Cari @ Amanz

Tahun 2020 ialah tahun yang menarik bagi dunia teknologi kerana pelbagai vaksin Covid-19 telah berjaya dibangunkan dalam masa kurang setahun. Bagaimana pula dengan tahun 2021? Adakah ia masih sehebat tahun lalu? Jawapannya pastilah ya dan berikut ialah 10 berita sains paling menarik sepanjang tahun ni mengikut pendapat editor Amanz.

1. Ini Wajah Sebenar Orang Perak

Orang Perak atau lebih dikenali sebagai Perak Man ialah rangka manusia tertua yang pernah ditemui di Semenanjung Malaysia. Rangka yang ditemui pada tahun 1991 di Gua Gunung Runtuh, Lembah Lenggong Perak ini dianggar berusia di antara 10,00-11,000 tahun. Selepas tiga dekad ditemukan, saintis USM telah menghasilkan imej pengolokan wajah sebenar Orang Perak menggunakan teknologi terkini pada Februari lalu.

Teknik cetakan 3D, imbasan CT dan teknik pembentukan semula wajah forensik telah digunakan bagi menghasilkan imej di atas yang dipercayai paling tepat pernah dihasilkan setakat ini. Usaha menghasilkan wajah sebenar ini dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia dengan bantuan firma Ortogonline Treinamento em Desenvolvimento Profissional e Consultoria Ltda dari Brazil.

Penyelidik mendapati isipadu kepala Orang Perak adalah lebih kecil berbanding isipadu manusia moden memberikan hipotesis selain kecacatan fizikal, Orang Perak mungkin turut mempunyai kecacatan mental. Kecacatan pada tulang belakang dan tangan kiri dapat dilihat pada rangka. Sungguhpun begitu ahli arkeologi percaya beliau adalah insan yang penting dalam komuniti berdasarkan cara dan lokasi ia ditanam.

2. Malaysia Negara Pertama Merawat Hepatitis C Dengan Tablet Ravida

Selain berita Orang Perak yang pantas tular sehingga menjadi meme di media sosial, Malaysia juga mendapat perhatian dunia apabila menjadi negara pertama menggunakan tablet Ravida 200mg (Ravidasvir Hydrochloride 200mg) bagi merawat penyakit Hepatitis C pada Jun lalu.

Penggunaan secara bersyarat dibenarkan kerana Ravida dilihat sebagai kaedah rawatan dengan kos yang lebih berpatutan berbanding rawatan menggunakan ubat Direct Acting Antivirals (DAA) pada masa ini menelan kos yang tinggi. Jangkitan HCV merupakan isu kesihatan awam di negara ini dan Malaysia komited untuk menghapuskan HCV menjelang 2030.Produk ini dikilangkan oleh Doppel Farmaceutici S.R.L, Itali yang mana Pharmaniaga Manufacturing Berhad adalah pemegang pendaftaran produk tersebut di Malaysia.

3.Ginjal Khinzir Berjaya Dipindahkan Ke Penerima Manusia

Joe Carrotta/NYU Langone Health

Teknologi menggunakan organ haiwan sebagai organ gantian manusia giat dibangunkan sejak lebih sedekad lalu. Ia diharap dapat menyelesaikan isu kekurangan organ kepada pesakit yang amat memerlukannya. Pada Oktober lalu, akhirnya ginjal khinzir berjaya dipindahkan kepada penerima manusia buat pertama kali.

Ginjal beroperasi dengan baik selama 54 jam sebelum ditanggalkan semula kerana ujian ini dilakukan ke atas seorang pesakit yang disahkan mengalami kematian otak. Pada waktu ini pembedahan xenotransplan masih lagi di peringkat awal tetapi ia adalah langkah pertama untuk menjadikan pemindahan organ haiwan ke manusia untuk menjadi perkara biasa.

Selain ginjal, pemindahan paru-paru khinzir ke manusia juga sedang dibangunkan. Di masa hadapan masalah kekurangan organ akan menjadi isu silam cuma ia pastinya kekal topik kontroversi khususnya bagi penganut agama yang menganggap khinzir adalah kotor dan yang tidak boleh menggunakan langsung organ haiwan.

4. Lautan Selatan Rasmi Laut Kelima Utama Dunia

Fakta geografi yang kita belajar di sekolah terpaksa diperbetulkan pada Jun tahun ini apabila Lautan Selatan secara rasmi diiktiraf sebagai lautan kelima utama dunia. National Geographic Society secara rasmi mengiktiraf Lautan Selatan sebagai lautan utama dunia. Selama ini hanya empat lautan utama diiktiraf iaitu Pasifik, Atlantik, India dan Artik. Lautan Selatan yang mengelilingi Antartika secara rasmi akan diletakkan pada carta-carta yang digunakan National Geographic Society.

Isu pengiktirafan Lautan Selatan sebagai antara lautan utama dunia telah berlarutan sejak berdekad lamanya. Kewujudannya telah diiktiraf oleh ahli sains kerana mempunyai arus tersendiri yang berbeza dengan empat lautan utama yang lain. Tetapi sempena Hari Lautan Dunia 2021, National Geographic Society bersetuju mengiktirafnya dengan meletakkan Lautan Selatan pada peta rasmi dunia sejak mengeluarkannya sejak 1915.

5. Matahari Buatan Manusia Semakin Panas Merealisasikan Pelakuran Nuklear

Tokamak

Masalah utama manusia ialah keperluan tenaga meningkat setiap tahun tetapi sebahagian besar masih dijana menggunakan bahan api fosil yang mencemarkan bumi. Tenaga geoterma, udara, solar dan hidro adalah lestari tetapi kuasa yang dijana masih terlalu kecil. Penyelesaiannya mungkin adalah reaktor pelakuran nuklear.

Tahun ini tokamak EAST di China dan KSTAR Korea Selatan masing-masing berjaya mencatatkan suhu yang lebih panas berbanding permukaan matahari dengan masa ia kekal pada suhu tersebut juga semakin meningkat. Ini menjadikan impian membina reaktor pelakuran nuklear yang bersih bakal menjadi realiti.

Sebaliknya apabila isotop deuterium dan tritium digabungkan menerusi proses pelakuran, hanya helium dan neutron akan dihasilkan. Pada masa yang sama, tenaga yang dilepaskan menerusi proses pelakuran adalah sehingga empat kali ganda lebih besar berbanding proses pembelahan nuklear.

6. Vaksin Kanser Semakin Hampir Menjadi Realiti

Tahun 2021 ialah tahun yang paling teruk dalam kehidupan saya. Ibu tersayang meninggal dunia kerana kanser yang bermula di rahim telah merebak ke seluruh tubuh. Kebencian penulis kepada kanser membuak-buak selepas kematian ibu tersayang. Tetapi dalam kesedihan masih ada sedikit sinar harapan kerana University of Oxford dan Ludwig Institute for Cancer Research memulakan ujian vaksin kanser mereka tahun ini.

Teknologi yang digunakan untuk membangunkan vaksin Covid-19 Oxford-AstraZeneca telah digunakan semula untuk vaksin kanser ini. Sementara itu Dr. Ozlem Tureci yang membangunkan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech mengatakan beberapa calon vaksin kanser menggunakan teknologi mRNA sudah dikenalpasti. Kanser ialah penyakit yang meragut jutaan nyawa dengan pesakit cukup terseksa di hari-hari akhir mereka di muka bumi. Jika ada satu penyakit yang penulis inginkan terhapus dengan segera ialah kanser. Semoga vaksin kanser yang berkesan dapat dihasilkan semasa kita semua masih hidup.

7. Diabetis Jenis 1 Berjaya Dirawat

Selain kanser, komplikasi diabetes ialah satu lagi penyumbang kematian terbesar di Malaysia. Tahun lalu fakta mengatakan hanya ada empat lautan utama telah diubah dan kemudiannya fakta yang mengatakan tiada rawatan untuk diabetes juga perlu dirombak semula.

Brian Shelton dari Amerika Syarikat ialah manusia pertama yang pulih daripada diabetes jenis satu (Type 1 Diabetes) menggunakan rawatan sel tunjang yang dibangunkan oleh Vertex Pharmaceuticals. Penyelidik di Vertex Pharmaceuticals mencipta teknik ini bagi merawat dua orang anak beliau yang turut merupakan pesakit diabetes jenis 1. Walaupun sudah berjaya dirawat, saintis masih menanti untuk kajian semula setara dilakukan ke atas data yang diterbitkan. Jika terbukti sekalipun, rawatan ini akan masih mengambil masa sehingga lima tahun untuk menjalani pelbagai proses ujian klinikal sebelum boleh digunakan sebagai rawatan di dunia sebenar.

8. Helikopter Pertama Terbang Di Marikh

Ilustrasi Ingenuity – NASA

Pada April 2021, satu lagi sejarah penting dunia aeroangkasa berjaya dicatatkan manusia dengan kejayaan penerbangan helikopter Ingenuity di planet Marikh. Ingenuity berjaya melakukan mengapung selama 40 saat dalam penerbangan sulungnya pada bulan tersebut sebelum melalukan beberapa lagi penerbangan untuk meneroka Marikh. Ia adalah kejayaan besar manusiawi kerana membuka pintu kepada penerokaan planet Marikh yang lebih menyeluruh sebelum misi menghantar manusia dilakukan.

Untuk menerbangkan Ingenuity di Marikh bukanlah perkara mudah kerana atmosferanya yang lebih nipis berbanding bumi. Dua pasang kipas Ingenuity perlu berputar 2500 kali seminit berbanding hanya 500 putaran seminit di atmosfera bumi.

Helikopter Marikh ini tiba ke planet merah bersama dengan perayau Perseverance pada 19 Februari lalu. Misi pendaratan Perseverance itu sendiri mengukir sejarah kerana ia diturunkan menggunakan kren angkasa lepas pertama dunia. Sistem ini membolehkan ia mendarat di lokasi yang tepat berbanding sistem beg udara yang digunakan untuk kenderaan perayau NASA yang terdahulu.

9. Implan Otak Manusia Dibangunkan

Dalam filem sains fiksyen, implan ke otak adalah perkara normal yang membolehkan manusia digabungkan dengan mesin. Contoh paling terkenal mungkin filem The Matrix dimana antaramuka komputer dicucuk terus ke otak untuk menyelami dunia maya. Pada bulan Julai lalu, implan otak manusia pertama berjaya dilakukan oleh Facebook Reality Labs dan University of California San Francisco.

Sistem ini memerlukan implan pada permukaan otak dan ia membolehkan seorang pesakit lumpuh menaip dengan hanya berfikir. Dengan penggunaan sistem ini, pesakit boleh berhubung orang lain menggunakan 50 perkataan. Rangkaian neural yang dibangunkan menaip perkataan yang diingini selepas membaca gelombang otak yang dihasilkan.

Walaupun kejayaan yang diumumkan ini adalah berita baik, sistem masih hanya mampu mengesan 18 perkataan seminit dengan ketepatan sekitar 75% sahaja. Dalam perbualan normal, manusia boleh mengeluarkan sehingga 200 patah perkataan seminit.

10. Perubahan Iklim Mula Dipandang Serius

Perubahan iklim ialah terma yang menjadi sebutan ramai tahun ini setanding dengan rantaian blok, NFT, IR 4.0 dan kecerdasan buatan. Selama ini perubahan iklim dipandang endah tak endah sahaja oleh kerajaan utama dunia dan juga syarikat-syarikat besar. Ia menjadi perkara penting selepas PBB mengesahkan bahawa benua Antartika mencatatkan suhu tertinggi setakat ini, iaitu 18.3 darjah Celcius pada tahun lepas. Suhu tersebut dicatatkan pada 6 Februari 2020 oleh pusat penyelidikan Esperanza milik Argentina di semenanjung Antartik. Amat merisaukan kerana selama ini suhu hanya meningkat ke 10 darjah Celcius.

Di COP26 pula, Pakatan Iklim Glasgow ditandatangani untuk mengurangkan penggunaan arang batu dan melakukan deklarasi untuk mengurangkan penebangan hutan menjelang 2030. Kesemuanya bagi memastikan peningkatan suhu yang kritikal tidak berlaku. Tidak berkhir di situ,Hadiah Nobel untuk fizik pula dianugerahkan kepada tiga saintis Syukuro Manabe, Kalus Hasselmann, dan Georgio Parisi atas penemuan sains perubahan iklim serta sistem kompleks.

Perubahan iklim adalah benar. Bencana banjir besar yang melanda Malaysia seminggu lalu menunjukkan kita terdedah kepada perubahan iklim walaupun Menteri Alam Sekitar mengatakan sebaliknya. Fakta depan mata dan data dalam ratusan kajian tidak boleh disangkal tetapi adalah kita sudah terlambat?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd