Carian
10 Berita Teknologi Robotik Paling Menarik 2023
December 13, 2023 Effi Saharudin

Kita akan secara perlahan-lahan digantikan oleh robot yang boleh bekerja tanpa henti, tidak meminta dinaikkan gaji dan jarang sekali jatuh “sakit”. Ini adalah kepastian yang nampaknya tidak lagi boleh dielakkan. Sepanjang 2023, terdapat banyak berita teknologi robotik yang kami rasakan menarik. Ini ialah senarai 10 Berita Teknologi Robotik Paling Menarik 2023.


1. Sara Ialah Robot Pertama Yang Boleh Berbicara Dalam Bahasa Arab

Bahasa Arab ialah bahasa yang keenam paling banyak penggunanya di dunia. Ini adalah lebih banyak berbanding Bahasa Jepun, Jerman, Korea dan Portugis. Untuk menjadi bahasa yang penting, penggunaannya dalam dunia teknologi perlu dipertingkatkan. Di acara LEAP 2023 yang berlangsung pada bulan Februari, Arab Saudi melancarkan robot pertama yang boleh berbicara dalam Bahasa Arab.

Robot yang diberi nama Sara berbentuk manusia dengan pelawat boleh berbicara dengannya seperti manusia. Pelawat perlu menegurnya dengan kata picu “Hey Sara” dan ia akan memulakan perbualan. Selain berbual Sara juga boleh melakukan tarian tradisional Arab Saudi. Sara dibangunkan oleh Saudi Digital dan Qss Company sebagai langkah untuk memperkenalkan teknologi terkini di Arab Saudi yang ingin menjenamakan semula imej negara sebagai hab teknologi modem.


2. Bayi Telah Dilahirkan Selepas Menjalani Proses Persenyawaan Menggunakan Bantuan Robot Dan PlayStation

Rawatan IVF digunakan oleh pasangan yang sukar mendapatkan bayi sejak ia dicipta pada tahun 1978. Di Malaysia rawatan ini agak mahal dengan ia mencecah sekitar RM13,000. Ini adalah kerana terdapat banyak proses manual diperlukan untuk proses persenyawaan di luar tubuh. Menurut laporan MIT Technology Review, dua orang bayi telah berjaya dilahirkan menggunakan bantuan robot dan alat kawalan PlayStation 5 pada April tahun ini.

Overture Life dari Sepanyol berkata robot persenyawaan mereka telah berjaya digunakan oleh pasangan di Amerika Syarikat. Robot yang membantu persenyawaan dihantar ke New York dari Barcelona oleh Overture Life ke sebuah klinik. Robot ini kemudiannya digunakan untuk menyuntik sperma ke dalam sebuah ovum.

Tujuan robot persenyawaan ini dibangunkan ialah untuk mengurangkan kos IVF yang mahal. Ia boleh menggantikan tugas embriologis manusia yang melakukan proses yang sama menggunakan tangan secara manual.


3. ANDI Ialah Robot Pertama Yang Boleh Berpeluh Dan Menggigil Seperti Manusia

Saintis dari Arizona State University (ASU) telah membangunkan pula robot ANDI yang boleh menggantikan manusia dalam ujian haba yang berbahaya. ANDI unik kerana ia boleh berpeluh untuk menyejukkan tubuhnya dan menggigil apabila sejuk seperti manusia. Parameter ANDI boleh diubah untuk meniru fisiologi manusia berbeza umur dan juga yang mempunyai penyakit.

ASU membina ANDI untuk melihat impak haba ke atas tubuh manusia dengan ia diperlihatkan pada bulan Jun. Dengan perubahan iklim kini berlaku, data untuk mengelakkan kematian disebabkan haba perlu dikaji. ANDI boleh menjadi pengganti manusia dalam ujian-ujian yang kini boleh dilakukan dengan selamat. Ini adalah penting kerana bilik ujian haba di ASU boleh mencapai suhu sehingga 60 darjah Celsius. Jika ada satu “kerja” manusia yang tiada siapa akan merungut digantikan oleh robot, melakukan ujian sains yang berbahaya ini mungkin salah satu daripadanya.


4. Polis KL Sedang Mengkaji Penggunaan Robot

Robocop ialah fiksyen dunia distopia robot menggantikan polis manusia kerana jenayah yang semakin melampau. Walaupun distopia ini belum lagi berlaku di Malaysia, Polis Kuala Lumpur kini dalam fasa mengkaji penggunaan robot dalam memerangi jenayah dalam laporan yang kami terbitkan pada bulan Jun.

Masih pada fasa awal kajian, robot-robot ini dijangka akan meningkatkan kadar kehadiran dan kewujudan polis di bandar. Idea ini masih lagi pada peringkat konsep, tetapi baru-baru ini pihak Polis KL telah pun melawat sebuah kilang robot untuk proses kajian ini. Robot sebagai pengganti polis telah digunakan di Singapura, Dubai dan San Francisco dengan tahap kejayaan yang berbeza-beza. Di Singapura anjing robot mengawal penjarakan sosial ketika pandemik. Di San Francisco pula ia menjadi mangsa vandalisme yang teruk dan tidak mampu mempertahankan diri sendiri.


5. Robot Mula Digunakan Di Sekolah A.S Untuk Mengelakkan Insiden Tembak Menembak

Bercakap mengenai dunia distopia, Amerika Syarikat kini semakin hampir merealisasikan dunia fiksyen Robocop menjadi realiti menerusi pengenalan robot di sekolah yang mampu mengesan insiden tembak menembak. Di Santa Fe High School yang terletak di New Mexico robot mula digunakan sebagai pengawal keselamatan.

Robot ini beroperasi 24 jam sehari tujuh hari seminggu dengan kemampuan mengesan individu tidak dikenali dan pencerobohan. Jika berlaku kejadian tembak menembak, ia diarahkan untuk menghubungi pihak keselamatan dan menstrim lokasi penembak secara masa nyata. Ia walau bagaimanapun masih tidak dilengkapi senjata kerana masih dalam peringkat percubaan. Penyelesaian paling logikal ialah mengawal jualan senjata tetapi di Amerika penyelesaian mudah ini tidak mampu diproses maka dunia “Robocop” pula direalisasikan.


6. Boston Dynamics Menunjukkan Bagaimana Robot Atlas Membantu Di Tapak Pembinaan

https://youtube.com/watch?v=-e1_QhJ1EhQ%3Fversion%3D3%26rel%3D1%26showsearch%3D0%26showinfo%3D1%26iv_load_policy%3D1%26fs%3D1%26hl%3Den-US%26autohide%3D2%26wmode%3Dtransparent

Tidak semua penggunaan dan berita robotik tahun ini mempunyai konotasi negatif. Boston Dynamic sebagai syarikat yang paling terkemuka dengan teknologi robot mereka berkongsi video bagaimana robot Atlas mereka boleh membantu pekerja manusia di tapak pembinaan. Dalam video sepanjang 80 saat di atas, kemampuan membina jambatan, melompat, memanjat tangga, mengambil barang dan melakukan balik kuang seperti seorang ahli gimnastik diperlihatkan.

Atlas masih tidak mempunyai sebarang penggunaan komersial seperti Spot, Stretch dan Handle yang turut ditawarkan oleh Boston Dynamics. Tetapi jika di masa hadapan manusia memerlukan pekerja tapak pembinaan yang pakar dengan Parkour, Atlas ialah robot yang paling sesuai digunakan.


7. Syarikat Jepun Membangunkan Robot Seumpama “Gundam”

Genre animasi robot gergasi dipopularkan di Jepun menerusi siri Gundam pada tahun 1979. Gundam sebenar masih belum menjadi realiti dan sekadar tarikan pelancong di taman tema sahaja pada waktu ini. Tetapi ia semakin hampir menjadi realiti selepas robot ARCHAX dibangunkan oleh sebuah syarikat di Tokyo dengan ia setinggi 4.5 meter.

Kokpit ARCHAX dilengkapi dengan beberapa monitor untuk memudahkan kawalan dan melihat persekitaran apabila seseorang mengawalnya. Robot ini juga boleh bergerak pada kelajuan 10km/j dalam mod pengangkutan. Pembangunnya menyasarkan untuk menghasilkan sebanyak 5 robot untuk peminat dunia robot. Ia dijangka ditawarkan pada harga $3 juta (~RM14.14 juta) sebuah. Namun, sekiranya diperluaskan, ia dijangka boleh digunakan untuk tujuan kecemasan dan juga industri aeroangkasa.


8. Xiaomi CyberDog 2 Turut Dilancarkan Dalam Saiz Lebih Kecil

Xiaomi CyberDog 2 pula dilancarkan pada bulan Ogos sebagai kesinambungan kepada robot asal yang dilancarkan pada tahun 2021. Kali ini ia bersaiz lebih kecil kerana menurut Xiaomi model asal menakutkan kanak-kanak. Dari segi saiz ia lebih kecil berbanding anjing daripada baka Golden Retriever.

CyberDog 2 hanya seberat 8.9 kg dan sepanjang 36.7cm. Walaupun lebih kecil ia lebih bijak dan kompleks dengan ia dilengkapi 12 motor bagi membolehkan ia bergerak dengan kelajuan 1.6 m/s. Xiaomi berkata mereka membangunkan sendiri motor elektrik untuk CyberDog 2 bagi memenuhi keperluan mereka. Antara ciri baharu yang boleh dilakukan CyberDog 2 ialah melakukan balik kuang berkali-kali.

Di China Xiaomi CyberDog 2 dijual pada harga RMB 12,999 (~RM8,500) sahaja dengan ia akan ditawarkan sebagai platform pembangunan robotik dalam jumlah yang terhad.


9. Kuala Lumpur Dipilih Sebagai Lokasi Pejabat Serantau Pertama Ocean Cleanup

Ocean Cleanup menjadikan Malaysia sebagai lokasi ujian untuk The Interceptor sejak 2019. Kapal swapandu ini mungkin tidak kelihatan seperti robot biasa tetapi ia adalah robot pembersih Sungai Klang yang berjaya. Pada bulan April, fasiliti MHE-Demag di Klang dijadikan tempah pembinaan The Interceptor untuk rantau Asia Tenggara. Salah satu kapal ini turut telah menerima penajaan oleh kumpulan Coldplay.

Ocean Cleanup yang berpangkalan di Belanda mengumumkan mereka memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi pejabat serantau pertama mereka di dunia. Lokasi Kuala Lumpur yang strategik menjadi sebab mengapa ia dipilih bagi memudahkan lebih banyak The Interceptor beroperasi di Asia Tenggara. The Interceptor kini turut beroperasi Indonesia, Vietnam, dengan pelan seterusnya memulakan operasi pembersihan di Thailand pula.

Interceptor berfungsi secara swalayar dengan menggunakan bateri dan boleh dicas semula menggunakan panel solar pada bahagian bumbung. Setiap Interceptor boleh mengutip 50,000 kg sampah setiap hari. Oleh sebab itu ia tidak memberikan sebarang impak kepada alam sekitar dan boleh berfungsi tanpa pencemaran bunyi.


10. RACE – Dron Pertanian Swapandu Pertama Keluaran Malaysia Dilancarkan

Meraque Group telah melancarkan kenderaan pertanian swapandu Robotic Agro in Complex Environment (RACE) yang merupakan yang pertama dikeluarkan syarikat Malaysia pada bulan September. Robot dengan runut ini boleh melakukan tugasan di ladang secara automatik tanpa campur tangan manusia.

Menurut Meraque ciri lain pada RACE ialah kawalan mobiliti dengan kecerdasan buatan (AI), penghantaran data masa nyata jarak jauh, (LoRa), pengesanan cahaya dan sistem (LiDAR). RACE dicipta untuk mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh dan meningkatkan penyemburan baja di pelbagai kawasan tanaman dan ladang pertanian, bukan hanya untuk kegunaan di ladang kelapa sawit. 

Tahun lalu prototaip RACE telah diperlihatkan di acara Ekspo & Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES). Meraque juga terlibat dalam penghasilan kit dron bagi mencungkil bakat pengendali dron tempatan.

Komen