Carian
10 Berita Teknologi Terbesar 2023
December 25, 2023 Effi Saharudin

Kita sampai ke senarai terakhir dalam rangkuman Amanz 2023. Untuk entri terakhir kami senaraikan 10 berita terbesar yang berlaku sepanjang tahun ini. Majoritinya akan mendatangkan impak pada landskap teknologi 2024 dan seterusnya.


1. AI Generatif Ialah Teknologi Paling Hangat 2023.

Kecerdasan buatan (AI) Generatif ialah teknologi paling hangat tahun 2023. Sama seperti NFT pada tahun 2022 dan metamesta pada tahun 2021. Tidak seperti dua topik tadi, minat terhadap AI meningkatkan ratusan kali ganda sejak penghujung 2022 apabila ChatGPT mula dikenali ramai. Bermula dengan sebuah chatbot yang boleh menulis untuk sesiapa sahaja, kini kini melihat AI yang boleh menghasilkan imej, menyunting gambar, menghasilkan muzik, meramal kaji cuaca sehingga 10 hari dengan tepat, mengesan kanser lebih pantas dan mengancam kerjaya manusia.

Isu mengenai harta intelek melibatkan AI juga hangat diperkatakan dengan kes saman melibatkan puluhan penulis terkemuka terhadap OpenAI yang didakwa melatih model AI mereka menggunakan karya mereka tanpa kebenaran. Isu ini juga dihadapi oleh pembangun AI generatif yang menjana imej.

Di Hollywood penggunaan AI untuk menjana skrip filem menjadi topik perbalahan utama yang menyebabkan persatuan penulis WGA melakukan mogok seluruh negara. Mereka kemudiannya disertai pula oleh persatuan pelakon SAG-AFTRA yang tidak membenarkan imbasan 3D ahli digunakan dalam filem tanpa kebenaran. Kedua-dua isu ini berjaya diselesaikan tetapi menyebabkan puluhan produksi tertangguh.

Microsoft menjaga syarikat yang terawal menawarkan integrasi ChatGPT pada kesemua produk di bawah payung Bing Chat sebelum diubah kepada Copilot. Mereka sanggup mengubah perancangan asal tidak mengemaskini Windows 10 semata-mata untuk memberikan Copilot kepada lebih banyak pengguna. Google, Meta, Apple, Stability AI, Microsoft, Samsung dan banyak lagi syarikat teknologi utama juga mengumumkan model LLM baharu masing-masing bagi menarik perhatian pelanggan serta tidak mahu ketinggalan dalam perang AI.

Topik AI sebenarnya terlalu besar dan pelbagai untuk diletakkan dalam satu topik sahaja. Jadi di bawah ada beberapa lagi berita besar mengenai AI yang kami rasakan layak diletakkan dalam kategori “berita pentingnya” yang tersendiri.


2. Kemelut OpenAI – Seminggu Paling Kalut Dalam Sejarah AI

Kemelut perebutan kuasa di OpenAI wajar diberikan entri berasingan kerana ia seperti jalan cerita drama Samarinda di petang hari. Bermula dengan kenyataan mengejut pengasas Sam Altman dipecat oleh barisan lembaga pengarah kerana didakwa tidak jujur dalam perhubungan mengenai masa depan syarikat. Ini diikuti pula oleh peletakan jawatan pengasas bersama Greg Brockman secara serta merta.

Kemudian Microsoft mengumumkan penubuhan bahagian khusus untuk AI yang bakal diterajui pula oleh Altman dan Brockman. Ratusan kakitangan OpenAI kemudian menandatangani surat terbuka meminta Altman kembali sebagai CEO. Dalam masa kurang 24 jam, Altman dan Brockman kembali ke OpenAI dengan lembaga pengarah pula dipecat! Kekeliruan mengenai masa depan OpenAI ini menjadi topik perbualan paling hangat dalam dunia teknologi sehingga pengumuman mereka dikatakan berjaya mencipta AGI Q* yang boleh menyelesaikan masalah matematik seakan terkubur.


3. Lima Tahap AGI Dikelaskan Dan Tahap Pertama Sudah Dicapai

Otak

AI ialah topik paling hangat tahun ini tetapi ia akan segera digantikan oleh kecerdasan buatan am (AGI). Saintis daripada DeepMind mencadangkan lima tahap pengelasan AGI iaitu emerging (berkembang), competent (kompeten), expert (pakar), virtuoso (virtuoso) dan superhuman (adimanusia). Pada waktu ini AGI tahap emerging telah dicapai oleh ChatGPT dan Bard yang boleh melakukan beberapa tugasan sebaik atau lebih baik daripada manusia.

Untuk mencapai tahap tertinggi superhuman, AGI perlu berkemampuan meramal masa hadapan dengan tepat (seperti ramalan kaji cuaca DeepMind GraphCast AI), berbicara dengan haiwan dan membaca fikiran manusia. Pernah suatu ketika kemampuan menjana imej realistik menggunakan teks dianggap mustahil. Ia kini realiti harian. Bilakah pula agaknya AGI dengan tahap superhuman akan muncul?


4. Tokoh-Tokoh Kripto Dipenjara Kerana Korup

Dua tahun yang lalu kripto memasuki kosa kata harian orang ramai. Ia dilihat sebagai kunci kepada kebebasan ekonomi serta boleh mengubah sesiapa sahaja menjadi jutawan. Hanya perlu beli kripto dan jual pada harga tinggi. Bagi menyokong ekonomi kripto pelbagai syarikat pelaburan muncul bagai cendawan seperti Binance dan FTX dengan pengasas menjadi bilionwan segera.

Tahun ini melihat Sam Bankman Freed (SBF) pengasas FTX dan Changpeng Zhao (CZ) pengasas Binance telah dijatuhkan hukuman penjara kerana kesalahan kolar putih. Bankman-Freed berhadapan penjara 115 tahun kerana kesalahan melibatkan pengubahan wang haram dan penipuan atas talian. CZ pula didenda $50 juta, penjara 18 bulan dan Binance didenda $4.3 bilion kerana pengubahan wang haram serta melanggar sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. Do Kwon pengasas kripto Luna dan TerraUSD turut telah ditahan kerana terlibat dalam penipuan yang menyebabkan kerugian $40 bilion.

Kerana skandal FTX nilai kripto jatuh mendadak menyebabkan pelbagai syarikat pelaburan dan pelabur perseorangan menanggung kerugian yang besar. Hanya bulan ini nilai Bitcoin kembali mencecah RM204,000 dan nampak agak stabil. Adakah ini petanda kita akan kembali ke bulan atau segera jual bagi mengelakkan kesilapan yang lalu berulang?


5. Tragedi Oceangate

Drama kehilangan lima penumpang kapal selam Titan yang membawa pelancong ke bangkai kapal Titanic ialah drama pertengahan tahun yang menjadi bualan global. Ia berakhir dengan tragedi selepas disahkan meleduk berdasarkan puing-puing yang bertaburan. Penjaga Pantai Amerika Syarikat (USCG) percaya Titan meleduk kerana tekanan laut yang mencecah 380 kali ganda lebih tinggi berbanding tekanan atmosfera. Kelima-lima anak kapal turut disahkan terkorban dengan hanya cebisan ditemukan.

Pada awalnya kon buritan kapal Titan ditemukan 1700 kaki daripada bahagian haluan Titanic sebelum lebih banyak serpihan lagi dikesan bertaburan di lantai laut. Selepas tragedi berakhir, pelbagai maklumat muncul mengenai bagaimana Stockton Rush, pereka Titan menggunakan teknologi yang tidak disahkan pada kapal selam ini. Beliau diberikan amaran bahawa rekaan Titan adalah tidak melepasi piawaian serta membahayakan penumpang yang dibawa ke Titanic. Sebuah filem mengenai tragedi Ocenagate kini dalam fasa praproduksi.


6. Twitter Menjadi X Dan Semuanya Jadi Serba Tak Kena

Elon Musk membeli Twitter tahun lalu dan dalam masa setahun beliau mempunyai impian untuk mengubahnya menjadi aplikasi super seperti WeChat. Sebagai pemilik, beliau kemudian mengambil keputusan drastik mengubah nama platform menjadi X. Ini turut menyebabkan Tweetdeck dijenamakan semula menjadi X Pro dan Twitter Blue pula menjadi X Premium. Akses API percuma turut dihentikan membuatkan aplikasi pihak ketiga seperti Tweetbot berkubur. Ciri berkongsi URL ke Twitter daripada WordPress dan PlayStation juga dihentikan tahun ini kerana perubahan API.

Sebagai langkah menjana lebih banyak pendapatan, beberapa pelan baharu X Premium telah diumumkan lebih-lebih lagi selepas banyak syarikat penarik pengiklanan disebabkan ciapan yang dihantar oleh Elon Musk sendiri. Masa depan X nampak sedikit kelam pada awal 2023 khususnya selepas Threads dilancarkan oleh Meta. Tetapi dapat dilihat pada waktu ini X masih utuh walaupun dilaporkan mengalami pengurangan pendapatan.

Tahun 2024 akan menjadi lebih mencabar untuk X/Twitter kerana ramai pengiklan enggan pulang. Yang tinggal hanyalah iklan kualiti rendah yang menjual produk yang boleh dikategorikan sebagai tidak menarik.


7. Perang Teknologi China Dan Amerika Syarikat Semakin Runcing

China Amerika

Ramai menyangka dengan Joe Biden menggantikan Donald Trump, hubungan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat akan kembali normal. Sebaliknya berlalu dan halangan teknologi yang dikenakan oleh pentadbiran Biden adalah lebih ketat jika dibandingkan dengan zaman Trump.

Pengharaman aplikasi TikTok daripada peranti milik penjawat awam dikuatkuasakan di seluruh Amerika dengan Montana ingin mengharamkannya terus daripada penduduk negeri tetapi telah ditolak mahkamah. CEO TikTok pula diminta menjawab pelbagai soalan mengenai sekuriti di Capitol Hill pada bulan Mac.

Kemudian Amerika menghalang jualan mesin litografi menghasilkan cip ke China sebelum kemudiannya menyekat juga jualan cip AI keluaran AMD dan NVIDIA ke negara yang sama. Kedua-duanya menggunakan alasan “menjaga keselamatan negara” kerana risau teknologi ini digunakan untuk tujuan ketenteraan.

China membalas dengan mengurangkan jualan galium dan germanium yang diperlukan untuk penghasilan cip. Pada waktu yang sama Huawei berjaya mengeluarkan cip 7nm dan 5nm menerusi SMIC menggunakan teknologi sendiri sebagai tanda halangan teknologi Amerika mungkin adalah sia-sia.


8. NFT dan Metamesta Hilang Momentum

Kecenderungan dunia ke arah kecerdasan buatan (AI) tahun ini menyebabkan teknologi metamesta dan pelaburan NFT semakin dilupakan. Set kepala baharu Quest 3 dilancarkan oleh Meta tetapi tidak begitu mendapat perhatian orang ramai. Mark Zuckerberg juga memberikan tumpuan yang lebih kepada beberapa projek seperti Meta AI, Audiocraft, Imagebind, Emu dan Imagine. Tiada pengumuman besar mengenai Meta Horizon Worlds dilakukan kecuali ia akhirnya boleh diakses menerusi pelayar web.

Bytedance pula mengurangkan jumlah pekerja yang terlibat dengan pembangunan set kepala Pico kerana permintaan terhadap set VR yang berkurangan. Minat terhadap Apple Vision Pro juga suam-suam kuku sahaja tidak dibantu oleh harga jualannya yang mencecah RM16,000 sepasang. Momentum metamesta hilang dengan pantas pada tahun 2023 selari dengan nasib NFT.

NFT yang panas seperti pisang goreng tahun lalu telah menjadi teknologi yang dilupakan tahun 2023. Kajian dappGambl mendapati 95% NFT yang dihasilkan tidak mempunyai sebarang nilai. OpenSEA, platform NFT paling popular pula membuang 50% kakitangan kerana permintaan yang semakin tenat. Dengan NFT tidak lagi dilihat “cool”, ia juga tidak lagi disokong di Instagram dan Facebook pada bulan April lalu.


9. ERA 5G Malaysia Semakin Berkembang Walau Kurang Digunakan

5G Malaysia

Era 5G di Malaysia bermula optimistik dan berakhir dengan ia hampir mencecah sasaran 80% kawasan berpenduduk. Walaupun pelaksanaan 5G di Malaysia tertangguh disebabkan oleh pandemik, ia kini boleh digunakan dengan negara kita mempunyai kelajuan 5G ketiga terpantas dunia mengikut laporan Ookla.

Pelan 5G baharu juga telah diumumkan oleh beberapa syarikat telekomunikasi utama. Sambutan orang ramai terhadap 5G kurang memberangsangkan dengan Fahmi Fadzil mengatakan ia digunakan sekitar 4.2% sahaja pada September lalu. Ini disebabkan ramai masih belum memiliki peranti 5G dan harga langganan pula mahal. Kementerian Komunikasi lantas memberikan amaran pembayaran tambahan untuk mengakses 5G adalah tidak wajar dan syarikat telko boleh dikenakan tindakan.

Menarik juga melihat PETRONAS menjadi yang pertama menggunakan rangkaian 5G peribadi bagi kegunaan industri. Rangkaian 5G peribadi ini digunakan PETRONAS di Terminal Pengegasan Semula di Sungai Udang (RGTSU) di Melaka. Ia membolehkan data dikumpul dan pemantauan masa nyata dilakukan.

Awal tahun depan rangkaian 5G kedua Malaysia juga akan dilancarkan tetapi ketika ini entiti yang terlibat belum disahkan tetapi dipercayai akan melibatkan Huawei sehingga Malaysia menerima surat amaran daripada Amerika Syarikat dan EU.


10. Pembuangan Pekerja Masih Berterusan

Di awal 2023 ramai mengharapkan ekonomi akan kembali pulih kerana pandemik telah berjaya “dikalahkan”. Ia tidak lagi dianggap serius dengan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan dan laporan kes baharu harian tidak lagi dilaporkan media arus perdana. Pandemik Covid-19 digantikan pula dengan pandemik syarikat teknologi utama meneruskan trend 2022 dengan membuang puluhan ribu pekerja.

Meta, Amazon, Google, Twitter, Spotify, Grab, Foodpanda dan Disney yang membuang sejumlah besar pekerja sebagai langkah penstrukturan semula operasi syarikat selepas pandemik. Terdapat syarikat yang mengancam akan membuang pekerja yang enggan kembali ke pejabat. Walaupun ekonomi menunjukkan petanda ke arah kembali ke tahap prapandemik, masih ramai yang seakan berada di hujung tanduk kerana kerjaya mereka boleh terhenti secara mengejut. Diharap 2024 akan dimulakan dengan berita lebih ceria dengan tiada berita pembuangan kerja secara besar-besaran berlaku.

Komen