Cari @ Amanz

Tahun 2021 sudah tinggal hanya saki baki tompok-tompok di padang pasir ketika anda membaca artikel ini. Seperti tradisi di Amanz di penghujung tahun, sebuah rangkuman akan ditulis mengenai tahun yang masih teruk dihentam oleh pandemik. ADi bawah ialah 10 perkara paling mengecewakan kami di Amanz tahun ini yang diharap tidak berulang kembali pada tahun 2022.

1.Covid Masih Berleluasa

Covid-19 masih berleluasa dengan hanya beberapa minggu lalu varian Omikron menjadi bualan ramai. Kini kita mengetahui Omikron lebih cepat merebak berbanding Delta dan turut meningkatkan jumlah pesakit yang perlu ke hospital menurut kajian paling terkini Imperial College London. Di Malaysia ketika artikel ditulis, baru 12 kes import dilaporkan. Kerisauan ialah dengan jalan udara dari Eropah masih dibuka, mungkin lebih banyak kes import akan menerjah negara seperti Francis Light mendarat di Pulau Pinang lebih tiga ratus tahun yang lalu.

Di awal 2021 muncul sinar harapan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan dapat mengembalikan kita ke dunia pra-pandemik. Namun begitu kita masih mencatatkan lebih 30 kematian sehari dengan kes empat angka menjadi norma baharu. Masihkah anda ingat awal 2020 dimana dengan kurang 10 kes sekalipun kita sudah mula risau. Norma baharu membuatkan kita menjadi lali dengan ribuan jangkitan baharu dan puluhan kematian.

Mungkin tanpa video perarakan van jenazah dan video TikTok dengan laju sedih mengiringi kematian membuatkan kita mula tidak peduli. Kita masih belum menang. Eropah dan Amerika Syarikat kini di ambang lumpuh kerana kepandaian marga-marga yang melakukan kajian Google mula menentang kajian sains. Di Malaysia spesis ini juga semakin aktif dibantu kebaculan platform media sosial untuk menghalang penyebaran kebatilan.

2. Apple Masih Menggunakan Lightning

Apple terus menggunakan port pengecasan Lighthing pada iPhone tahun ini walaupun beberapa ura-ura tahun lalu meramalkan USB-C akan akhirnya diperkenalkan. Mereka terus menentang walaupun Kesatuan Eropah telahpun bersetuju untuk menggunakan USB-C sebagai kepala standard untuk kesemua peranti elektronik di kalangan negara ahli. Jika MacBook, iPad Pro dan iPad Mini sudah menggunakan USB-C mengapa tidak diseragamkan sahaja untuk menyenangkan pengguna?

Artikel ini ditulis ketika saya sedang bercuti. Dalam beg saya terpaksa membaca tiga kabel Lightning untuk mengecas iPhone dan iPad. Dibawa juga kabel USB-C untuk MacBook dan satu kabel untuk mengecas Apple Watch. Jika port pengecasan diseragamkan, hidup menjadi lebih mudah dan beg menjadi kurang berserabut.

Penggunaan Lightning tidak lagi munasabah kerana iPhone 13 Pro kini boleh mengambil video ProRes dengan saiz besar. Lightning sekadar menyokong protokol USB 2.0 yang memindahkan data pada kelajuan 480 Mbps. USB-C pada iPad Pro menyokong protokol USB 3.0 yang memindahkan data pada kelajuan 10Gbps. Langit dan bumi perbezaannya.

3.Masih Berlaku Kekurangan Bekalan Komponen

Kekurangan cip menyebabkan sukar mendapatkan komputer, kad grafik, cip komputer, tablet, dan telefon pintar. Tahun ini agak unik apabila cip Snapdragon 780G dihentikan pengeluarannya kerana kehabisan bekalan. Seingat saya ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Kekurangan bekalan juga menyebabkan ada peranti yang dijual di Malaysia tidak dapat dibeli selepas tempoh pra-tempahan. Contoh terbaik ialah siri iPhone 13 yang masa menunggunya masih lama dengan waktu menanti mengambi masa beberapa minggu.

Sebelum ini tiada masalah mendapatkan iPhone selepas sebulan dilancarkan kerana stok pasti ada di kedai-kedai popular. Kekurangan cip juga dipercayai mengakibatkan pelancaran Samsung Galaxy S21 FE dan Galaxt Tab 8 sehingga kini tertangguh. Ramalan paling optimis mengatakan masalah bekalan cip akan berakhir pada separuh tahun kedua 2022. Jadi tahun 2022 masih akan bermasalah. Diharap jangan berlaku pula kes penipuan cip seperti di China apabila kereta elektrik Ora Good Cat menggunakan cip tahun 2016 dan bukan cip Qualcomm seperti yang diiklankan. Akibatnya prestasi sistem infohibur terjejas dan aplikasi tidak disokong.

4. 5G Malaysia Hidup Segan Mati Tak Mahu

DNB Digital Nasional

Tahun ini sepatutnya kita akhirnya memasuki era 5G selepas setahun tertangguh. Menerusi DNB kerajaan ingin menyewakan infrastruktur 5G kepada syarikat telekomunikasi dengan harapan kos kepada pengguna akan menjadi lebih murah berbanding 4G. Ketika artikel ditulis hanya TM dan Yes sudah mula menawarkan perkhidmatan 5G mereka di Malaysia.

Dua syarikat ini bukanlah syarikat telekomunikasi selular utama negara. Mana Celcom, Maxis dan Digi? Tiga gergasi masih tidak menggunakan prasarana DNB dan meminta supaya mereka dibenarkan menggunakan infrastruktur alternatif. Ada sesuatu yang tidak kena dengan implementasi 5G di Malaysia dengan ada yang mengatakan ia kelak akan menjadi 1MBD 2.0. Sebagai pelanggan kepada salah satu daripada tiga syarikat telekomunikasi selular di Malaysia saya cukup kecewa dengan penangguhan 5G.

Isu kelewatan 5G ini menjadi semakin serius kerana 3G telah mula dimatikan di Malaysia secara berperingkat. Saya menyedari kualiti panggilan suara dan Internet sedikit terjejas sejak 3G dimatikan. Kadang kala 4G ditunjukkan dengan palang penuh di peranti tetapi Internet perlahan sehingga tidak boleh melalukan carian Google. Saya tidak peduli sangat dengan kelajuan 5G tetapi apabila 3G dimatikan untuk spektrum tetapi 5G masih tidak dilancarkan ia menimbulkan kemarahan oleh pengguna.

5. Kemaskini Android Masih Perlahan

Kemas kini Android masih lagi perlahan untuk tahun ke-13 berturut-turut. Project Treble yang diumumkan tiga tahun lalu sepatutnya mempercepatkan proses mengemaskini Android hanya tinggal janji. Sedang Android masih kekal perlahan dalam memberikan kemas kini, Apple mengumumkan sokongan sekuriti berterusan untuk peranti-peranti yang sudah berusia lebih lima tahun. Malahan pemilik iPhone diberikan pilihan untuk terus menggunakan iOS 14 tetapi terus menerima tampalan sekuriti kritikal.

Dari segi sokongan sistem operasi, Apple masih jauh di hadapan meninggalkan Android. Ini mungkin antara penyumbang kepada peningkatan peratusan pengguna iOS di dunia kerana dengan telefon pintar ialah komputer kegunaan harian bagi majoriti pengguna, keselamatan, privasi dan jaminan data tidak akan dicuri adalah lebih penting berbanding kesetiaan kepada jenama.

6. Mana PC Pesaing Untuk MacBook M1?

Sudah lebih setahun Apple MacBook Air M1 dan Apple MacBook Pro M1 dilancarkan dengan Apple Silicon yang direka sendiri oleh Apple. Prestasi kedua-dua komputer riba ini masih tiada tolok bandingnya dengan kesemua komputer riba Windows di pasaran. Kemampuan memproses yang baik dipadankan dengan ketahanan bateri yang tidak masuk akan serta tiada langsung masalah haba yang sinonim dengan cip Intel.

Selepas setahun mana jawapan daripada Intel, AMD dan Qualcomm untuk Apple Silicon? Memang awa komputer riba Windows yang menggunakan cip ARM tetapi prestasinya masih tidak sama seperti MacBook. Dalam ulasan yang kami terbitkan, ada kami katakan MacBook Air M1 mungkin komputer riba paling berbaloi di pasaran sekarang. Harga mungkin lebih mahal berbanding komputer riba ringan Windows tetapi untuk setiap ringgit yang dibelanjakan anda mendapat nilai yang lebih baik. Qualcomm sudah melancarkan Snapdragon 8cx Gen 3 bulan ini. Kami menanti komputer riba pertama untuk melihat sama ada pesaing kepada M1 akan akhirnya muncul.

7. Media Sosial Masih Gagal Menghalang Penyebaran Berita Palsu

Di Amerika Syarikat antara topik paling hangat diperkatakan ialah Facebook Paper yang meniriskan pelbagai kajian dalaman dilakukan oleh Meta yang menujukkan platform mereka memberikan kesan negatif kepada masyarakat, mewujudkan masalah imej tubuh yang negatif dan menjadi platform utama penyebaran berita palsu yang boleh merosakkan masyarakat.

Facebook Papers ditiriskan oleh Frances Haugen yang merupakan bekas pengurus produk di Facebook. Beliau kemudian dipanggil untuk memberikan keterangan di Kongres Amerika Syarikat mengenai bahaya platform media sosial yang semakin tidak terkawal. Marck Zuckerberg segera menafikan Meta mementingkan keuntungan daripada keselamatan pengguna. Sejurus selepas Facebook Papers ditiriskan, Meta mula memadam data pengecaman wajah pengguna dan Instagram pula mula meletakkan pelbagai kawalan untuk melindungi pengguna bawah umur.

Masalahnya semua tindakan ini sekan terlambat kerana nasi yang menjadi bubur kini di dalam perut sedang dicerna. Di Malaysia Facebook menyebarkan dakyah anti-vaksin dengan seorang pesakit mendakwa beliau ditahan di hospital tanpa redha. Beliau tidak percaya Covid membunuh dan selepas keluar dari hospital segera bertemu ilahi kerana komplikasi penyakit.

Pasca kematian peminat teori konspirasi menyebarkan dakyah beliau sebenarnya dibunuh pihak hospital. Kesemua pertuduhan tidak berasas ini kekal di platform media sosial dan tidak dipadam kerana Malaysia ialah negara yang berkepentingan rendah tanpa pasukan moderator kandungan sepanjang masa. Masalah akan terus berlarutan selagi platform media sosial tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana kegagalan mereka mengekang berita palsu. Yang untung berbilion mereka yang ruginya pengguna.

8. Pelajar Ketinggalan Kerana PdPR

PDPR Budak Sekolah

Pandemik menyebabkan sekolah ditutup pada bulan April dan hanya dibuka secara bergilir pada bulan November. Selama tujuh bulan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) telah dilakukan bagi meneruskan sesi persekolahan. Pujian kami berikan kepada pihak kerajaan kerana menawarkan pakej data percuma dengan bantuan syarikat telekomunikasi. Tetapi hakikatnya ramai anak-akan usia persekolahan tercicir kerana tidak mempunyai peranti yang cukup.

Ada satu peranti dikongsi lima orang anak. Ada yang menerima bantuan dari Wakil Parlimen dan Wakil Rakyat tetapi menurut jawapan yang diberikan di Parlimen baru-baru ini lebih 21,000 pelajar berhenti sekolah tahun ini kerana pelbagai cabaran hidup. Satu anak keciciran adalah menyedihkan dan apabila 20,000 keciciran ia adalah tragedi negara. Tabung Cerdik yang sepatutnya menawarkan 150,000 komputer riba percuma pula tidak mencapai sasaran asal.

Diharap Pelan Pendidikan Digital yang diumumkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 kelak akan dapat menghapuskan jurang yang wujud akibat pandemik. Ia perlu dipercepatkan kerana sistem analog sedia ada jelas tidak cukup efektif untuk digunakan di era digital apatah lagi ketika dunia masih dihambat pandemik.

9. LG Pula Kibar Bendera Putih

Dengan persaingan yang semakin hangat dalam arena peranti pintar, tahun 2021 melihat LG mengundur diri dari pasaran. Pengumuman dilakukan hanya beberapa bulan selepas konsep peranti boleh-gulung LG Rollable diumumkan dan selepas peranti terakhir LG Wing dipasarkan. Kehilangan LG adalah agak besar memandangkan mereka anda nama besar industri sekitar sedekad yang lalu. Cukup besar sehingga diberikan tanggungjawab menghasilkan Nexus 5 dan Nexus 5X oleh Google.

Sebagai antara syarikat yang berani melakukan inovasi luar kotak, apa yang berlaku kepada LG adalah agak mengejutkan. Ini ialah syarikat yang memperkenalkan penggunaan lensa sudut ultra lebar, pengimbas cap jari di belakang peranti, skrin melengkung, skrin 3D, bahan kulit dan rekaan modular pada telefon pintar. Selamat tinggal LG. Tahun 2022 syarikat mana pula akan menyusul?

10. Penggunaan Terma Revolusi Industri 4.0 dan Rantaian Blok Tanpa Sebab

Tahun 2021 adalah mustahil untuk tidak membaca sebaran berita dari pelbagai syarikat dan badan kerajaan yang mengandungi termaRevolusi Industri 4.0 dan Rantaian Blok (atau singkatan popularnya IR 4.0 dan Blockchain). Sektor pendidikan, pertanian, perkilangan, kesihatan, dron, pengangkutan dan sebagainya semua menggunakan terma-terma ini sebagai buzz word kosong tanpa sebarang maklumat terperinci bagaimana ia akan merevolusikan kesemua industri tersebut.

Seperti ada penulis teks ucapan golongan menteri yang dipaksa memasukkan terma IR 4.0 dan blockchain dalam kesemua karya mereka tahun ini. Ini ialah perkara yang malas sama seperti pengeluar peranti mengatakan telefon pintar mereka mempunyai kecerdasan buatan sedangkan yang digunakan hanyalah algoritma linear yang tidak sepandai mana.

Penggunaan dua terma ini pada tahun 2021 mengingatkan kami kepada penggunaan “Wawasan 2020” di dekad 90an dan “Koridor Raya Multimedia” di awal 2000. Semua orang menggunakan terma-terma ini sebagai buzz word kosong tanpa konteks. Tidak semua benda memerlukan teknologi IR 4.0 dan blockchain. Jika disoal apa yang cuba disampaikan mungkin jawapan yang diberikan ialah menggaru kepala. Tolong hentikan penggunaan terma teknologi tanpa sebab di tahun 2022.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd