10 Berita Teknologi Terbesar Sepanjang 2021

Diterbitkan pada Dis 23, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tinggal lapan hari sahaja sebelum 2021 menjadi 2022. Masa sangat pantas berlalu untuk tahun kedua kerana kita semua kembali berkurung akibat penangan pandemik. Sungguhpun kehidupan sedikit terbatas, dunia teknologi terus ke hadapan kerana pandemik sekalipun tidak boleh membendung keperluan untuk manusia terus berinovasi. Berikut ialah 10 berita teknologi terbesar sepanjang 2021 menurut pandangan editorial Amanz. Selain senarai di bawah, kami juga telah menerbitkan senarai 10 perkara paling mengecewakan sepanjang 2021.

Facebook Kini Meta

Jarang sekali jenama besar mengubah nama mereka yang dikenali berbilion penduduk muka bumi. Tetapi inilah yang dilakukan oleh Facebook dengan syarikat induk kepada WhatsApp dan Instagram mengubah nama mereka menjadi Meta secara rasmi pada bulan Oktober 2021. Ia mengejutkan kerana ia seperti Apple secara-tiba mengubah nama menjadi Durian.

Mark Zuckerberg berkata nama Meta dipilih kerana hala tuju syarikat yang seterusnya ialah membangunkan alam meta yang boleh diselami menggunakan peranti realiti maya. Langkah pertama ke alam meta seakan Ready Player One ialah pelancaran Horizon World yang kini dibuka kepada pengguna di Amerika Utara beberapa minggu yang lalu.

Terdapat juga spekulasi mengatakan pertukaran nama dilakukan kerana Facebook Papers telah didedahkan oleh bekas kakitangan Facebook yang mendedahkan syarikat media sosial mengetahui masalah dengan platform mereka tetapi didakwa lebih mementingkan keuntungan. Cerita siapa yang kita perlu percaya? Semua terletak di tangan pembaca.

5G Akhirnya Tiba Di Malaysia

5g Samsung Stage Pentas Logo

Selepas pelancaran ditangguh akibat penarikan semula spektrum dan kemudian tamparan hebat Covid-19, Malaysia akhirnya memasuki era 5G. Peranti 5G yang ditawarkan sejak 2019 akhirnya boleh menikmati kelajuan internet selular yang amat pantas dengan masa pendam yang rendah. Sesi permainan video lebih lancar dan tiada lagi isu menstrim video YouTube pada tetapan HD menurut ciapan Menteri Telekomunikasi dan Multimedia.

Setakat ini hanya TM dan YES menawarkan perkhidmatan 5G mereka di beberapa kawasan dengan kelajuan mencecah 700 Mbps ketika artikel ini ditulis. Masih tiada sebarang pengumuman dari tiga syarikat telekomunikasi utama Maxis, Celcom dan Digi mengenai bilakah mereka akan menawarkan 5G. Masih terlalu awal untuk meramal apakah perubahan kepada masyarakat yang akan berlaku dengan pengenalan 5G. Bersyukur sahaja ia akhirnya sudah bermula.

Penggunaan Bitcoin Sebagai Mata Wang Rasmi

Bitcoin

Bitcoin akhirnya diangkat sebagai mata wang di El Salvador tahun ini sekaligus menjadi negara pertama yang menggunakan kriptowang secara rasmi. Ini diikuti pula dengan pengumuman pembinaan Bitcoin City yang menggunakan kuasa elektrik yang dijana menggunakan kuasa gunung berapi yang lestari. Penggunaan Bitcoin sebagai mata wang rasmi ialah satu lagi langkah untuk menormalisasikan penggunaannya seperti wang fiat yang lain.

El Salvador memulakan langkah pertama tetapi negara lain seperti China telahpun mengharamkannya sementara di Indonesia pula kriptowang dijatuhkan hukuman haram oleh Majlis Ulema Indonesia. Kami tahu ramai yang menyokong penggunaan kriptowang tetapi ramai juga yang menolaknya kerana sebab-sebab tertentu. Sama ada bersetuju atau tidak, kriptowang akan terus wujud dan dengan ia mula digunakan oleh El Salvador, momentumnya tidak boleh dihalang lagi.

Peranti Skrin Boleh-Lipat Semakin Mampu Milik

Tahun lalu kami meramalkan tahun 2021 akan menjadi tahun peranti skrin boleh-lipat dan ia menjadi kenyataan. Samsung, Xiaomi, Huawei, Oppo dan Motorola mengeluarkan peranti skrin boleh-lipat mereka tahun ini. Yang menjadikannya menarik tahun ini ialah harga jualan kesemua peranti.

Samsung Galaxy Z Fold3 dan Z Flip3 kedua-duanya dijual pada harga yang lebih mampu milik berbanding model tahun terdahulu. Xiaomi Mi MIX Fold dan Oppo Find N kemudian dilancarkan dengan harga yang juga lebih rendah. Kita kini hanya menanti P50 Pocket untuk dilancarkan mungkin pada harga yang juga mampu milik. Masa depan peranti skrin boleh-lipat nampak cerah sekiranya harga jualan akan dapat terus dikurangkan sehingga setanding harga telefon candybar biasa.

Windows 11 Dilancarkan

Windows 11

Windows 11 kini rasmi sebagai sistem operasi terbaru Microsoft. Ia hadir enam tahun selepas pelancaran Windows 10. Dengan Windows 11 sekali lagi perubahan dilakukan pada antaramuka sistem operasi paling popular dunia dengan elemen dipinjam dari macOS. Ada yang suka ada juga yang kecewa kerana masalah legasi turun temurun Windows berterusan dalam interasi yang terkini.

Perubahan paling besar selain rekaan semula antaramuka ialah aplikasi Android dapat digunakan terus dalam ekosistem Windows 11. Jutaan aplikasi yang kini digunakan pada peranti Android boleh digunakan serta merta. Ini menyelesaikan keluhan pengguna Windows yang mengatakan aplikasi popular versi natif untuk sistem operasi ini tidak banyak ditawarkan. Sembilan tahun selepas Windows 8 dan Windows Phone 7 menjanjikan integrasi aplikasi pada PC dan telefon pintar ia akhirnya berlaku dengan bantuan Android.

Perang Angkasa Lepas Antara Bilionwan

Tahun 2021 ialah tahun bilionwan dengan harta yang banyak mula menawarkan perkhidmatan melancong ke angkasa lepas. Status sebagai bilionwan pertama menawarkan pelancongan ke angkasa lepas oleh syarikat swasta ialah milik Sir Richard Branson pada bulan Julai. Jeff Bezos menyusul pada seminggu selepas Branson yang turut menjadi misi dengan penumpang paling tua dan paling muda ke angkasa lepas dalam sejarah.

Elon Musk tidak mahu ketinggalan dan misi ke angkasa lepas pada bulan September yang kini diiktiraf sebagai misi ke angkasa sebenar dengan krew orang awam pertama dunia. Perbezaan misi SpaceX dengan Virgin Galactic dan Blue Origin ialah Musk tidak menjadi penumpang dalam roket yang dibina oleh syarikat milik peribadi. Misi ke angkasa lepas komersial sudah menjadi realiti. Seterusnya ialah kembali ke bulan dengan Misi Artemis.

Selamat Tinggal Peranti Pintar LG

Tahun 2021 kita mengucapkan annyeong kepada LG Yang menarik dari dari perniagaan telefon pintar. LG Wing ialah telefon pintar terakhir keluaran mereka yang mengekalkan DNA rekaan tidak konvensional yang unik. Dengan saingan yang semakin hangat dari pengeluar dari China dan Samsung, LG Mobile tidak lagi mampu terus kekal dalam pasaran. Pengumuman dilakukan pada bulan April 2021 sebelum sempat peranti LG Rollable dipasarkan kepada orang ramai.

LG akan terus mempunyai legasi sebagai antara syarikat yang paling inovatif dalam dunia telefon pintar. Mereka memperkenalkan lensa ultra sudut lebar, rekaan modular, kemampuan menghalau nyamuk, skrin berputar, skrin melengkung dan skrin 1:1 sebelum ini sebagai cara menarik perhatian pengguna. Percubaan mereka tidak begitu menjadi tetapi keberanian mereka harus diberikan tepukan dalam dunia yang kini dipenuhi peranti yang pelanduk dua serupa.

Tahun Perisian Tebusan REvil

Perisian tebusan sudah menyerang dunia sejak lima tahun yang lalu dengan antara yang menjadi mangsa ialah Media Prima. Tahun 2021 ialah tahun perisian tebusan REvil yang melakukan serangan yang lebih berani kerana kemampuan menghalang serangan menjadi lemah kerana ramai yang bekerja dari rumah. Quanta yang membekalkan komponen kepada Apple telah diserang menyebabkan lukisan skematik produk rahsia tertiris ke arena web. Kemudian serangan ke atas Union Pipeline menyebabkan bekalan bahan api di Pantai Timur Amerika Syarikat terjejas.

Serangan ke atas Union Pipeline ini menyebabkan pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Europol bekerjasama menahan suspek yang terlibat dengan serangan REvil. Operasi kumpulan penggodam yang terlibat telah berjaya dilumpuhkan setakat ini apabila mereka pula digodam oleh FBI, Cyber Command dan Secret Service Amerika Syarikat. Tindakan hanya dilakukan selepas serangan Revil berjaya mengumpul wang tebusan bernilai 200 juta dari 7000 mangsa dari seluruh dunia.

Cermin Mata Pintar Kembali

Cermin mata pintar kembali dihasilkan seperti Neo kembali semula ke dunia The Matrix tahun ini. Oppo Air Glass, Xiaomi Smart Glasses, TCL Thunderbird, Razer Anzu, Anker Soundcore dan Facebook Ray-Ban Stories adalah antara cermin mata pintar yang dilancarkan tahun ini. Pembangunan cermin mata pintar mendapat perhatian ramai apabila Google Glass diperlihatkan pada tahun 2012. Ia sepatutnya membuka dimensi baru peranti boleh-pakai sebelum projek dihentikan sebelum hanya memberikan perhatian kepada pengguna industri.

Dengan ALAM META kini menjadi perkataan wajib dalam setiap pengenalan produk baharu (seperti 3D dan VR suatu ketika dahulu), semua syarikat utama mempunyai perancangan menghasilkan cermin mata pintar mereka yang boleh menggabungkan dunia sebenar dengan dunia maya. Apple pula dilaporkan akan membangunkan set kepala realiti terhubung pada tahun 2022 yang kelak akan menggantikan iPhone dalam masa hanya sedekad.

Pengeluaran Cip Rekaan Sendiri

Akhir sekali ialah tahun 2022 melihat semakin banyak pengeluar peranti yang mula mengeluarkan cip rekaan sendiri. Mungkin selepas melihat kejayaan Apple menggunakan Apple Silicon yang dikawal sepenuhnya, masalah mendapatkan bekalan cip serta apa yang berlaku kepada Huawei selepas sekatan perdagangan dilakukan semua syarikat mula cuba bergerak secara kendiri.

Xiaomi Surge C1, Oppo MariSilicon X dan Vivo V1 adalah tiga cip ISP yang dilancarkan tahun ini. Bermula dengan cip pengimejan terlebih dahulu sebelum menghasilkan cip sendiri seperti Samsung Exynos. Malahan Samsung sendiri disahkan membangunkan GPU sendiri dengan bantuan AMD tahun ini. Selepas bertahun bergantung kepada Qualcomm dan MediaTek, tahun 2022 mungkin akan melihat lebih banyak cip keluaran sendiri dari pengeluar peranti-peranti terbesar industri.

Adakah berita-berita menarik yang tertinggal? Jika ada sila nyatakan apakah berita teknologi terbesar yang berlau sepanjang 2021 menurut pandangan anda semua.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami