Carian
10 Berita Teknologi Automotif Paling Menarik 2023
December 15, 2023 Effi Saharudin

Dunia automotif 2023 didominasi oleh pelancaran banyak kenderaan elektrik di Malaysia serta pengumuman pelbagai perkhidmatan pengecasan daripada pelbagai pihak termasuk PETRONAS dan TNB. Berita paling besar mungkin ialah Tesla akhirnya memasuki pasaran Malaysia secara rasmi. Apakah lagi berita automotif yang menarik tahun ini? Berikut ialah 10 berita teknologi automotif paling menarik sepanjang 2023.


1. Tesla Secara Rasmi Memasuki Pasaran Malaysia

Tesla secara rasmi memasuki pasaran Malaysia pada Mac tahun ini dengan Model Y dan Model 3 adalah dua model yang dilancarkan di Malaysia. Dengan kemasukan ke pasaran tempatan, Tesla membuka pusat servis di Cyberjaya pada Oktober dan beberapa stesen pengecasan Supercharger dengan yang pertama sekali di Pavillion Bukit Bintang.

Sebanyak 10 lokasi stesen Supercharger telah diumumkan dan sehingga kini empat telahpun beroperasi. Pelan jangka panjang ialah membuka 50 Supercharger dalam masa tiga tahun. Dengan kemasukan Tesla ke pasaran Malaysia, minat terhadap kenderaan elektrik semakin meningkat. Selama ini Tesla dibawa masuk oleh pihak ketiga dan ada yang hanya disewakan kepada agensi tertentu sahaja.


2. Sime Darby Mengambil-Alih UMW – Memegang Jenama Toyota Dan Perodua

Sime Darby pada Ogos lalu mengumumkan mereka akan mengambil-alih sebanyak 61.2% pada UMW Holdings Berhad sekaligus membentuk mereka sebagai antara syarikat terkemuka dalam arena automotif, aeroangkasa, pembuatan dan kejuruteraan.

Di bawah pengumuman perjanjian ini, Sime Darby akan membeli pegangan PNB sebanyak 61.2% ini pada harga RM3.57 bilion. Disamping itu, Sime Darby turut menyatakan akan membuat tawaran umum untuk 38.8% saham yang tidak dimiliki, sekaligus mengeluarkan UMW dari Bursa Malaysia.

Pengambil-alihan ini juga sekaligus mengukuhkan kedudukan Sime Darby dalam arena automotif di Malaysia kerana mereka memegang jenama Toyota, Perodua, BMW, Mini, Porsche, BYD, Volvo. Ford, Hyundai, Jaguar dan Land Rover.


3. Lamborghini Telahpun Menjual Kenderaan Petrol Yang Terakhir

Era kenderaan bahan api fosil Lamborghini telahpun berakhir selepas pesanan untuk Hurucan dan Urus tidak lagi diambil. Dengan slot pesanan ditutup Lamborghini kini memulakan era kenderaan hibrid sepenuhnya bermula 2024. Ini didedahkan oleh CEO mereka Stephan Winkelmann dalam temubual bersama akhbar Welt di Jerman pada bulan Jun.

Tindakan Lambroghini ini adalah berani kerana sejak mula mengeluarkan kereta lumba Lamborghini 350 GT pada tahun 1964, mereka dikenali dengan prestasi tinggi menerusi enjin petrol berkuasa besar. Seperti Lamborghini, Ferrari juga akan mengeluarkan kenderaan elektrik menjelang 2025 tetapi tiada perancangan menghentikan pengeluaran kereta dengan enjin petrol.


4. Toyota AE86 Initial D Versi Elektrik Dan Hidrogen Kini Menjadi Realiti

Lamborghini mempunyai reputasi yang besar di Eropah menerusi model ikonik Countach dan Murciélago. Bagi peminat animasi Jepun pula, mungkin tiada kereta yang lebih ikonik berbanding Toyota AE86 daripada anime Initial D. Di Tokyo Auto Salon yang berlangsung Januari lalu, Toyota memperlihatkan kenderaan konsep Toyota AE86 Initial D versi elektrik dan hidrogen.

Dari luar kenderaan ini mirip edisi anime dengan nama Kedai Tauhu Fujiwara di bahagian pintu. Yang membezakannya dengan AE86 biasa ialah pelekat EV di sisi versi elektrik Sprinter Trueno dan pelekat H2 di sisi versi AE86 Trueno berkuasa hidrogen.

Pada versi elektrik pek bateri diletakkan di but belakang dengan ia diambil daripada sistem yang digunakan pada Toyota Tundra HEV dan Prius PHEV. Dua tangki hidrogen pula diletakkan pada but belakang versi hidrogen yang dipinjam daripada Toyota Mirai. Kedua-dua kenderaan adalah sekadar konsep maka tidak akan ditawarkan kepada umum.


5. AFEELA Ialah Jenama Kereta Elektrik Sony Honda Mobility

Selepas memperlihatkan prototaip EV Vision-S mereka pada tahun 2020, Sony Honda Mobility mengumumkan EV yang dihasilkan akan dipasarkan di bawah jenama AFEELA. Prototaip AFEELA diperlihatkan di lantai CES pada awa Januari lalu.

AFEELA menyasarkan kemampuan swapandu Tahap 3 apabila dilancarkan dan Tahap 2+ di dalam kawasan bandar. Sistem swapandu akan menggunakan platform Snapdragon Digital Chassis yang memantau 45 kamera dan sensor di keseluruhan tubuh kenderaan.

Tiada maklumat mengenai kuasa motor, saiz bateri dan jarak perjalanan yang mampu dilakukan AFEELA kelak tetapi ia disahkan menyokong pemanduan empat roda serta menyasarkan akan dipasarkan menjelang 2026.


6. Kad Debit Dan Kad Kredit Boleh Untuk Pembayaran Tol Di 11 Lebuhraya

Kita dijanjikan sokongan pembayaran menggunakan kad kredit, debit dan dompet digital di tol PLUS sejak 2019 lagi. 2019 berakhir dan janji hanya tinggal janji seperti Yusry Abdul Halim. Penantian hanya. berakhir pada September tahun ini dengan sistem pembayaran terbuka disokong di 11 lebuhraya. Dengan langkah ini, orang ramai boleh membuat bayaran tol bukan sahaja dengan kad Touch n Go, tetapi turut menggunakan kad debit, kad kredit, dan juga kad prabayar yang mempunyai logo MyDebit, Visa atau Mastercard.

Lebuhraya yang telah diumumkan akan menyokong sistem pembayaran terbuka ini adalah.

  • Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP)
  • Skim Penyuaraian Trafik KL Barat (SPRINT)
  • Lebuhraya Shah Alam (Kesas)
  • Terowong SMART
  • Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX)
  • Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA)
  • Lebuhraya Baru Pantai (NPE)
  • Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH)
  • Lebuhraya Koridor Guthrie
  • Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE)
  • Lebuhraya Duta Ulu Klang (DUKE)

7. Permohonan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik MARiiCas Dilancarkan

Permohonan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) kini dibuka secara rasmi. Di bawah skim ini rebat sebanyak RM2,400 layak diterima rakyat Malaysia untuk pembelian motosikal elektrik sekiranya pendapatan mereka adalah di bawah RM120,000 setahun. Permohonan boleh dilalukan menerusi laman rasmi MARiiCAS sekarang.

Pengguna yang telah melakukan pendaftaran untuk pembelian motosikal elektrik akan menerima kod QR sekiranya permohonan mereka diluluskan. Jenama motosikal elektrik terlibat dengan skim MARiiCas ialah Superlux, RydeEV, Legatus, Eclimo, Ebixon, Blueshark, Treeletrok dan Modenas. Dengan MARiiCas, kerajaan ingin memberikan insentif kepada pembeli motosikal elektrik kerana selama ini hanya pembeli kereta elektrik sahaja diberikan pelepasan walaupun kenderaan mereka boleh dikategorikan sebagai mewah.


8. Proton Dan Perodua Dijangka Hadir Dengan Kereta EV Menjelang 2025

Tesla, Kia, BYD, Smart, Ora dan Mercedes adalah antara syarikat yang telah menawarkan kereta elektrik mereka di Malaysia. Persoalan di kalangan orang ramai ialah bila syarikat automotif tempatan akan menawarkan EV mereka pada harga yang lebih marhaen?

Timbalan Menteri MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) melalui jawapan di Parlimen berkongsi, menyatakan kerajaan telah berbincang dengan dua pengeluar kenderaan nasional untuk mengeluarkan kereta elektrik masing-masing menjelang 2025.

Perkongsian terbaru ini adalah selari dengan apa yang pernah dikongsi Proton – mengatakan mereka ingin hadir dengan kereta elektrik seawal 2025. Sementara itu, Proton melalui PRO-NET telah menjual kereta elektrik di Malaysia, bermula dengan Smart #1. Sementara itu Proton tekad menawarkan satu moden kereta NEV setahun bermula dengan Proton X90 tahun ini.

Sementara untuk Perodua pula, sebelum ini mereka telah memperlihatkan kereta konsep elektrik. Dengan sasaran ia akan dipasarkan dua tahun lagi.


9. BMW Melancarkan Kereta Elektrik Kalis Peluru Dan Letupan Pertama

Kereta-kereta yang digunakan oleh golongan VIP mempunyai ciri tambahan bagi memastikan penumpang terlindung daripada sebarang serangan yang mengancam nyawa. Pada Ogos lau BMW i7 Protection telah dilancarkan dengan ia merupakan kereta elektrik pertama mempunyai kemampuan kalis peluru dan letupan. Ia adalah BMW i7 biasa yang melepasi piawaian VR9 yang dikeluarkan oleh Vereinigung der Prüfstellen für angriffshemmende Materialien und Konstruktionen (VPAM).

Kenderaan elektrik ini boleh menahan peluru anti perisai 7.62×54 mmR yang ditembak menggunakan raifal M14 dan FAL-FN. Dari segi ketahanan bom pula, ia boleh beroperasi walaupun selepas diserang menggunakan bom tangan. Lapisan perisai khas diletakkan pada bahagian bumbung, pintu dan lapik lantai. Kaca cermin yang digunakan juga boleh menahan serangan yang dilakukan.

Tayar 20″ yang digunakan pula adalah dari jenis Michelin PAX yang masih boleh digunakan walaupun pancit sepenuhnya pada kelajuan 80 km/j. Kereta dilengkapi motor elektrik 544 kuasa kuda yang membolehkan ia bergerak pada kelajuan 160 km/j. Harga jualan belum diumumkan setakat ini.


10. TomTom – Penduduk Kuala Lumpur Membazirkan 159 Jam Setahun Dalam Kesesakan Jalan Raya

Trafik

Adakah anda mahu meyakinkan majikan untuk memberikan kelonggaran untuk kerja dari rumah (WFH) dengan lebih kerap? Kongsi sahaja data TomTom mengenai masa yang dibazirkan pengguna jalan raya di KL dalam tempoh setahun. Menurut data yang dikumpul oleh TomTom, Kuala Lumpur ialah bandaraya di tangga 143 paling sesak sepanjang 2022.

Secara purata masa diambil untuk bergerak 10km di Kuala Lumpur ialah 16 minit 10 saat. Ini adalah peningkatan sebanyak 1 minit 40 saat berbanding tahun 2021 mengesahkan keadaan trafik di ibu negara menjadi semakin teruk seperti yang dikhabarkan. Secara purata pengguna jalan raya KL menghabiskan 159 jam setahun dalam kesesakan ini.

Bandar dengan kesesakan paling teruk ialah London dengan pemandu menghabiskan hampir 37 minit untuk bergerak 10km diikuti oleh Bengaluru, Dublin, Sapporo, dan Milan. Di rantau Asia Tenggara, Manila ialah kota dengan kesesakan paling teruk dengan ia berada di tangga ke-9 dengan 27 minit diperlukan untuk bergerak 10km.

Komen