Cari @ Amanz

Secara defacto, Samsung Galaxy Z Fold4 ialah peranti skrin boleh-lipat bersaiz besar yang terbaik di pasaran kerana ia tidak mempunyai pesaing yang setanding. Huawei Mate Xs 2 yang dilancarkan tahun lalu hadir tanpa 5G dan juga tiada GMS. Kerana kurangnya pesaing, Fold4 mendominasi pasaran dengan cukup selesa sejak empat versi yang lalu.

Dominasi mereka kini mula dicabar selepas Xiaomi, Oppo, Vivo dan Honor mula menawarkan peranti skrin boleh-lipat mereka dengan rekaan yang lebih menarik. Honor Magic Vs yang dilancarkan di China November lalu akhirnya dilancarkan ke pasaran Malaysia hari ini. Selepas menggunakannya selama seminggu, kami boleh katakan era dominasi Z Fold mungkin akan menjadi lipatan sejarah kerana pesaing mereka semakin maju ke hadapan.

SPESIFIKASI

Honor Magic Vs
SkrinLuar – 6.45″ OLED, 120Hz
Dalam – 7.9″ OLED 90Hz
PemprosesSnapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
Cip1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 2.00 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM12 Gigabyte
Muatan Dalaman512GB UFS 3.1
Kamera Utama54 MP, f/1.9 (Sudut Lebar)
50 MP, f/2.0 (Ultra Sudut lebar)
8 MP, f/2.4,OIS (Telefoto) 3x Zum Optical
4K 60p
Kamera Depan16 Megapixel f/2.45 (Depan)
16 Megapixel f/2.45 (Dalam)
4K 60p
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 66W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra Merahya
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanCap jari terbina sisi
Harga JualanRM5999 (12/512 GB)

SKRIN

Skrin luar 6.45″ adalah dari keluarga OLED dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Ia berfungsi dengan lancar dengan kemampuan mengesan sentuhan jari yang baik. Kelebihan pada Magic Vs berbanding Z Fold4 ialah skrin lebih lebar dengan nisbah skrin juga lebih menghampiri rekaan peranti candy bar. Menggunakannya secara sebelah tangan dan menaip teras lebih selesa kerana skrin tidak nipis dan memanjang.

Di bahagian atas skrin terdapat lubang untuk kamera swafoto dan juga bezel yang agak nipis. Sekilas pandang amat mirip sekali dengan rekaan hadapan Magic5 Pro yang kami gunakan sebelum ini. Menarik sekali Magic Vs menyokong stylus pada skrin boleh-lipat. Tetapi stylus ini tidak berikan percuma atau mempunyai tempat simpanan khusus pada tubuh.

Muka hadapan peranti ini memang kacak dan menarik bagi sebuah peranti skrin boleh lipat. Isu standard di mana skrin luar terlalu runcing tidak berlaku pada Magic Vs. Pada pandang pertama tempoh hari, terdapat isu untuk mengakses kandungan 4K HDR. Pada unit ulasan yang menerima kemas kini baharu, tiada isu mengakses kandungan HDR dalam aplikasi YouTube, Neflix dan Prime Video.

Di bahagian dalam pula skrin oleh 7.9″ OLED 90Hz digunakan yang lebih besar berbanding Z Fold4 serta mempunyai kadar segar semula 90Hz yang lebih rendah. Masih terdapat kesan lipatan yang ketara pada skrin dalaman ini walaupun selepas mekanisme lipatan yang lebih nipis digunakan. Skrin nampak terang dengan paparan warna yang baik. Pengesanan jari juga jitu cuma masih terasa aneh apabila jari melalui bahagian engsel. Walaupun 90Hz masih terasa lancar namun tidak selancar skrin luaran 120Hz.

Lubang kamera yang kecil diletakkan pada skrin boleh-lipat untuk sensor sebesar 16MP. Tiada sistem kamera bawah skrin. Ini bukan perkara negatif kerana setakat ini kesemua sistem kamera bawah skrin UDC yang kami pernah ulas adalah kurang memuaskan. Keputusan Honor menggunakan lubang kamera mungkin lebih baik untuk mengutamakan kualiti gambar berbanding estetik skrin.

BIOMETRI

Pengimbas cap jari sisi yang digunakan kurang konsisten. Kadang kala gagal mengesan jari yang diletakkan. Ia sama seperti isu yang kami hadapi pada Oppo Find N2 Flip tempoh hari. Honor tidak meletakkan alur khas untuk memudahkan imbasan jari. Oleh itu kami lebih selesa menggunakan pengecaman wajah untuk menyahkunci Magic Vs.

REKAAN

Rekaan ialah kekuatan utama Magic Vs pada hemat kami. Peranti adalah jauh lebih nipis berbanding Z Fold4. Engel sisinya lebih nipis tanpa ruang kosong yang ketara apabila peranti dilipat. Kedua-dua “sayap” peranti juga lebih nipis. Dalam mod skrin tertutup sekalipun peranti tidak terasa terlalu tebal membuatkannya selesa dipegang dalam tangan berbanding Z Fold4. Kami merasakan ini juga membuatkan proses mencari pemegang peranti dalam kereta untuk Magic Vs juga adalah lebih mudah.

Engsel yang dikemaskini membuatkan peranti turut lebih senang dibuka. Tiada bunyi aneh ketika skrin dibuka yang membuatkan peranti terasa lebih premium dan kami tidak ragu-ragu untuk membukanya. Tunjang mekanisme lipatan boleh dirasakan apabila jari digerakkan di atasnya. Setakat ini masih tiada peranti skrin boleh-lipat yang menyelesaikan isu ini. Dari segi keselesaan, kami merasakan proses membuka dan menutup skrin Magic Vs adalah lebih selesa berbanding Z Fold4.

Butang fizikal untuk melaras audio dan juga butang kuasa diletakkan pada sisi kanan peranti. Pengimbas cap jari juga terbina pada butang kuasa. Kedudukan kedua-dua butang ini amat ergonomik. Di bahagian atas dan bawah tubuh terdapat lubang untuk kekisi audio stereo yang menyokong audio IMAX dan DTS: X Ultra. Turut diletakkan di bawah ialah port pengecasan USB-C dan juga talam SIM.

Pada bahagian belakang terdapat bonggol besar berbentuk bulat yang meletakkan tiga kamera – 54MP Sony IMX800 sudut lebar f/1.9 ,50MP ultra sudut lebar f/2.0 dan 8MP telefoto f/2.4 yang menyokong zum optikal 3x serta zum digital sehingga 10X. Bonggol ini adalah cukup besar sehingga menyebabkan peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Dua kamera swafoto yang digunakan pula sebesar 16MP f/2.45 yang diletakkan dalam lubang kamera.

Permukaan belakang peranti adalah kemas diperbuat daripada bahan kaca. Panel mempunyai tekstur kasar yang membuatkannya tidak licin apabila dipegang. Ia juga tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Akan terdapat versi kulit vegan berwarna oren yang lebih eksklusif tetapi tidak diketahui lagi sama ada ia akan ditawarkan di Malaysia kelak.

Bateri pula sebesar 5000 mAh yang merupakan kapasiti paling besar pernah digunakan pada sebuah peranti skrin boleh-lipat. Jauh lebih besar berbanding 4400 mAh pada Z Fold4 dan 4880 mAh pada Mate Xs 2. Bateri boleh dicas semula menggunakan pengecas dengan output 66W secara berwayar sahaja. Ini yang sedikit mengecewakan bagi kami kerana sudah biasa menggunakan pengecas nirwayar ketika peranti diletakkan pada pemegang dalam kereta.

Kesemua komponen ini diletakkan di dalam tubuh logam yang cukup tegap dan selesa di dalam tangan. Walaupun ia sebuah peranti skrin boleh-lipat ia tidak terasa longgar. Namun begitu satu kekurangan yang agak ketara pada Magic Vs ialah ia tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air.

PERISIAN DAN PENGALAMAN PENGGUNAAN

Peranti yang kami terima menggunakan MagicOS 7.1 berasaskan Android 13. Tiada perubahan mendadak berbanding antaramuka MagicOS 6 yang kami gunakan pada Magic4 Pro tahun lalu. Antaramuka MagicOS masih mirip EMUI walaupun sudah dua tahun Honor tidak lagi di bawah payung Huawei. Ini mungkin disengajakan kerana terdapat ramai pengguna Huawei kini berpindah ke Honor untuk mendapatkan pengalaman yang sama tetapi masih mempunyai sokongan GMS.

Unit yang diulas menerima kemas kini sebesar 3.8GB yang menyelesaikan beberapa isu yang wujud ketika pandang pertama pada November lalu. Semuanya berjalan dengan lancar dan tiada aplikasi mengalami isu untuk dilancarkan. Animasi tidak tersekat-sekat.

Terdapat mod melakukan gestur pada ikon aplikasi yang akan membesarkan saiznya. Ciri amat sama dengan Service Widgets pada HarmonyOS. Antara aplikasi yang menyokongnya ialah Clock, Calendar, Notes, Files, dan Tips. Ikon aplikasi-aplikasi ini berbeza kerana mempunyai satu garisan putih di bahagian bawah. Dengan ini pengguna tahu ia boleh dibesarkan saiz untuk memaparkan lebih banyak maklumat penting seperti agenda harian tanpa aplikasi perlu dibuka.

Satu lagi ciri menarik ialah sebuah Folder dibesarkan dengan paparan grid 3X3 atau dikecilkan ke saiz biasa satu ikon yang menjimatkan ruang pada skrin pemuka peranti. Dua ciri standard Android 13 yang tidak disertakan ialah kemampuan untuk menyusun widget secara bertingkat dan tema peranti berubah mengikut imej latar belakang yang dipilih.

Bagi yang merasakan memori 12GB RAM yang disertakan masih tak cukup, ciri Honor RAM Turbo disertakan sekali dengan 7GB RAM maya. Tidak seperti pada peranti Samsung, Xiaomi atau Oppo pihak Honor tidak membenarkan saiz RAM Turbo diubah atau dimatikan sendiri oleh pemilik peranti.

Pada skrin besar terdapat ciri melancarkan sehingga empat aplikasi secara terapung di skrin dan dua aplikasi dilancarkan serentak dengan dua aplikasi dalam tingkap besar. Ini dilakukan dengan menarik ikon pada tab sisi ke skrin utama. Kemudian ulang dengan menarik sebuah lagi ikon ke skrin bagi melancarkan dua aplikasi serentak.

Harus kami akui walaupun Magic Vs pantas dan lancar, dari sudut perisian ia masih tidak setanding Z Fold4. Proses melancarkan dua aplikasi serentak pada peranti Samsung masih lebih intuitif. Ditambah pula dengan Z Fold4 mempunyai ciri taskbar yang mempercepatkan lagi proses melakukan multi tugasan. MagicOS 7.1 juga tidak mempunyai sebarang ciri Flex yang disokong pada Z Fold4 dan Find N2 Flip. Dari segi perkakasan Honor memang mantap tetapi mereka perlu memperbaiki bahagian perisian untuk menjadikan mereka pesaing sebenar dalam dunia peranti skrin boleh lipat.

PENANDA ARAS

Cip Snapdragon 8+ Gen 1 adalah cip yang sudah satu generasi ke belakang namun masih lagi cukup berkuasa. Ia adalah cip yang sama seperti pada Z Fold4. Bagaimanakah prestasi cip ini pada Magic Vs? Berikut adalah markah penanda aras yang dicatatkan menggunakan aplikasi Antutu 3D, 3D Mark Wildlife Extreme dan GeekBench 6.

Berikut adalah perbandingan markah penanda aras Magic Vs dengan Oppo Find N2 Flip (Dimensity 9000+), Galaxy Z Fold4 (Snapdragon 8+ Gen 1), OnePlus 11 (Snapdragon 8 Gen 2), dan iPhone 14 Pro Max (Apple A16 Bionic)

Geekbench 6

  • Honor Magic Vs – 1276/3822
  • Oppo Find N2 Flip – 1028/3088
  • Samsung Galaxy Z Flip4 – 1301/3822
  • OnePlus 11 – 1495/4805
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 2524/6317

Antutu 3D

  • Honor Magic Vs – 804,494
  • Oppo Find N2 Flip – 756,646
  • Samsung Galaxy Z Flip4 – 980,346
  • OnePlus 11 – 1,104,135
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

Wild Life Extreme

  • Honor Magic Vs – 2651
  • Oppo Find N2 Flip – 2617
  • Samsung Galaxy Z Flip4  – 2798
  • OnePlus 11 – 3712
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 3373

Peranti akan menjadi sedikit suam selepas sesi permainan sepanjang 15-20 minit tetapi tidaklah sehingga mendatangkan ketidakselesaan. Kesuaman ini dapat dirasakan kerana Snapdragon 8+ Gen 1 mempunyai isu ini sejak dahulu. Tetapi pelbagai permainan seperti COD Mobile, Asphalt 9, Diablo Immortal dan PUBG Mobile semua boleh dimainkan pada tetapan paling tinggi serta kadar bingkai paling optimum. Kelancaran ini sudah dapat dijangka kerana penggunaan cip mercu yang dipadankan dengan saiz RAM yang cukup besar.

TELEFONI Dan GPS

Kami tidak berhadapan dengan sebarang isu menggunakan rangkaian 5G di Malaysia walaupun peranti belum dilancarkan secara rasmi. Pengalaman panggilan telefon pula adalah cukup baik sepanjang dua minggu ulasan dibantu dengan sokongan VoLTE dan VoWiFi dalam situasi rangkaian selular kurang memuaskan. Suara kami dapat didengari dengan terang dan jelang semasa melakukan panggilan telefon.

Prestasi WiFi 6 juga baik terutamanya jika anda mempunyai modem dan penghala yang menyokongnya. Prestasi GPS amat baik dengan lokasi dapat dijejak dalam masa beberapa saat sahaja selepas aplikasi Waze atau GoogleMaps dibuka.

KAMERA

Tri kamera utama 50MP sudut lebar, 50MP ultra sudut lebar dan 8MP telefoto dengan OIS. Sedikit kecewa sebenarnya kamera sudut lebar tidak mempunyai OIS sedangkan ia lensa yang paling kerap digunakan. Sementara itu di luar kamera 16MP digunakan sebuah lagi kamera 16MP diletakkan pada skrin boleh lipat. Terdapat pelbagai mod standard seperti potret, malam dan panorama yang boleh diakses oleh pengguna.

Kualiti gambar yang diambil adalah amat baik dalam situasi terang dan tangan pengguna stabil. Penghasilan semula warna adalah sedikit suam jika dibandingkan dengan situasi sebenar. Nampak sedikit kekuningan. Mod swafoto juga sangat memuaskan pada kedua-dua kamera. Lebih senonoh berbanding kamera dalaman Z Fold4 dari jenis UDC yang kerap kabur. Kekurangan yang ada ialah apabila menggunakan mod potret, pemisahan objek dengan kesan bokeh nampak palsu. Kadang kala bahagian telinga dan rambut terkabur sekali sedangkan ia sepatutnya kelihatan lebih jelas.

Tetapi situasi berubah dalam mod malam. Imej daripada lens ultra sudut lebar jelas lebih lembut dengan keperincian pada objek yang mula hilang seperti pada bahagian pokok, lantai dan tempat duduk. Tanpa OIS, tempoh masa mengambil gambar sekitar 2 saat menyebabkan imej bergoyang apabila tripod tidak digunakan. Imej yang diambil menggunakan sensor 8MP juga tidak sebaik lensa utama 50MP.

Mod malam juga adalah baik cuma sedikit lembut jika diambil menggunakan lensa sudut lebar yang tidak mempunyai OIS. Sebenarnya mod malam akan diaktifkan secara automatik apabila kamera mengesan kawasan sekeliling adalah gelap. Mod malam boleh digunakan pada kesemua lensa.

Ini pula hasil tangkapan kamera dalam mod zum 1x, 3X, 10x dan 30x. Hasil tangkapan adalah agak baik baik sehingga 10X kali terdapat sistem OIS yang memastikan imej kelihatan tajam. Pada tetapan 30x, imej mula pecah. Tanpa mekanisme periskop, kualiti zum yang lebih baik tidak boleh dinikmati.

BATERI

Magic Vs dilengkapi bateri paling besar pernah kami gunakan pada peranti skrin boleh lipat dengan kapasiti mencecah 5000 mAh. Peranti boleh mencapai lebih 10 jam SOT dengan peranti hidup sehingga 15 jam. Ini adalah dengan penggunaan sederhana menggunakan 5G sepenuhnya. Hayat bateri yang baik ini dapat kami capai kerana jarang sekali menggunakan skrin boleh lipat yang besar.

Dalam penggunaan lebih berat, SOT sehingga 7 jam dapat dicapai. Apabila bateri habis, pengecas 66W boleh mengecas semula bateri gergasi ini dalam masa sejam sahaja. Ini adalah jauh lebih baik berbanding Z Fold4 yang mengambil masa 80 minit kerana menyokong pengecas 25W sahaja.

AUDIO

Speaker stereo dibekalkan dengan sistem audio DTS:X yang hanya boleh diaktifkan apabila peranti disambungkan kepada aksesori audio. Kami kurang menggemari apabila sistem tertentu hanya boleh digunakan secara bersyarat. Kelantangan speaker fizikal adalah kurang memuaskan. Pada tetapan paling tinggi ia sekitar hanya 80% kelantangan speaker pada peranti Android yang lain. Ini adalah isu pada peranti Honor yang pernah kami ulas. Mungkin Honor ingin menjaga telinga pengguna daripada kerosakan kekal dengan meletakkan had audio.

PESAING

Honor Magic VsSamsung Galaxy Z Fold4Huawei Mate Xs 2
Luar – 6.45″ OLED, 120Hz
Dalam – 7.9″ OLED, 90Hz, HDR10+
Luar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz
Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+
Luar – 6.5″ OLED, 120Hz
Dalam – 7.8″ OLED, 120Hz,
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Snapdragon 888 4G (5nm)
1 X 2.84 GHz Cortex X1
3 X 2.42 GHz Cortex A78
4 X 1.8 GHz Cortex A55
Adreno 730Adreno 730Adreno 660
12 GB LPDRR512 GB LPDRR58 GB LPDDR5
512 GB UFS 3.1256/512/1000 GB UFS 3.1512 UFS 3.1
Kamera Utama
54MP, f/1.9 Sudut Lebar, OIS
8MP, f/2.4 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS
50MP, f/2.0 Ultra Sudut Lebar
Kamera Utama
50MP, f/1.8 Sudut Lebar, OIS
10MP, f/2.2 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS
12MP, f/2.4 Ultra Sudut Lebar
Kamera Utama
50MP, f/1.8 Sudut Lebar
8MP, f/2.4 Telefoto, 3X Optikal, OIS
13MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar
Kamera Hadapan
16-MP f/2.6
16-MP f/2.6
Kamera Hadapan
10-MP f/2.2
4-MP f/1.8 (UDC)
Kamera Hadapan
10.7-MP f/2.2
Tidak kalis airIPX8Tidak kalis air
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 66W)4400 mAh (Berwayar 25W)4600 mAh (Berwayar 66W)
Harga RM 5999RM 6799 (12/256GB)
RM 7299 (12/512GB)
RM 8299 (12/1000GB)
Harga 7999

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.

  • 1x Honor Magic Vs
  • 1x Kerangka polikarboat.
  • 1x Pengecas 66W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Honor Magic Vs mempunyai resipi yang mantap untuk menjadi peranti boleh-lipat yang dominan di Malaysia. Kelebihan Magic Vs ialah skrin luar yang lebih mirip peranti candbybar, tubuh yang lebih nipis, kamera yang mantap dan prestasi bateri yang terbaik pada peranti skrin boleh-lipat. Ia menyelesaikan beberapa isu yang ada pada Z Fold4. Seperkara lagi ia juga adalah antara peranti skrin boleh-lipat di pasaran sekarang.

Kekurangan ialah tiada kemampuan kalis air dan perisian yang masih belum cukup matang pada waktu ini. Tiada Flex Mode atau ciri asas Android 13 yang sudah menjadi standard pada pengeluar lain.

Pada harga RM5999 ia adalah amat kompetitif bagi sebuah peranti skrin boleh-lipat. Jauh lebih murah berbanding Z Fold4 yang RM7299 untuk storan serta memori setanding.

Pro

  • Skrin 6.45″ 120Hz di luar yang lebar selesa digunakan.
  • Skrin boleh-lipat besar 7.9″ 90Hz.
  • Spesifikasi tinggi Snapdragon 8+ Gen 1 dengan memori sehingga 12GB RAM.
  • Rekaan lebih nipis berbanding peranti pesaing.
  • Prestasi kamera yang memuaskan.
  • Bateri besar 5000 mAh dengan pengecasan 66W tahan lama.

Kontra

  • Tiada piawaian kalis air.
  • Masih terdapat kesan lipatan pada skrin.
  • Skrin dalam hanya 90Hz bukan 120Hz.
  • Ciri perisian belum cukup lengkap pada waktu ini berbanding pesaing.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd