Kita kini di bukan Disember dan sudah menjadi tradisi di Amanz untuk melakukan rangkuman berita paling menarik yang berlaku sepanjang tahun. Seperti tradisi kini mulakan dengan senarai 10 Berita Teknologi Ketenteraan Paling Menarik 2022 terlebih dahulu sebagai pembuka selera. Berita teknologi ketenteraan tahun ini didominasi oleh penggunaan AI dan dron yang dilihat menjadi semakin dominan menggantikan tentera manusia dia medan perang di masa hadapan.
1. Rusia Menamatkan Penggunaan Kapal Selam Terbesar Dunia
Di dekad 80an, kapal selam kelas Typhoon milik Kesatuan Soviet menjadi popular selepas dipaparkan dalam novel The Hunt for Red October oleh Tom Clancy. Ia kemudiannya difilemkan yang meningkatkan lagi pengetahuan orang ramai mengenai kapal selam yang terbesar pernah dihasilkan dalam sejarah dunia yang dari segi saiz lebih besar berbanding kapal pengangkut pesawat Perang Dunia Kedua.
Sebanyak enam Typhoon dibina tetapi kini tiada lagi yang beroperasi selepas kapal terakhir Dmitry Donskoy dinyahtauliah Februari lalu oleh Tentera Laut Rusia. Kos operasi yang terlalu mahal serta tiada lagi keperluan untuk kapal selam gergasi dengan kemampuan melancarkan peluru berpandu nuklear balistik menyebabkan ia tidak lagi sesuai digunakan.
Yang menjadikan kapal selam Typhoon unik ialah ia satu-satunya yang mempunyai kolam renang untuk kegunaan anak kapal dan mempunyai tubuh berganda. Sebuah Typhoon juga mempunyai kapasiti peluru berpandu nuklear balistik yang mencukupi untuk menghapuskan tamadun manusia. Pernah suatu ketika terdapat perancangan mengubah kapal selam kini menjadi kapal kargo.
2. Amerika Ingin Bangunkan Kapal Selam Tujahan Magneto Seperti Red October
Kekal dengan kapal selam kelas Typhoon, kapal selam fiksyen Red Oktober menggunakan sistem tujahan magnetohydrodynamics (MHD) yang senyap. Ramai mungkin tidak menyedari teknologi MHD sudah wujud lebih tujuh dekad tetapi kekangan saiz dan kecekapan menggunakan tenaga membuatkan ia tidak digunakan dengan meluas.
Namun begitu DARPA, agensi yang menggalakkan pengguna teknologi baharu di Amerika Syarikat telah memulakan program Principles of Undersea Magnetohydrodynamic Pumps (PUMP) untuk merealisasikan teknologi MHD untuk kapal dan juga kapal selam kegunaan tentera.
Sistem MHD menghasilkan tujahan menerusi sistem elektromagnet. Kelebihan MHD ialah ia tidak mempunyai sebarang komponen mekanikal yang bergerak. Medan magnet digunakan untuk menolak air ke dalam sebuah tiub. Bayangkan sebuah enjin jet tetapi tanpa sistem pemampat, bahan api perlu dibakar atau kipas yang berputar.
3. Tentera Amerika Menguji Penggunaan AI Generatif
Tentera Amerika Syarikat mengesahkan mereka menguji lima AI generatif dengan model bahasa raya (LLM) ini dilatih menggunakan data rahsia ketenteraan. Dalam satu ujian, AI mampu memberikan jawapan kepada masalah yang diberikan dalam masa 10 minit. Sebelum AI digunakan, jawapan hanya diterima selepas beberapa jam.
Proses mendapatkan maklumat menggunakan AI akan membolehkan keputusan dilakukan ketika melakukan operasi di medan perang lebih pantas. Ujian akan dilakukan sehingga 27 Julai dengan pada peringkat awal ia diminta memberikan jawapan untuk konflik kecil sebelum diberikan masalah yang lebih kompleks melibatkan penggunaan aset dan senjata di medan perang.
4. USAF Memilih Rekaan Pesawat Kargo Tubuh Merangkap Sayap BWB
Menurut kajian Boeing dan Airbus, pesawat dengan tubuh merangkap sayap atau dalam bahasa Inggerisnya blended wing body (BWB) dapat mengurangkan penggunaan bahan api. Pada waktu yang sama lebih banyak kargo boleh dibawa berbanding rekaan pesawat konvensional. Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) minggu lalu memilih firma JetZero sebagai pemenang kontrak membina prototaip pesawat BWB untuk kegunaan mereka.
Rekaan yang dipilih mempunyai tubuh lebar, sayap yang pendek dan dua enjin diletakkan pada bahagian belakang tubuh pesawat. Pesawat BWB boleh mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 50%, mengurangkan geseran udara sehingga 30% dan membawa lebih banyak kargo untuk bahan api yang dibakar. Kelebihan lain ialah dengan enjin diletakkan di bahagian atas, ia boleh beroperasi dari landasan yang tidak berturap tanpa risiko FOD.
5. Tentera Amerika Bangunkan Jam Tangan Pintar Untuk Mengesan Penyakit
Bagi membantu pengesanan penyakit lebih awal di kalangan anggota tentera, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (DOD) membangun projek Rapid Assessment of Threat Exposure (RATE). RATE ialah peranti boleh-pakai yang boleh mengesan pelbagai jenis penyakit lebih awal menerusi bacaan biometri tubuh pemakai. Algoritma membaca data bacaan nadi, suhu dan pelbagai lagi input untuk meramal tahap kesihatan pemakai. Projek dibangunkan sejak Ogos 2020 untuk mengesan Covid-19 lebih awal dengan jayanya.
Ia kini diberikan dana tambahan $10 juta bagi mengumpul lebih banyak data dan memberikan 4500 peranti boleh pakai kepada anggota Tentera Udara (USAF). Peranti boleh-pakai RATE berjaya mengesan penyakit berjangkit seperti Covid-19 sehingga 2.3 hari lebih awal. Pelan jangka panjang RATE ialah ia boleh digunakan pada pelbagai peranti boleh-pakai tetapi dalam peringkat ujian jam tangan pintar Garmin dan cincin pintar digunakan.
6. Jepun Bangunkan Sistem Pertahanan Satelit Komersial
Dalam novel terkemuka Red Storm Rising oleh Tom Clancy, Amerika Syarikat menembak jatuh satelit pengintip milik Soviet ketika peperangan bermula di Jerman. Senario yang dahulunya fiksyen hampir menjadi realiti selepas Rusia mengancam menembak jatuh satelit komunikasi milik negara Eropah kerana membantu Ukraine. Dengan satelit ialah sistem komunikasi yang penting, sistem pertahanan satelit kini perlu dibangunkan.
Northrop Grumman dan IHI Corporation mengumumkan kerjasama untuk membangunkan satelit pertahanan yang boleh mengelakkan serangan ke atas satelit komersial milik Jepun. Satelit Space Domain Awareness (SDA) akan menggunakan rekaan Northrop Grumman dengan sistem pendorong oleh IHI. Berbanding satelit biasa, SDA mempunyai kemampuan bergerak dengan lebih bebas pada orbit berbanding satelit biasa.
7. Australia Bangunkan Senjata Laser Anti Kereta Kebal
Peminat siri Command and Conquer Red Alert 2 cukup kenal dengan Prism Tank yang mempunyai kemampuan memusnahkan unit musuh menggunakan laser. Beberapa sistem laser telah dibangunkan oleh Amerika Syarikat dan Israel dengan jayanya sejak lima tahun kebelakangan ini. Tetapi Australia mempunyai impian yang lebih tinggi selepas memulakan senjata laser yang boleh memusnahkan kereta kebal pada bulan Mei lalu.
Kontrak AUD$12.9 juta dianugerahkan kepada QinetiQ Australia oleh Kementerian Pertahanan Australia untuk membangunkan prototaip senjata laser berkuasa tinggi ini. Perincian mengenai kuasa laser, saiz dan platform ia akan digunakan kelak masih lagi belum diperhalusi pada waktu ini. Senjata laser yang wujud sekarang hanya mampu menembak jatuh dron dan menangkis peluru berpandu atau mortar.
8. Program Replicator Mengawal Armada Ribuan Dron Menggunakan AI
Perang melibatkan robot bukan lagi sains fiksyen kerana telahpun berlaku dalam konflik Nagorno-Karabakh dan Ukraine. Kedua-dua konflik ini membuka mata pakar ketenteraan untuk melihat bagaimana teknologi canggih sedia ada boleh dipatahkan oleh dron komersial murah yang diubahsuai. Amerika Syarikat pada Ogos lalu mengumumkan Program Replicator mereka yang menyasarkan pembinaan ribuan dron dengan kecerdasan buatan (AI) yang akan membantu mereka di medan perang masa hadapan.
Armada dron dengan AI ini akan terdiri daripada pesawat swaterbang (UAV), kapal swalayar (USV), kenderaan swapandu (UGV) dan juga kapal selam swalayar (UUV) yang boleh melalukan misi sehala berbahaya tanpa penglibatan anggota tentera manusia. Replicator dilihat sebagai jawapan kepada China yang sedang melipatgandakan jumlah jentera, kapal, pesawat dan sistem senjata mereka bagi mengawal kawasan Laut China Selatan yang didakwa adalah milik mereka. Amerika Syarikat berharap Program Replicator akan dapat beroperasi seawal 24 bulan lagi.
Maklumat terperinci mengenai Projek Replicator ini masih samar tetapi pastinya akan melibatkan sistem sedia ada seperti XQ-58 Valkyrie, Skyborg, Unmanned Influence Sweep System (UISS) dan Program Manta Ray yang telahpun diumumkan sebelum ini di bawah kelolaan DARPA.
9. Pesawat Tempur TAI TF-X Dari Turkiye Diperlihatkan – Pernah Ditawarkan Kepada Malaysia
Pesawat tempur generasi ke-lima TAI KAAN (sebelum ini TAI TF-X) diperlihatkan kepada bulan Mac. Ia memenuhi sasaran Turkiye untuk memperlihatkan prototaip pertama pada tahun 2023 sebelum ia menjalani beberapa ujian pentauliahan sebelum penerbangan pertama dilakukan pada tahun 2026.
TF-X dibangunkan secara kendiri oleh Turkiye selepas mereka dihalang daripada membeli pesawat F-35 oleh Amerika Syarikat berikutan pembelian sistem peluru berpandu S400 dari Rusia. Dari segi rekaan TAI KAAN mirip rekaan F-22 Amerika Syarikat dan KAI KF-21 Korea Selatan. Kemampuan pesawat juga dijangka sama dengan kemampuan supercruise serta senjata disimpan dalam tubuh bagi mengurangkan keratan rentas radar. Dua tahun yang lalu Turkiye pernah mempelawa Malaysia untuk terlibat dalam pembangunan TF-X.
10. Tentera Udara Singapura Akan Menjadi Yang Pertama Menggunakan Pesawat Mengisi Minyak Automatik
Kemampuan mengisi minyak ketika masih di udara dicipta pada tahun 1923 oleh Amerika Syarikat. Selepas lebih 100 tahun teknologi ini dibangunkan, Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) akan menjadi yang pertama di dunia menggunakan sistem mengisi minyak di udara secara automatik.
Pesawat Airbus A330 Multi Role Tanker Transport (MRTT) telah melakukan lebih proses mengisi minyak pada pesawat F-15SG, F-16 dam A330 MRTT milik RSAF sebanyak 500 kali pada Ogos lalu. Ini adalah sebahagian daripada proses yang dilakukan bagi mendapatkan persijilan operasi tahun depan.
Sistem mengisi minyak secara automatik Airbus telah diuji sejak 2020. Ia boleh beroperasi pada waktu malam dan juga dalam keadaan cuaca buruk. Proses pengisian secara automatik mengurangkan tekanan kepada operator manusia dan mempercepatkan proses mengisi minyak pada pesawat apabila diperlukan.