti.

Ini menjadikan pengalaman menggunakan peranti ini lebih baik. Sepanjang beberapa minggu penggunaan, saya hanya ada alami dua tau tiga kali sahaja masalah lengah masa ketika menatal pada pelancar. Membuka aplikasi media sosial, menggunakan kamera, mendengar muzik, atau bermain permua semuanya seakan menggunakan sebuah peranti mercu. Saya tidak rasakan sebarang masalah prestasi seperti peranti pesaing dalam kelas sama.

Tambahan mengenai prestasi peranti, bermain permua dengan peranti ini juga adalah cukup baik. Seperti biasa, saya akan uji Asphalt 9 terlebih dahulu – yang memberikan pengalaman bermain yang cukup mengasyikkan. Ia cukup lancar, pantas, tiada masalah lengah masa dan saya boleh menjadi khusyuk sehingga satu jam berlumba kereta. Permua dengan grafik lebih tinggi seperti PUBG Mobile juga agak baik, cuma ia tidak menyokong tetapan grafik maksima. Paling penting, peranti tidak mengalami masalah memanas selepas lebih satu jam bermain.

Akan tetapi, Xiaomi 12T masih ada masalah pengurusan memori di mana aplikasi tidak kerap berjalan di latar dan mudah disegarkan semula apabila membuka aplikasi lain. Misalnya, saya sedang menulis artikel melalui pelayar web Edge dan membuka pelayar web lain seperti Chrome untuk rujukan berita – Edge akan disegarkan semula sehingga artikel yang sudah 40% siap terus hilang tanpa sempat ia simpan dalam draf.

Penanda Aras

Di makmal Amanz sudah ada beberapa peranti yang dijana dengan cip Dimensity 8100 ini. Tetapi adakah dakwaan Xiaomi dengan Dimensity 8100-Ultra pada 12T lebih hebat berbanding versi biasa? Saya bandingkan dengan peranti Oppo Reno8 Pro dan Realme GT Neo 3. Ternyata, dakwaan Xiaomi tepat kerana skor yang diperoleh adalah memberangsangkan.

Xiaomi 12T mampu menerima skor 778,636 pada AnTuTu 3D dan 925/3678 pada Geekbench 5. Ini belum lagi diuji dengan aksesori kipas penyejuk, yang saya yakin akan boleh capai sekitar 800,000. Saya juga tidak menggunakan GPU Turbo untuk meningkatkan lagi kemampuan CPU dan GPU peranti. Berikut adalah perbandingan skor;

AnTuTu 3D
  • Xiaomi 12T: 788,636
  • Oppo Reno8 Pro: 705,712
  • Realme GT Neo 3: 742,992
Geekbench 5
  • Xiaomi 12T: 925/3678
  • Oppo Reno8 Pro: 891/3543
  • Realme GT Neo 3: 963/4008

Apa-apa pun, skor penanda aras masih lagi nombor semata-mata. Penggunaan di dunia nyata adalah lebih penting. Setakat ini, 12T tidak lagi mengecewakan saya dan masih memberikan saya satu kepuasan untuk menggunakan peranti kelas pertengahan.

Telefoni Dan GPS

Walaupun belum ada dalam senarai DNB, Xiaomi 12T tiada masalah dengan sambungan 5G. Saya menggunakan kad SIM YES dan boleh menerima sambungan Internet ini. Tetapi kelajuan yang saya terima hanyalah bawah 100Mbps sahaja dan tidak dapat menerima kelajuan 5G sebenar. Sambungan 4G juga masih stabil, dengan kadar kelajuan lebih kurang sama. Panggilan telefon juga jelas dan lantang, tanpa sebarang gangguan. 12T hadir dengan sokongan VoLTE dan VoWiFi, jadi ia membantu memberi panggilan telefon yang baik.

Kad SIM YES juga menyokong RCS tanpa sebarang masalah untuk pemesejan pada Google Messages. GPS pada hemat saya baik-baik sahaja, masih boleh mengunci lokasi dengan pantas dan tepat dengan tiada sebarang perkara aneh berlaku ketika aplikasi peta memberi arahan selok-belok.

Kamera

kamera 108MP adalah perkara biasa untuk peranti Xiaomi. Sudah bertahun mereka menggunakan sensor ini pada pelbagai kategori peranti. Apa yang penting sebenarnya adalah perisian dan cip pemprosesan yang digunakan, sama ada ia mampu mengendalikan sensor ini ataupun tidak.

Xiaomi 12T mempunyai kemampuan kamera yang cukup baik dan tidak mengecewakan. Gambar jarak dekat berkualiti, mod malam cukup jelas dan terang dengan butiran dapat dipelihara, gambar mod potret sedikit kurang kemas – tetapi jika sekadar kongsi di media sosial ia boleh diterima. Warna yang dihasilkan adalah tajam, cukup dalam, tiada masalah fokus dan mereka yang ingin menjadikan peranti ini sebagai peranti harian untuk fotografi tidak akan rasa kecewa.

Bateri

Seperti MIUI 13 pada 12T Pro, 12T turut tidak lagi memaparkan SOT peranti. Tetapi dalam masa beberapa minggu penggunaan, peranti ini mempunyai ketahanan bateri yang cukup menakjubkan. Untuk penggunaan ekstrem dengan permua, aktif di media sosial, kamera dan penstriman video serta muzik – ia boleh bertahan sehingga 7 jam SOT dalam tempoh dua hari. Manakala penggunaan ringan pula tiada masalah untuk mencapai sekitar 9 jam dalam tempoh yang sama.

Pengecasan 120W juga amat pantas, dengan kurang 20 minit peranti boleh dicas daripada 0% ke 100%. Xiaomi 12T turut tidak ada masalah dicas dengan pengecas GaN 65W, memberikan kuasa pengecasan sekitar kurang satu jam untuk penuh.

Audio

Xiaomi amat baik hati kerana tidak kira untuk peranti kelas permulaan atau kelas pertengahan, peranti mereka majoritinya akan mempunyai speaker stereo. Berbeza dengan Vivo yang kerap menggunakan speaker mono. Pada 12T speaker menyokong Dolby Atmos, yang mana ia bukannya yang terbaik, tetapi turut tidaklah teruk. Muzik masih boleh dilayani dengan khusyuk, menonton video juga memberikan audio yang seimbang sama seperti dengan bermain permua yang memberikan pengalaman pendengaran yang mencukupi, sesuai dengan penawaran peranti ini.

Pesaing

Xiaomi 12TOppo Reno8 ProRealme GT Neo 3
6.67″ CrystalRes AMOLED, 1220 x 2712 FHD+, 120Hz, HDR10+6.67″ AMOLED, 1080 x 2400 FHD+, 120Hz, HDR10+6.7″ AMOLED,
1080 x 2412 FHD+, 120Hz, HDR10+
Dimensity 8100-Ultra (5nm)
4x 2.85 GHz Cortex-A78
4x 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 8100 (5nm)
4x 2.85 GHz Cortex-A78
4x 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 8100 (5nm)
4x 2.85 GHz Cortex-A78
4x 2.0 GHz Cortex-A55
Mali-G610 MC6Mali-G610 MC6Mali-G610 MC6
8 GB RAM LPDDR5
256 GB UFS 3.1
12 GB RAM LPDDR5
256 GB UFS 3.1
8 GB RAM LPDDR5
256 GB UFS 3.1
108MP, f/1.67, OIS (utama)
8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
50MP, f/1.8 (utama)
8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
50MP, f/1.9 (utama)
8MP, f/2.3 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
20MP, f/2.2432MP, f/2.416MP, f/2.5
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5,000 mAh
Pengecasan pantas 120W
4,500 mAh
Pengecasan pantas 80W
5,000mAh
Pengecasan pantas 80W
RM 1999 (8/256 GB)RM 3499 (12/256 GB)RM 2099 (8/256 GB)

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Xiaomi 12T
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pengecas 120W.
  • 1x Kerangka silikon
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM

Kesimpulan

Xiaomi 12T adalah sebuah peranti kelas pertengahan premium yang cukup baik. Walaupun bukan cip peranti mercu, tetapi keseluruhan pengalaman penggunaan adalah lebih kurang sama sahaja dengan Xiaomi 12T Pro. Skrin yang baik, prestasi yang lancar, ketahanan bateri yang boleh diterima dengan sokongan pengecasan pantas dan hadir dengan binaan yang tegap. Peranti juga selesa untuk dikendalikan, dan masih lagi kelihatan premium.

Jika fotografi dan videografi bukan perkara paling penting, tetapi masih inginkan peranti dengan kemampuan kamera yang baik – Xiaomi 12T adalah pilihan yang bagus untuk mereka dengan bajet RM2000. Peranti ini dijual pada harga RM1,999 yang mempunyai banyak ciri mercu yang pasti akan menggembirakan hati si pemilik.

Pro

  • Skrin yang cukup hebat, cantik dan pantas.
  • Prestasi yang memuaskan dan lancar.
  • Kemampuan kamera yang cukup meyakinkan.
  • Ketahanan bateri yang lama dengan pengecasan yang sangat pantas.
  • MIUI 13 yang semakin baik dan tiada masalah yang kerap berlaku.

Kontra

  • Rekaan yang dikitar semula berkali-kali.
  • Rakaman video yang masih tidak memuaskan.
  • Pengurusan memori yang tidak menjengkelkan.
  • Audio yang tidak memuaskan.
Komen