Cari @ Amanz

Pengeluar telefon pintar akan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai jenama luar untuk menarik perhatian orang ramai. Ada jenama pakaian, ada dengan automotif dan ada juga dengan makanan atau minuman.

Realme baru-baru ini bekerjasama dengan Coca-Cola untuk Realme 10 Pro Coca-Cola Edition. Selepas menggunakan peranti ini untuk hampir sebulan saya boleh katakan ini adalah peranti kelas pertengahan yang menarik dan unik.

SPESIFIKASI

Realme 10 Pro Coca-Cola Edition
Skrin6.72″ LCD,
1080 x 2400 , 120Hz
PemprosesSnapdragon 695 5G (6nm)
Cip2x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6x 1.7 GHz Kryo 660 Silver
Cip GrafikAdreno 619
RAM8 GB LPDDR4X
Memori Maya 4/6/8 GB
Muatan Dalaman128 GB UFS 2.2
Mikro SD
Kamera Utama108MP f/1.75 Sudut Lebar
2MP f/2.4 Kamera Potret
Kamera Swafoto16MP f/2.45
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 67W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Harga JualanRM 1399 (8/256 GB)

SKRIN

Skrin peranti ini mirip dengan OnePlus Nord CE 3 Lite iaitu 6.72″ FHD+ panel LCD dan menyokong kadar segar semula 120Hz. Peranti cuba sedaya upaya menyembunyikan bezel tebal dengan gambar latar merah hitam yang menjadikan skrin nampak imersif walaupun sebenarnya dagu agak tebal.

Seperti Nord CE 3 Lite, saya turut menjadikan peranti sebagai peranti menonton Netflix dan YouTube. Sokongan HD penuh tiada masalah dipaparkan cuma tiada pengiktirafan HDR. Warna skrin adalah terang dan setakat penggunaan di dalam rumah dan pejabat tiada masalah untuk melihat skrin.

Kadar segar semula pada peranti kelas pertengahan asas semuanya sama sahaja pada saya. Majoriti aplikasi pihak ketiga akan rasa perlahan dan tersangkut-sangkut tetapi pada pelancar dan aplikasi Realme sendiri tiada masalah. Apa-apa pun penggunaan untuk hampir satu bulan skrin peranti ini adalah baik sahaja.

REKAAN

Tidak dinafikan rekaan peranti ini nampak bosan kerana sudah banyak jenama menggunakannya. Rekaan skrin rata, siri rata dan belakang ada dua bonggol kamera bulat. Tetapi saya boleh terima rekaan Realme ini kerana ada Coca-Cola. Realme tidak menggunakan corak aneh sebaliknya membahagikan panel belakang kepada warna hitam kusam dan terus memaparkan separuh logo Coca-Cola. Kemasan pada Coca-Cola ini pula adalah mimik tin air yang sejuk dan basah.

Semua butang berada di sisi kanan iaitu butang kuasa merangkap pengimbas cap jari dan butang aras suara. Setiap butang mudah ditekan dan rasa sedap. Pada bonggol kamera ada lingkaran berwarna merah Coca-Cola dan kemasan yang digunakan juga adalah jenis tidak menangkap kotoran cap jari.

Peranti yang mudah dikendalikan ini turut masih menyertakan port bicu audio 3.5mm di bawah bersama-sama dengan port USB-C, kekisi speaker dan lubang mikrofon. Lubang yang sama turut kelihatan di atas peranti. Pada skrin rata peranti ini hanya ada lubang untuk kamera swafoto dan kekisi ganggang telefon turut jelas kelihatan di bezel atas peranti.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN – Realme UI 4.0

Seperti kebanyakan peranti Realme yang telah kami uji pada tahun ini, Realme 10 Pro Coca-Cola Edition turut menjalankan Realme UI 4.0 berasaskan Android 13. Jujur saya katakan tiada beza pun dan pengalaman penggunaan adalah lebih kurang sama sahaja dengan mana-mana peranti Realme.

Seperti biasa memandangkan peranti ini adalah peranti kelas pertengahan Realme UI 4.0 akan dipenuhi dengan iklan menggalakkan pengguna memuat turun aplikasi melalui gedung aplikasi App Market. Ia kerap muncul setiap kali aplikasi baharu dipasang atau dikemaskini.

Yang menjadikan peranti ini rasa unik adalah tema Coca-Cola sahaja. Tetapi tema pun hanya pada ikon di skrin utama, gambar latar dan beberapa nada dering dan kesan bunyi sahaja. Lain-lain adalah apa yang anda nampak pada Realme 10 4G, Realme 10 Pro+ atau Realme C55 pasti sama sahaja majoritinya.

Realme UI 4.0 adalah perisian yang baik dan pantas. Walaupun kod perisian adalah ColorOS sama dengan Oxygen OS untuk OnePlus, peranti Realme ini rasa lebih lancar dan pantas. Mungkin Realme sudah semakin bijak dalam pengoptimasian perisian dan pengurusan memori mereka.

Jika anda adalah pengguna OnePlus atau Oppo dan ingin pindah ke Realme percayalah mudah sangat untuk anda terus faham selok-belok sistem termasuk mencari tetapan yang tersembunyi. Cuma untuk edisi Coca-Cola ini ikon-ikon aplikasi pada hari pertama penggunaan akan mengelirukan sedikit kerana telah diubah.

Ada beberapa ciri menarik yang saya sedari disertakan pada peranti ini iaitu;

  1. Kesan Bunyi Dan Tema Coca-Cola – Memberi gambar latar khas pada skrin utama dan kunci skrin, nada dering Coca-Cola serta bunyi pengatup kamera penutup botol kaca Coca-Cola dibuka.
  2. Dirac Audio Tuner – Alternatif kepada Dolby Atmos dengan aras suara boleh mencapai 200%.
  3. RAM Expansion – Menambah memori maya dari 4GB ke 8GB menjadikan peranti mempunyai RAM sehingga 16GB.
  4. Special Features – Ciri dan fungsi tambahan yang sama dengan peranti mercu Oppo dan Realme seperti Flexible WindowsSmart SidebarSplit Screen, dan yang saya baru perasan Quick Return.
  5. Realme Lab – Semua peranti Realme ada ini memberi pengguna cuba menggunakan Dual-mode audio dan Sleep Capsule.

PENANDA ARAS

Keseluruhan prestasi peranti ini adalah lebih kurang sama sahaja dengan OnePlus Nord CE 3 Lite kerana cip yang sama Snapdragon 695 5G dan memori juga sama iaitu 8GB RAM LPDDR4X dengan sokongan memori maya mencapai 8GB RAM sementara storan dalaman adalah 128GB UFS 2.2. Ini adalah satu padanan yang menarik untuk sebuah peranti kelas pertengahan. Dengan perisian yang baik memori pasti dapat diuruskan dengan efisien.

Seperti peranti lain dalam kelas sama saya hanya akan uji dua permua sahaja iaitu Asphalt 9 dan Marvel Snap. Marvel Snap peranti agak lancar cuma ada sedikit lengah masa yang hanya kadang-kadang berlaku. Asphalt 9 walau bagaimanapun rasa lancar dan puas hati bermain. Walaupun bukan yang terbaik tetapi ia sudah memadai. Skor penanda aras pula adalah seperti berikut;

Geekbench 6

  • Realme 10 Pro Coca-Cola – 852/1907
  • OnePlus Nord CE 3 Lite – 876/1972
  • Samsung Galaxy A34 – 1032/2254

AnTuTu 3D

  • Realme 10 Pro Coca-Cola – 406,243
  • OnePlus Nord CE 3 Lite – 400,999
  • Samsung Galaxy A34 – 474,409

3DMark

  • Realme 10 Pro Coca-Cola – 1127
  • OnePlus Nord CE 3 Lite – 1209
  • Samsung Galaxy A34 – 

TELEFONI Dan GPS

Saya tidak pasti kenapa semakin banyak peranti Android saya uji semakin teruk capaian isyarat pada iPhone. Android sentiasa terbaik dari segi sambungan Internet. Pada peranti ini walaupun 5G disokong saya tidak berkesempatan mengujinya. Tetapi sokongan 4G adalah stabil dengan sokongan VoWiFi. Panggilan telefon suara semuanya jelas dan lantang sementara GPS juga baik sahaja dengan cuma mengambil sedikit masa untuk memuat.

KAMERA

Kualiti kamera peranti ini juga lebih kurang sama dengan OnePlus Nord CE 3 Lite. Sensor utama 108MP dan juga satu sensor 2MP untuk kedalaman. Tahun ini banyak peranti dalam kelas ini memfokuskan kepada dua sensor sahaja yang mana biasanya sensor kedua itu gimik. Bukankah bagus jika dwi-kamera satu itu sensor sudut lebar dan satu lagi ultra-lebar? Kebanyakan gambar saya ambil adalah mod auto dengan kadangkala sahaja menggunakan mod 3x atau mod 108MP.

Kualiti kamera peranti ini agak baik sebenarnya. Butiran dapat dipelihara dengan baik, warna pun menonjol dan tajam. Fokus pada saya sekadar mencukupi dengan mod potret boleh diterima serta mod swafoto yang memuaskan. Apa yang saya tidak gemar adalah ketiadaan OIS yang menyukarkan rakaman gambar malam. Kemudian yang menjengkelkan adalah pasca-proses yang agak lama.

BATERI

Seperti meminum air Coca-Cola yang menyegarkan dan memberi tenaga begitu juga peranti Realme 10 Pro ini. Bateri peranti ini mampu bertahan pada jangka masa yang panjang iaitu mencapai 9 jam SOT untuk penggunaan biasa dan sekitar 6-7 jam SOT untuk penggunaan berat. Pengecasan SuperVOOC 33W bukanlah kegemaran saya kerana pesaing sudah ke arah 65W untuk peranti kelas sama.

AUDIO

Realme masih teruskan sokongan aras suara mencapai 200% dengan teknologi audio sendiri. Speaker stereo pada peranti ini hanya sekadar ada kerana kualitinya tidak memuaskan. Bunyi kadang-kadang berdengung apabila terlampau kuat atau seakan tenggelam jika aras suara sekitar atas 50%. Syukur peranti mempunyai port bicu audio 3.5mm dan menggunakan Bluetooth 5.1 untuk sambungan ke TWS moden.


PESAING

Realme 10 Pro Coca-Cola EditionOnePlus Nord CE 3 LiteSamsung Galaxy A34
6.72″ IPS LCD, 120Hz
FHD+
6.72″ IPS LCD, 90Hz
FHD+
6.6″ Super AMOLED, 120Hz
FHD+
Snapdragon 695 5G (6nm)
2x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6x 1.7 GHz Kryo 660 Silver
Snapdragon 695 5G (6nm)
2x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6x 1.7 GHz Kryo 660 Silver
MediaTek Dimensity 1080 (6nm)
2 x 2.6 GHz Cortex-A78
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Adreno 619Adreno 619Mali-G68 MC4
8GB LPDDR4X8GB LPDDR4X6GB LPDRR4X
128GB UFS2.2
Mikro SD
256GB UFS2.2
Mikro SD
128 GB UFS 3.1
Mikro SD
Kamera Utama
108MP f/1.75, (Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Potret)
Street Mode
Kamera Utama
64MP f/1.7, (Sudut Lebar)
2MP f/2.4, (Sensor Kedalaman)
2MP f/2.4, (Makro)
AI, 1080p 30fps
Kamera Utama
48MP, f/1.8 Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Sudut Ultra-Lebar)
5MP f/2.4 (Makro)
1FHD080p 30p
Kamera Hadapan
16MP f/2.45
Kamera Hadapan
16MP f/2.4
Kamera Hadapan
16MP f/2.2
Tidak kalis airTidak kalis airTidak kalis air
Bicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mmTiada
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 33W)5000 mAh (Berwayar 67W)5000 mAh (Berwayar 25W)
RM1399 (8/256 GB)RM 1099 (8/256 GB)RM1599 (6/128 GB)

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Realme 10 Pro Cola-Cola Edition.
  • 1x Pengecas 33W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Kerangka pelindung silikon.
  • 1x Manual, buku keselamatan
  • 1x set pelekat Coca-Cola
  • 1x Pin SIM berbentuk ceper botol Coca-Cola.

KESIMPULAN

Jika anda tanya saya adakah Realme 10 Pro Coca-Cola Edition ini berbaloi untuk dimiliki saya akan kata hanya jika anda adalah peminat tegar Coca-Cola. Peranti ini juga tidaklah menawarkan prestasi yang tinggi kerana sekadar sebuah peranti kelas pertengahan yang diberikan warna serta antaramuka yang unik.

Malaysia adalah 1 daripada 5 negara dimana telefon ini boleh dibeli. Untuk pasaran tempatan hanya ada beberapa ratus unit sahaja jadi jika anda ingin dapatkan sebagai koleksi ini sahaja peluang anda. Ia kemudiannya mungkin boleh dijual kepada pengumpul memorabilia Coke yang duduk di luar negara.

Tetapi dengan harga RM1599 (mahal RM200 berbanding Realme 10 5G biasa) anda boleh dapatkan Redmi Note 12 Pro+ yang lebih berkuasa, atau Redmi Note 12 dengan skrin lebih elok (murah RM300). Tetapi jika anda inginkan wang anda benar-benar berbaloi dibelanjakan iQOO Z7 terbaru adalah RM1499 (mahal RM100) dengan 12GB RAM dan cip Snapdragon 782G yang berganda lebih hebat.

Realme 10 Pro Coca-Cola Edition adalah produk ini yang dipasarkan kerana golongan niche. Ia berasaskan minuman berkarbonat yang paling popular di dunia yang menjadikannya cantik dipandang tetap pada waktu yang sama ia dahagakan prestasi. Sebagai pengguna bijak anda ingin yang mana?

Pro

  • Rekaan yang menarik serta ringkas.
  • Bateri yang tahan lama.
  • Skrin yang memadai.
  • Kamera 108MP yang boleh diterima.

Kontra

  • Tiada yang menarik pada Realme UI 4.0.
  • Prestasi tidak begitu memuaskan.
  • Audio speaker yang mengecewakan.
  • Realmeow Coca-Cola hanya untuk media.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd