Sepanjang 2023 kita telah disajikan dengan berita peranti terkini, penemuan sains, kemajuan robotik, model AI baharu dan banyak lagi. Kesemuanya menarik dan membuatkan kami teruja untuk melihat apakah pula kemajuan teknologi yang akan berlaku pada tahun 2024. Tidak semua berita berkaitan teknologi sepanjang tahun ini adalah serius. Terdapat banyak yang boleh dikategorikan sebagai aneh. Berikut ialah senarai 10 teknologi paling aneh 2023.

1. Di Kanada Emoji Ibu Jari Sah Digunakan Untuk Persetujuan Kontrak Rasmi

Apa ada dengan emoji ibu jari (thumbs up)? Di Kanada ia bermakna anda bersetuju dengan kandungan kotrak yang diterima. Mahkamah di Saskatchewan pada Jun lalu telah mengarahkan Chris Achter, seorang peladang untuk membayar ganti rugi C$82,000 (~RM288,000) kepada South West Terminal kerana gagal membekalkan flaks seperti yang dipersetujui dalam kontrak.
Archter berkata beliau sekadar menghantar emoji ibu jari sebagai petanda beliau menerima salinan kontrak membekalkan flaks dan bukannya bersetuju dengan kontrak yang dihantar oleh South West Terminal. Hakim walau bagaimanapun berpihak dengan pihak South West Terminal selepas mendengar hujah mengenai asal usul penggunaan ibu jari sejak dari dahulu lagi.
Penggunaan aplikasi pemesejan elektronik membuatkan bukan hanya persetujuan bertulis boleh diterima di mahkamah. Contoh terbaik talak boleh jatuh walaupun dengan menghantar mesej menerusi WhatsApp. Maka berhati-hatilah dengan apa yang ditulis dan dihantar menerusi medium elektronik selepas ini.
2. Demi Menyelamatkan Galaxy S23 Ultra, Lebih 2 Juta Liter Air Dalam Kolam Takungan Dibuang

Apakah yang sanggup anda lakukan demi menyelamatkan telefon yang terjatuh atau hilang? Di Chhattisgarh sebuah negeri di Timur India, Rajesh Vishwas seorang penguasa mengosongkan air dalam sebuah kolam takungan bagi mendapatkan Samsung Galaxy S23 Ultra milik beliau yang terjatuh ketika percubaan mengambil swafoto.
Sebanyak 2.1 juta liter air dipam keluar selama dua hari bagi mengurangkan ketinggian air bagi memudahkan telefon dicari di dasar kolam selepas percubaan awal mencarinya gagal. Peranti berjaya ditemukan tetapi mengalami kerosakan kerana S23 Ultra tidak direka untuk tenggelam sedalam 10 kaki selama beberapa hari.
Rajesh Vishwas kini digantung tugas kerana tindakan beliau membazirkan air yang boleh digunakan untuk tujuan pertanian. Beliau mengaku tidak bersalah kerana mendakwa air kolam takungan yang digunakan untuk orang berkelah dan bukannya pertanian.
3. Universiti Di Amerika Menawarkan Biasiswa Kepada Mahasiswa Yang Tidak Menggunakan Telefon Pintar

Di Malaysia biasiswa ditawarkan kepada pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Ia turut ditawarkan kepada pelajar yang datang dari latar belakang B40 bagi mengurangkan beban penjaga. Tetapi di Amerika Syarikat, Franciscan University of Steubenville menawarkan biasiswa kepada pelajar yang berjanji tidak menggunakan telefon pintar sepanjang tempoh pengajian.
Unplugged Scholarship adalah buah fikiran kumpulan alumni universiti yang ingin mengembalikan hubungan sebenar antara pelajar dan juga tuhan. Sebagai sebuah universiti keagamaan, pelajar hanya diminta untuk memberikan tumpuan kepada hubungan sebenar antara pelajar lain, berdoa dan mendekatkan diri kepada tuhan sebagai bayaran kepada biasiswa yang diterima.
Sebanyak 30 pelajar dipilih dalam program rintis yang dilancarkan September tahun lalu. Sungguhpun begitu lebih 50 pelajar kampus turut berikrar tidak menggunakan telefon pintar walaupun tidak menerima biasiswa $5000 untuk menanggung yuran pengajian.
4. “Fon Membuang Tahi Telinga” Dicipta

Menurut pakar kesihatan, manusia perlu mencuci rongga telinga setiap 4 minggu sekali. Bagi mereka yang tidak mungkin geli untuk membersihkan telinga sendiri, OtoSet Ear Cleaning System telah dilancarkan. Ia kelihatan seperti sepasang fon telinga tetapi sebenarnya adalah peranti yang direka untuk membuang tahi telinga.
Cecair pembersih diletakkan di dalam dua kebuk pencuci. Terdapat corong silikon yang dimasukkan ke dalam telinga yang mengalirkan cecair pencuci. Mekanisme penyedut kemudiannya akan mengeluarkan semula cecair pembersih dan kotoran keluar daripada rongga telinga sebelum disimpan di dalam kebuk kumbahan. Menurut pengeluar proses membersihkan telinga hanya memakan masa lima minit.
Sepasang OtoSet Ear Cleaning System dijual pada harga $3059 (~RM13,700) sebuah tetapi hanya boleh dibeli oleh klinik kesihatan sahaja.
5. Kanada Cetak Amaran Bahaya Pada Setiap Batang Rokok

Rokok membahayakan kesihatan dengan dianggarkan 27,200 kematian setiap tahun disebabkan olehnya menurut Persatuan Toraks Malaysia. Ia adalah isu global dan Kanada cuba mengurangkan jumlah perokok dengan mencetak amaran bahaya pada setiap batang rokok yang dijual.
Sebelum ini amaran hanya dicetak pada setiap kotak tetapi bermula Julai 2024 ia perlu dicetak pada setiap batang rokok yang dijual dalam kotak bersaiz “King”. Bermula penghujung April 2025 pula, ia perlu dicetak pada rokok yang dijual dalam kotak saiz biasa dan juga cerut. Amaran “asap tembakau membahayakan kanak-kanak” dicetak dalam Bahasa Inggeris dan “racun dalam setiap sedutan” pula dalam Bahasa Perancis.
6. Ciri “Fake My History” Opera GX Mengubah Sejarah Carian Memalukan Jika Pengguna Mati

Sejarah carian di pelayar web boleh menceritakan kehidupan penggunanya. Jika carian yang baik-baik sahaja dilakukan maka tiada apa yang perlu dirisaukan. Tetapi kami tahu setiap insan mempunyai tengkorak di dalam almari yang tidak mahu didedahkan selepas meninggal dunia. Pelayar web Opera GX memperkenalkan ciri baharu “Fake My History” pada Julai lalu.
Opera GX akan sentiasa memantau penggunaan internet pengguna. Sekiranya Opera tidak digunakan selama 14 hari berturut-turut, ia akan mengandaikan pengguna telah meninggal dunia dan Fake My History akan menggantikan sejarah carian pengguna dengan sejarah carian yang tidak akan memalukan mereka sekiranya dilihat oleh mereka yang masih hidup. Bagi yang lebih paranoid mengenai sejarah internet mereka, ciri ini boleh diaktifkan terus dengan mod “Pretend I’m Already Dead”. .
7. Kapal Powerbank Akan Dibina Oleh Firma Jepun

Sumber tenaga lestari hanya boleh dijana oleh stesen hidro, geoterma, ombak, kincir udara, dan panel solar. Tetapi tidak semua kawasan di dunia mampu mengakses sumber tenaga lestari ini kerana faktor geografi atau kewangan. PowerX sebuah firma dari Jepun mempunyai idea menyelesaikan isu ini dengan menghasilkan kapal powerbank yang membekalkan kuasa lestari ke kawasan-kawasan ini.
Kapal Battery Tanker X akan dilengkapi bateri dari jenis litium-besi fosfat. Kuasa elektrik yang dijana daripada sumber lestari digunakan untuk mengecas sel bateri Battery Tanker X. Kapal kemudiannya berlayar ke kawasan di sekitar Jepun yang memerlukan sumber kuasa. Setibanya di destinasi, kapal hanya perlu disambungkan ke rangkaian grid sedia dan membekalkan kuasa seperti biasa.Sekiranya semua berjalan lancar, PowerX ingin memulakan pembinaan Battery Tanker X pada tahun 2025 dengan pelayaran ujian seawal 2026.
8. 95% NFT Kini Tidak Lagi Mempunyai Sebarang Nilai

Masihkah anda ingat awal tahun 2021 media sosial dilanda demam NFT. Token yang tidak boleh diubah ini dinobatkan sebagai pelaburan baharu yang menguntungkan. Selebriti luar negara dan tempatan berebut-rebut melancarkan koleksi NFT mereka tersendiri kerana tidak mahu ketinggalan. Kita kini di penghujung 2023 dan dappGambl melaporkan 95% koleksi NFT di pasaran sekarang langsung tidak mempunyai nilai.
dappGambl menganalisa 73,257 koleksi NFT dan pada ketika 69,795 daripadanya mempunyai nilai 0 ETH. Dianggarkan sebanyak 23 juta pelabur kini mempunyai koleksi NFT langsung tidak bernilai. Hanya sekitar 1% koleksi NFT yang didapati mempunyai nilai melebihi $1000 pada waktu ini seperti koleksi Bored Ape Yacht Club.
9. Saintis Kini Tahu Sebab Kenapa Ada Yang Takut Dengan Badut

Adakah anda takut dengan badut? Jika ya jangan berasa malu kerana anda bukan satu-satunya mempunyai coulrofobia dengan ia ditemukan di seluruh dunia tanpa mengira kaum dan budaya. Oleh sebab itu, penyelidik dari University of South Wales melakukan kajian mengenai sebab utama sesetengah individu takut dengan badut.
Dalam kajian yang melibatkan hampir 1000 responden berusia antara 18-72 tahun, sebanyak 53.5% mengatakan mereka mempunyai ketakutan dengan badut. Daripada jumlah ini 5% mengatakan ia adalah ketakutan yang melampau.
Apabila ditanya sebab mengapa ini berlaku, responden mengatakan ia disebabkan oleh paparan watak badut dalam media adalah penyumbang utama dan bukanlah disebabkan pengalaman buruk bertemu badut. Ini adalah berbeza dengan fobia lain yang disebabkan oleh trauma yang berlaku sebelumnya.
Ketakutan juga disebabkan oleh raut wajah badut yang tidak boleh dibaca dengan mudah kerana penggunaan alat solek yang tebal. Manusia perlu membaca raut wajah untuk mentafsir sama ada ia mempunyai niat baik atau jahat. Jadi sekiranya anda tidak mahu anak takut dengan badut, jangan biarkan mereka menonton filem IT atau sebarang filem dengan badut menakutkan.
10. Mark Zuckerberg Dan Elon Musk Ingin Bertarung Dalam Perlawanan MMA

Kita akhiri senarai berita paling aneh 2023 dengan pengumuman pertarungan antara dua bilionwan yang memiliki platform media sosial popular dunia. Elon “X” Musk dan Mark “Meta” Zuckerberg dilaporkan bersetuju bertarung dalam perlawanan MMA pada Jun yang lalu.
Kemudian Mark Zuckerberg berkata pertarungan masih belum dipersetujui kedua-dua pihak. Beliau turut berkata ingin mengambil serius pertarungan dengan Musk. Oleh itu penglibatan badan profesional UFC atau One adalah perlu. Sejak mengatakan beliau ingin membelasah Zuckerberg di dalam gelanggang oktagon, Musk memberikan alasan untuk menangguhkannya pula. Awal bulan lalu, Zuckerberg pula mengalami kecederaan lutut ketika sedang mengadakan latihan. Mungkin perlawanan antara Musk dan Zuck akan kita lihat tahun depan?