Carian
Peranti Terbaik Amanz 2023 – Telefon Pintar Mercu Terbaik
December 29, 2023 Fahim Zahar

Kita akhirnya tiba ke hari terakhir 2023 dengan jayanya. Sebagai kemuncak kepada siri artikel Peranti Terbaik 2023, tiba giliran kami menamakan pula Telefon Pintar Mercu terbaik sekaligus turut merupakan telefon pintar terbaik tahun ni di Amanz.


Kriteria Pemilihan

  • Spesifikasi kelas mercu.
  • Mempunyai pelbagai ciri tambahan yang menarik.
  • Hadir dengan inovasi baharu.
  • Dilancarkan pada tahun 2023.
  • Dijual secara rasmi di Malaysia.
  • Tiada had harga jualan.

Tempat Ketiga – Apple iPhone 15 Pro Max

iPhone 15 Pro Max adalah iPhone yang paling berkuasa setakat ini. Ia dijana dengan cip Apple A17 Pro yang boleh menjadikan telefon ini sebagai “konsol” permainan, dibina dengan Titanium, hadir dengan kamera telefoto tetraprisma 5x zum, akhirnya menggunakan USB-C, dan memori 8GB RAM. Peranti ini tidak dinafikan hebat, tetapi tewas kepada dua peranti Android meletakkannya di tangga ketiga.

iPhone 15 Pro Max tewas kerana masih menggunakan rekaan sama untuk empat generasi (sejak iPhone 12), masih tiada sokongan pengecasan pantas sebenar dan iOS 17 yang paling banyak pepijat setakat ini. Bermula dengan isu pemanasan apabila menjalan beberapa aplikasi dan sehingga sekarang wujud isu aplikasi tersekat, telefon mati secara rawak dan papan kekunci tidak muncul apabila ingin digunakan. Isu-isu ini tidak begitu tular di media sosial kerana pengguna iPhone jarang sekali ingin mengaku peranti terhebat mereka yang dibeli pada harga bangsawan mempunyai isu yang lebih sinonim dengan Android kelas pertengahan.

Spesifikasi: 6.7” OLED (2796 x 1290) HDR10+, Dolby Vision, 120Hz, Apple A17 Pro 3nm (2x 3.78 GHz + 4x 2.11 GHz), 8GB RAM, storan 256GB -1000GB, 48MP (Utama) + 12MP (Sudut Ultra Lebar) + 12MP (Telefoto 5x Zum) + LiDAR, 4441 mAh (20W), IP68, iOS 17.2.

Harga: Bemula RM6,499 (8/256 GB)


Tempat Kedua – Samsung Galaxy S23 Ultra

Samsung Galaxy S23 Ultra juga merupakan peranti mercu kegemaran ramai. Ia menyokong rakaman zum yang cantik serta stabil, menawarkan kemas kini yang sangat pantas dan konsisten, menggunakan skrin yang terbaik di pasaran, satu-satunya peranti mercu dengan S Pen, menyokong pengecasan nirwayar dan beroperasi dengan prestasi tinggi.

Ia mungkin peranti yang paling versatil dalam senarai ini tetapi hanya layak di tangga kedua sahaja kerana mengitar semula rekaan (seperti iPhone) dan pengecasan hanya 45W. Kami di Amanz merasakan amalan kitar semula dan ubah sedikit sahaja membuatkan S23 Ultra dan iPhone 15 Pro Max tidak layak dinobatkan sebagai peranti terbaik 2023. Oleh sebab itu juara tahun ini ialah…..

Spesifikasi: 6.8” Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+, Snapdragon 8 Gen 2 4nm (1x 3.36 GHz Cortex-X3 + 2x 2.8 GHz Cortex-A715 + 2x 2.8 GHz Cortex-A710 + 3 2.0 GHz Cortex-A510, 12GB RAM, storan sehingga 1TB, 200MP (sudut lebar) + 10MP (periskop telefoto 10x zum) + 10MP (telefoto 3x zum) +12MP (sudut ultra lebar), 12MP (Swafoto), 5000 mAh (45W), IP68, OneUI 6.1 Android 14

Harga: Bermula RM5,699 (12/256 GB)


Juara – Xiaomi 13 Ultra

Buat pertama kali dalam sejarah Senarai Peranti Terbaik Amanz untuk kategori telefon pintar mercu dimenangi oleh Xiaomi menerusi Xiaomi 13 Ultra. Peranti ini sememangnya antara peranti mercu terbaik pernah saya gunakan sepanjang tahun 2023. Ia hadir dengan skrin yang canti, pantas, kamera 1-inci Leica yang menakjubkan, perisian MIUI yang semakin baik, ada IP68, pengecasan pantas 90W dan menggunakan rekaan yang unik serta tidak berulang berbanding generasi sebelum. Xiaomi 13 Ultra adalah peranti yang kami sarankan pembeliannya tahun ini.

Bukan sahaja pada kamera, rekaan peranti ini turut mengambil kamera Leica sebagai inspirasi. Xiaomi cuba menawarkan kelainan untuk peranti mercu mereka. Dengan spesifikasi yang serba lengkap, kemampuan yang terbukti berjaya menewaskan peranti pesaing – Xiaomi benar-benar sudah berubah untuk menjadi pengeluar peranti mercu yang lebih serius serta menakutkan pesaing.

Spesifikasi: 6.73” AMOLED LTPO 120Hz, Dolby Vision, Snapdragon 8 Gen 2 4nm (1x 3.2 GHz Cortex-X3 + 2x 2.8 GHz Cortex-A715 + 2x 2.8 GHz Cortex-A710 + 3x 2.0 GHz Cortex-A510), 12GB RAM, storan 512GB, 50MP (sudut lebar) + 50MP (periskop telefoto 5x zum) + 50MP (telefoto 3.2x zum) + 50MP (sudut ultra lebar), 32MP (swafoto), 5000 mAh (90W), IP68, Android 13.

Harga: RM5,199 (12/512 GB)


Dengan senarai Peranti Mercu Terbaik ini, selesai sudah rangkuman Peranti Terbaik Amanz 2023. Semoga artikel ini akan membantu para pembaca sekalian untuk membeli telefon pintar yang paling sesuai untuk kegunaan harian. Jumpa anda semula di tahun 2024 yang kami percaya akan ada lebih banyak telefon pintar menarik dengan teknologi serta inovasi baharu. Syarikat mana yang anda rasakan akan menang tahun depan?

Komen