Apakah yang berlaku di Malaysia sepanjang 2023 dalam dunia teknologi? Jawapan pendeknya ialah agak banyak dengan kemajuan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pelaburan besar syarikat cip besar dunia dan rangkaian 5G yang semakin berkembang maju. Berikut ialah senarai 10 berita teknologi Malaysia paling menarik sepanjang 2023.

1. SIRIM Bangunkan Piawaian Untuk Durian Musang King

SIRIM menawarkan pensijilan dan piawaian untuk Durian Musang King pada Januari lalu. Teknologi ini dibangunkan bersama untuk syarikat DSR Taiko Berhad – yang mempunyai ladang seluas 40.47 hektar di Pahang.
Melalui piawian yang dibangunkan, ia memudahkan dan meyakinkan pengguna memastikan kualiti dan keaslian Durian Musang King. Disamping itu, melalui integrasi teknologi tambahan, pengguna turut boleh menjejak keaslian buah durian berkenaan, termasuk mengesan punca dan lokasi pokok buah tersebut. Dengan membangunkan keyakinan, kebolehpasaran buah durian ini dijangka akan dapat diperluaskan lagi – terutamanya pada persada global.
2. Tesla Dan Starlink Memasuki Pasaran Malaysia

Kemasukan Tesla dan Starlink adalah berita yang menjadi bualan ramai pada Julai lalu. Kedua-dua syarikat milik Elon Musk ini secara rasmi ditawarkan di Malaysia membolehkan penduduk membeli kereta elektrik paling laku dunia dan perkhidmatan internet satelit dengan rangkaian terbesar. Di peringkat awal Starlink telah digunakan untuk menyambungkan kawasan luar bandar yang selama ini tidak mempunyai akses internet atau kualiti internet kurang memuaskan.
UiTM Kuala Pilih menjadi yang pertama menggunakan Starlink di Malaysia dengan ia meningkatkan rangkaian capaian internet di dalam kampus. Tesla pula melonjakkan jualan kereta EV di Malaysia dengan ia adalah model paling popular menurut laman web sumber terbuka DOSM.
3. JPJ Perkenal Penggunaan Lesen Memandu Dan Cukai Jalan Secara Digital

Pada bulan Februari Kementerian Pengangkutan Malaysia bersama Jabatan Pengangkutan Jalan merealisasikan impian pendigitalan yang diilhamkan semasa penubuhan MSC pada tahun 1996. menerusi pelaksanaan Lesen Kenderaan Motor Digital dan juga Lesen memandu Malaysia Persendirian Digital.
Serentak dengan pengumuman ini, tiada lagi keperluan menampak cukai jalan fizikal pada kenderaan persendirian yang menjadi sumber rungutan orang ramai sejak bertahun lamanya. Pelaksanaan ini bermula daripada penggunaan kereta dan motor persendirian buat masa ini – dan dijangka akan diperluaskan ke kumpulan lain tidak lama lagi.
Lesen dan cukai jalan digital ini boleh diakses menerusi aplikasi MyJPJ dengan JPJ menyasarkan untuk memperkenalkan kemudahan untuk melakukan pembaharuan lesen terus melalui aplikasi ini di masa hadapan. Pelan jangka panjang ialah menawarkan semua perkhidmatan melibatkan JPJ terus melalui aplikasi MyJPJ menjelang tahun 2025.
4. OOKLA – Kelajuan Muat-turun 5G Malaysia Ketiga Terpantas Di Dunia

Kami sering laporkan kelajuan purata internet di Malaysia tidak begitu memuaskan jika dibandingkan dengan negara jiran di Selatan. Harga langganan pula tidak semurah jiran di Utara atau Barat. Maka apabila laporan terkini Ookla menunjukkan bahawa kelajuan 5G di Malaysia ketiga terpantas di dunia pada Q3 2023 ia seharusnya diraikan.
Kelajuan muat-turun 5G di Malaysia adalah ketiga terpantas di peringkat global dengan kelajuan purata 485.25 Mbps. Ini meletakkan Malaysia di hadapan beberapa negara jiran terdekat seperti Singapura (338.36 Mbps), Thailand (141.65 Mbps) dan Filipina (124.58 Mbps).
Namun begitu penggunaan teknologi 5G dalam kalangan penduduk umum di Malaysia masih perlu diperbaiki kerana hanya 30.1% daripadanya sahaja yang benar-benar memanfaatkan keupayaan 5G pada peranti.
5. Semakin Banyak Pelaburan Teknologi Di Malaysia

Awal bulan ini NVIDIA telah mengesahkan mereka melakukan kerja sama dengan YTL Power International Berhad untuk membina pusat data AI yang akan beroperasi menjelang pertengahan 2024. Ini akan menjadi salah satu langkah menjadikan Malaysia hab AI di Asia Tenggara. NVIDIA telah melakukan pelaburan bernilai RM20 bilion bagi membina pusat data AI ini.
Pusat data AI ini akan dilengkapi cip NVIDIA H100 yang menggerakkan pusat data AI paling
maju masa kini, dan menggunakan perisian NVIDIA AI Enterprise untuk memperkemas penghasilan AI. Lokasi yang dipilih pula ialah YTL Green Data Center Park yang terletak di Kulai, Johor dengan ia mempunyai stesen jana kuasa solar 500MW yang menawarkan sumber kuasa yang lestari.
Pada Jun, Texas Instruments akan melakukan pelaburan RM 14.6 bilion bagi mengembangkan operasi mereka di Kuala Lumpur dan Melaka. Pengeluaran Texas Instruments di kedua-dua lokasi ini akan bermula pada tahun 2025. Sebanyak 1300 pekerjaan akan diwujudkan di Kuala Lumpur sementara 500 lagi diwujudkan di Melaka. Syarikat teknologi semikonduktor ini telah bertapak di Malaysia sejak 1972
Juga tidak dilupakan pada Oktober lalu Micron membuka kilang pemasangan terbaru mereka di kawasan perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang. Sebanyak $1 bilion (~RM4.5 bilion) telah dibelanjakan untuk membuka pusat terbaru ini yang akan menjadi lokasi kelengkapan pemasangan dan pengujian komponen-komponen NAND dan DRAM terbaru yang dibangunkan oleh Micron.
Kilang tersebut merupakan kilang kedua Micron di Pulau Pinang, dimana kilang pertama mereka terletak di Kawasan Perindustrian Perai yang dibuka pada tahun 2015, dimana jumlah pelaburan syarikat tersebut di Malaysia dan Pulau Pinang adalah sebanyak $2 bilion (~RM9.5 bilion) setakat ini.
6. Pautan URL Melalui SMS Tidak Lagi Boleh Dihantar

Antara mekanisme scam yang paling kerap digunakan ialah menghantar pautan dalam emel dan SMS yang apabila di klik boleh menyebabkan akaun digodam. Bermula 2 Mei 2023 lalu, SMS yang mempunyai pautan telah dihalang penghantarannya oleh kesemua syarikat telekomunikasi tempatan. Langkah ini adalah salah satu usaha kerajaan dalam mengekang serangan siber dan membuatkan orang ramai menjadi mangsa kepada pelbagai penipuan dengan hanya klik pada sesuatu pautan berbentuk hasad.
Untuk permulaan, penghantaran SMS dengan URL akan dihalang antara nombor telefon individu. Perniagaan masih boleh menghantar SMS dengan pautan menggunakan kod ringkas 6XXXX, 2XXXX, dan 1XXXX – namun ia hanya terhad untuk sementara waktu, dan turut akan dihalang tidak lama lagi.
7. Laman OpenDOSM NextGen Dilancarkan Untuk Perkongsian Data Sumber Terbuka

Pada Januari tahun ini laman OpenDOSM NextGen telah dilancarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bersama sokongan Kementerian Ekonomi. Melalui laman OpenDOSM, pengguna Malaysia dapat melihat pelbagai data dan aliran semasa berkaitan tekanan harga, inflasi, paras OPR, pengeluaran industri mahupun data melibatkan pasaran buruh.
Kepelbagaian ini secara langsung akan memudahkan rakyat negara untuk lebih memahami akan status semasa ekonomi Malaysia. Ia sekaligus tidak sekadar memudahkan namun turut mendidik masyarakat menjadi lebih peka akan ketidaktentuan pertumbuhan semasa negara. Antara data yang boleh dilihat ialah jumlah jualan kenderaan EV, model kenderaan paling popular dan banyak lagi. Sejak dilancarkan lebih 11 bulan lalu, laman ini telah dilawat lebih 1,000,000 kali.
8. Kecerdasan Buatan (AI) Malaysia – Kod Etika Dan Fakuliti AI Bakal Ditubuhkan

AI ialah teknologi terhangat 2023 dan impaknya juga dirasai di Malaysia. Pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengumumkan kod etika dan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) sedang dibangunkan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia, wakil agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pihak industri dengan ia dijangka siap tahun 2024.
Pihak Jabatan Standard Malaysia (JSM) telahpun menubuhkan sebuah jawatankuasa khas Jawatankuasa Cermin Kebangsaan (National Mirror Committee) yang dipengerusikan oleh MIMOS Berhad untuk menghasilkan piawaian AI kebangsaan. Ini adalah bagi meneliti keperluan mewujudkan perundangan dan akta berkaitan AI.
Kerajaan turut mengumumkan pusat pengajian kecerdasan buatan pertama negara, iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia ketika Belanjawan 2024.
Sebanyak RM20 juta ringgit disediakan sebagai peruntukkan awal dalam membangunkannya. Ia juga dijangka akan membantu dalam memperhebat penerokaan bidang AI rentas disiplin ilmu.
9. Kadar Liputan 5G Kini Menghampiri 80% Kawasan Berpenduduk Di Malaysia

Pada tahun 2021, rangkaian 5G dilancarkan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya. DNB menyasarkan liputan mencecah 80% kawasan berpenduduk menjelang 2024. Tahun 2023 akan melabuhkan tirai beberapa minggu sahaja lagi dan Mengikut data berakhir 30 November 2023, kadar liputan rangkaian 5G di Malaysia telah mencapai 76.1%.
Disamping pencapaian kadar liputan 5G ini, pada awal Disember juga, lima syarikat telekomunikasi telah tanda tangan Perjanjian Langganan Saham, dan setiap syarikat akan menyuntik RM233 juta ke Digital Nasional Berhad. Bergerak ke hadapan, selepas kadar liputan mencapai 80%, syarikat kedua akan dibentuk untuk membangunkan rangkaian 5G kedua di Malaysia yang akan disentuh di bawah.
10. Peralihan Ke Model Dwi-Rangkaian 5G Pada Tahun 2024

Kerajaan mengumumkan perancangan pelaksanaan model dwirangkaian 5G di Malaysia, dimana rangkaian kedua yang diuruskan oleh sebuah entiti baharu akan diwujudkan pada awal tahun 2024 kelak. Entiti baharu ini akan diwujudkan selepas DNB mencapai kadar liputan 80% yang disasarkan pada penghujung tahun ini.
Selari dengannya, beberapa perkara lanjutan telah dikongsikan. Kerajaan sedia menyatakan mereka tidak lagi akan mempunyai sebarang pegangan pada penyedia infrastruktur 5G ini, sebaliknya ia akan dipantau dan diselia di bawah SKMM. Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyatakan rangkaian 5G yang diuruskan entiti kedua ini akan bermula dengan kadar liputan sifar pada awal 2024 kelak, dan diberikan tempoh sekitar dua tahun untuk mencapai kadar liputan 80% seperti entiti pertama.