Carian
Impian Amanz Untuk Tahun 2024
January 4, 2024 Effi Saharudin

Tahun 2023 berakhir dengan kita melihat teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadi bualan orang ramai dan 5G akhirnya mencapai lebih 70% penduduk di Malaysia selepas lebih setahun tertunggak. Boleh dikatakan tahun lalu adalah amat baik untuk teknologi selepas 2022 melihat ramai kehilangan kerja serta kemerosotan pendapatan pelbagai syarikat utama. Berikut ialah 10 perkara yang kami harap akan berlaku tahun ini.


1.Tiada Lagi Bayaran Tambahan 5G Di Malaysia

Kementerian Komunikasi sebelum ini mengatakan akan mengambil tindakan sekiranya syarikat telko terus meminta bayaran tambahan dari pelanggan yang ingin menikmati rangkaian 5G. Syarikat telko pada waktu ini meminta bayaran sehingga RM15 semata-mata untuk menikmati internet yang lebih laju.

Memandangkan DNB menggunakan dana kerajaan sekaligus yang dikutip daripada cukai, amalan ini sepatutnya dihentikan. Tetapi amaran Kementerian Komunikasi masih belum memberikan sebarang hasil kerana tiada perubahan dilakukan oleh syarikat telko utama. Diharap tahun 2024 dapat dimulakan dengan bayaran tambahan 5G dihapuskan.

2.Harga Peranti Lebih Murah

Harga pelbagai peranti di Malaysia meningkat pada tahun 2023 kerana impak rantaian bekalan yang terjejas akibat pandemik. Dengan pandemik kini di “cermin belakang” dunia, kami mengharapkan harga peranti akan dapat kembali ke tahap pra-pandemik. Nilai Ringgit juga nampak semakin stabil memberikan harapan peranti yang harganya tidak lagi mencapai tahap melampau dapat ditawarkan di Malaysia. Kami tidak akan menanti untuk kucing bertanduk, kerana di Malaysia kita jarang melihat harga jualan berkurangan selari dengan penurunan kos. Tetapi kami masih berharap peranti yang harganya lebih munasabah akan dapat ditawarkan segera.

3.Kereta Elektrik Untuk Marhaen

2023 ialah tahun EV di Malaysia dengan jumlah kenderaan elektrik yang dilancarkan dan data DOSM juga mengesahkan jualan EV turut mencapai tahap tertinggi. Tetapi hakikatnya semua kereta elektrik di pasaran sekarang dijual pada harga melebihi RM100,000 yang di luar kemampuan golongan marhaen. Harga motosikal elektrik pula ada yang lebih mahal berbanding kereta beroda empat. Sekiranya Malaysia serius untuk menggalakkan penggunaan EV di Malaysia, pengenalan model mampu milik perlu berlaku tahun ini.

4.AI Bukan Sekadar Gimik

Kecerdasan buatan (AI) ialah teknologi paling sohor kini 2023. Semua produk, peranti dan perisian perlu mempunyai sokongan AI walaupun sekecil biji sawi keperluannya kepada pengguna. Masih terdapat banyak pengumuman penggunaan AI yang kami kategorikan sebagai sekadar gimik. Sama seperti “AI” digunakan pada kamera telefon pintar sejak empat tahun yang lalu. Tahun ini kita akan akhirnya melihat AI terbina pada peranti menjadi ciri perlu. Telefon pintar dan komputer peribadi akan yang menjadi yang terawal mempunyai kemampuan AI terbina sebelum dikembangkan ke peranti elektronik yang lain.

5.Tiada Kenaikan Harga Perkhidmatan

Kenaikan harga perkhidmatan tidak dapat dielakkan tahun lalu dengan ia berlaku pada semua perkhidmatan penstriman, dan storan awanan. Peningkatan kos operasi dan keinginan untuk menawarkan kandungan lebih baik digunakan sebagai alasan. Ramai menyangka kenaikan harga akan menyebabkan ramai membatalkan langganan tetapi sebaliknya pula berlaku. Kita kini hidup dalam era semuanya perlu dilanggan secara bulanan. Diharap 2024 tiada lagi peningkatan harga diumumkan secara mengejut.

6.Lebih Banyak Telefon Terima Sokongan Jangka Panjang

Sokongan perisian jangka panjang ialah ciri yang kini dianggap penting kerana pengguna tidak lagi melakukan pertukaran ke peranti baharu dengan kerap. Aplikasi perbankan dan dompet digital menjadi kegunaan harian maka peranti yang sering ditampal daripada kerentanan sekuriti adalah semakin perlu. Tahun lalu kita melihat Google menawarkan kemas kini selama tujuh tahun pada peranti Pixel.

Pengeluar Android pula mengikut langkah Samsung menawarkan kemas kini sehingga lima tahun pada peranti mercu. Samsung harus dipuji kerana menawarkan sokongan pada peranti Galaxy A yang mampu milik. Tiba masanya langkah mereka ini turut diikuti oleh pengeluar lain pada peranti kelas pertengahan dan mampu milik mereka tahun ini.

7.Ketirisan Data Diambil Lebih Serius

Hacker Pengodam

Ketirisan data disebabkan oleh penggodam dan kelalaian berlaku lagi tahun lalu. Seperti tahun sebelumnya tiada siapa dikenakan tindakan undang-undang serius kerana kegagalan menjadi data pengguna. Kita masih agak “relax” dalam menangani kes ketirisan data. Kerajaan tenang dan pesalah juga lagilah tenang kerana impak dari segi kewangan yang dikenakan menggunakan RUU sedia adalah agak minima.

Dengan PADU dan ID Digital Nasional telah diumumkan, kerisauan mengenai data peribadi tertiris pada skala besar tidak boleh dipandang remeh. Seperti kata beberapa pakar sekuriti, setiap kali pangkalan data pengguna Malaysia tertiris, jika kita sendiri tak peduli mengapa pengendali perlu peduli? Tahun ini diharap jika berlaku ketirisan data sekali lagi (dan ia pastinya akan berlaku kerana tiada sistem 100% selamat), tindakan lebih serius diambil.

8.Media Sosial Yang Lebih Terkawal Dan Selamat

Media sosial di Malaysia diharap lebih terkawal pada tahun ini. Tahun lalu melihat selebriti terkemuka Khairul “Sambal Nyet” Aming dijadikan bahan untuk menipu pengguna di Facebook. Yang menjadikan isu ini mengecewakan ialah Meta agak lambat bertindak. Mereka lebih pantas membuang kandungan “Pro Hamas” berbanding puluhan akaun penipuan yang boleh menyebabkan kerugian kepada pengguna.

Ini bukan isu baharu dan sudahpun disentuh beberapa kali oleh laman-laman teknologi di Malaysia sejak sekurang-kurangnya lima tahun yang lalu. Terdapat teori konspirasi mengatakan adalah lebih menguntungkan untuk pengendali media sosial mengambil bayaran pengiklanan daripada memadam akaun-akaun yang digunakan untuk penipuan.

Kerajaan sudahpun mengumumkan perancangan mewajibkan platform media sosial mempunyai lesen untuk beroperasi di Malaysia. Isu kegagalan untuk menentang scam dan memadam kandungan yang mencetuskan kegelisahan awam mungkin akan hanya selesai jika ada ancaman lesen operasi dibatalkan.

9. Lebih Banyak Penyakit Kronik Dapat Diubati

Perubatan

Tahun 2023 kita melihat inovasi penggunaan implan otak untuk mengembalikan kemampuan berjalan pada insan lumpuh dan membolehkan pesakit strok kembali bercakap dengan bantuan AI. Kita turut melihat perkembangan sains xenotransplan menggunakan organ khinzir sebagai ganti organ manusia dalam masa terdekat. Teknik suntingan gen menggunakan CRISPR juga boleh mengubati anemia sel sabit secara kekal.

Tahun ini kami ingin melihat lebih banyak lagi inovasi dalam dunia perubatan khususnya dalam rawatan kanser. Beberapa ujian klinikal vaksin kanser pada manusia memberikan keputusan yang positif. Begitu juga rawatan penyakit diabetes jenis 1 yang hanya memerlukan suntikan insulin beberapa kali setahun. Pandemik Covid-19 membunuh hampir 7 juta pesakit di seluruh dunia. Antara sinar di sebalik awan yang gelap mengenai pandemik ini ialah ia mempercepatkan kajian mengenai vaksin dan teknologi mRNA yang kini digunakan untuk merawat pelbagai penyakit lain yang sebelum ini dikatakan tiada ubat untuknya.

10. Pengajaran Pandemik 2020 Jangan Dilupakan

Angka jangkitan Covid-19 baharu minggu di Malaysia kembali naik sejak sebulan yang lalu. Keberkesanan dos penggalak vaksin yang diterima lebih setahun lalu serta pemakaian pelitup muka yang semakin berkurangan menjadi faktor peningkatan jangkitan yang dilihat sekarang. Yang menjadikan gelombang kali ini sedikit mengecewakan ialah kita seakan tidak belajar apa-apa walaupun sudah mengharungi pandemik selama tiga tahun.

Sudah tahun sakit batuk seperti alveolus pecah dan hingus menitip seperti paip tetapi masih ingin berkeliaran di tempat awam. Apabila bersin kembali tidak menutup mulut walaupun di tempat awam. Sudah muncul juga laporan majikan memaksa kakitangan pergi juga kerja walaupun positif Covid-19 kerana ia tidak lagi dilihat boleh membahayakan nyawa.

Hakikatnya jika anda dijangkiti Covid-19 beberapa kali, impaknya ke atas kesihatan jangka panjang anda akan hanya dilihat dalam masa beberapa tahun sahaja lagi. Ia bukan bukan sekadar selesema biasa. Kembalilah berhati-hati apabila di tempat awam untuk kesihatan semua.

Komen