Cari @ Amanz

Ada satu perkara yang tidak dapat dielakkan oleh semua manusia dan ia adalah kematian. Hanya amalan di dunia dapat menentukan nasib di alam yang lagi satu. Tahun ini terdapat banyak tokoh terkemuka dalam dunia sains dan teknologi yang pergi meninggalkan dunia yang fana. Berikut ialah 10 tokoh sains dan teknologi yang telah meninggal dunia tahun ini tetapi impak mereka kepada dunia tidak akan dapat dilupakan.


1. Kevin Mitnick – Penggodam “OG”

Bagi mereka yang pernah merasai internet generasi pertama, Kevin Mitnick ialah penggodam pertama yang dikenali seluruh dunia dan menjadi templat kepada “hacker” selepas itu. Mitnick telah meninggal dunia pada 16 Julai lalu pada usia 59 tahun akibat kanser pankreas.

Nama beliau mula dikenali dunia pada tahun 1995 selepas beliau diburu oleh FBI kerana mengakses rangkaian komputer sebelum mencuri kata laluan dan perisian. Mendiang sudah memulakan aktiviti menggodam sejak 1979 pada usia 16 tahun. Hukuman penjara selama lima tahun dijatuhkan ke atas beliau disebabkan aktiviti menggodam.

Selepas dilepaskan daripada penjara, beliau dilarang daripada menggunakan komputer selama tiga tahun. Ini kemudiannya ditarik selepas Mitnick bersetuju tidak akan mengaut keuntungan dengan menjual buku dan filem berdasarkan kehidupan beliau selama tujuh tahun. Selepas tempoh tersebut beliau memulakan kerjaya sebagai perunding keselamatan menerusi syarikat sendiri dengan memegang jawatan Ketua Penggodam Utama.


2. Gordon Moore – Pengasas Hukum Moore

Hukum Moore mengatakan jumlah transistor dalam litar bersepadu (IC) akan meningkat dua kali ganda setiap dua tahun dengan kos menghasilkannya turut berkurangan separuh. Ia diperkenalkan pada tahun 1965 dan sejak 1975 hukum ini masih utuh sehingga sekarang. Yang tidak utuh ialah Gordon Moore, insan yang melakukan ramalan Hukum Moore ini kerana beliau telah meninggal dunia pada 26 Mac pada usia 94 tahun.

Gordon Moore ialah pengasas Fairchild Semicoductor dan Intel yang merupakan dua syarikat paling penting dalam sejarah semikonduktor dunia. Semasa di Intel beliau pernah memegang jawatan sebagai CEO dan pengerusi sebelum bersara pada tahun 2006.

Yang menarik mengenai kerjaya mendiang Moore ialah beliau sebenarnya bukan seorang jurutera elektronik tetapi sebenarnya graduan jurusan kimia daripada UC Berkeley dan Caltech. Pekerjaan pertama beliau ialah menyertai syarikat yang ditubuhkan William Shockley – pencipta transistor. Ketika di sana beliau terlibat dalam pembangunan transistor silikon yang murah. Selepas itu beliau dan Robery Noyce (juga pengasas Intel) menyertai Fairchild Semicondutor yang merupakan syarikat yang mencipta litar bersepadu


3. Sim Wong Hoo – Pengasas Creative Technology

Komputer generasi awal tidak mempunyai kuasa mencukupi untuk menjalankan pelbagai fungsi seperti komputer moden. Jika inginkan audio yang mantap, kad bunyi perlu dibeli dan dalam arena ini Creative Technology ialah nama yang sinonim dengan audio kualiti tinggi di PC sebelum menawarkan juga speaker dan pemain MP3.

Creative Technology dibangunkan oleh Sim Wong Hoo pada tahun 1981 dan ia adalah syarikat yang diasaskan di Singapura.  Sim Wong Hoo telah meninggal dunia 5 Januari pada usia 67 tahun. Tiada butiran dikongsi apakah punca kematian beliau.

Creative bermula sebagai sebuah syarikat yang menghasilkan kad audio untuk Apple II. Pada tahun 2006 Creative menyaman Apple kerana iPod melanggar paten pemain MP3 Zen. Apple kemudiannya bersetuju membayar ganti rugi $100 Juta sebagai pempasan.


4. John Goodenough – Pencipta Bersama Bateri Li-ion

Gambar oleh University of Texas at Austin

John Goodenough antara pelopor teknologi bateri Li-Ion meninggal dunia 27 Jun di Texas pada usia 100. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Nobel Kimia pada tahun 2019 bersama dengan Staley Whittingham dan Akira Yoshino kerana usaha mereka bertiga menjadi sebab bateri Li-Ion kini menjadi komponen penting pada pelbagai peranti elektronik serta kereta elektrik.

Pada tahun 1980 John Goodenough menggantikan katod titanium disulfida dengan oksida kobalt yang digunakan pada sel li-ion ciptaan Staley Whittingham pada dekad 1970an. Dengan perubahan katod ini, kapasiti bateri li-ion meningkat sekali ganda.

Beliau menerima pendidikan peringkat ijazah di Yale University, sebelum meneruskan pengajian di peringkat sarjana dan kemudian PhD dalam bidang fizik di University of Chicago. Seterusnya beliau menjadi tenaga pengajar di Massachusetts Institute of Technology. Semasa menerima Anugerah Nobel pada tahun 2019, beliau menjadi penerima tertua pada usia 97 tahun.


5. John Warnock – Pengasas Adobe

Pengasas bersama syarikat terkemuka Adobe, John Edward Warnock menghembuskan nafas terakhir pada 20 Ogos di usia 82 tahun kerana kanser pankreas. Beliau mengasaskan Adobe pada 1982, bersama Charles Geschke. Beliau telah meninggalkan jawatan CEO Adobe pada tahun 2000, tetapi terus menjadi ahli lembaga pengarah sehingga 2017, selain turut meneruskan membantu dalam memudahkan penerbitan desktop.

Produk pertama yang dibangunkan oleh beliau di bawah Adobe adalah Adobe PostScript yang telah merevolusikan penerbitan desktop. Disamping itu, pada 1986, beliau turut telah mencipta Adobe Illustrator, dan seterusnya menghasilkan format PDF pada 1991. Salah satu muka taip popular turut dinamakan sempena beliau, iaitu Warnock. Steve Jobs sendiri pernah cuba membeli Adobe sebelum ini, tetapi ditolak oleh pihak Adobe.


6. Virginia Norwood – Ibu Pemetaan Dari Angkasa Lepas

Buka Google Map dan Google Earth sekarang. Anda dapat melihat setiap inci muka bumi yang indah dari pandangan angkasa lepas. Teknologi yang boleh diakses dimana-mana sahaja di dunia ini telah dibangunkan oleh Virginia Norwood yang meninggal dunia pada 26 Mac.

Beliau terlibat dalam pembangunan pelbagai sensor yang digunakan pada satelit Landsat yang mengimbas gambar serta data muka bumi dari angkasa lepas sejak 1972. Oleh itu beliau diberi nama gelaran “Ibu Landsat”. Landsat ialah projek menjejak perubahan bumi oleh NASA dengan mengambil gambar yang masih berterusan sehingga sekarang.

Landsat 8 yang merupakan satelit terkini sistem ini dilancarkan pada tahun 2021. Menerusi Landsat maklumat perubahan iklim, perkembangan penempatan manusia, kemusnahan habitat dan banyak lagi kini disimpan dalam bentuk jutaan gambar yang dirakam sejak lebih lima dekad.


7. Martin Goetz – Individu Pertama Menerima Paten Perisian

Sumber gambar: Madhyamam

Yang manakah lebih penting? Perisian atau perkakasan? Jawapan kami ialah perisian kerana ia boleh digunakan pada pelbagai platform dengan perkakasan berbeza. Zuckerberg, Gates dan Wozniak adalah antara individu yang menjana kekayaan kerana memegang paten perisian yang dibangunkan sendiri. Mereka perlu berterima kasih kepada Martin Goetz yang meninggal dunia pada 24 Oktober tahun ini.

Martin Goetz ialah individu pertama menerima paten perisian pada tahun 1968 untuk menghalang konglomerat IT terbesar ketika itu, IBM daripada menggunakan perisiannya bersama-sama dengan penawaran komputer mereka secara percuma.

Pada ketika itu, perisian komputer tidak dilihat sebagai sebuah teknologi yang boleh dipatenkan dan seringkali banyak syarikat menggunakan perisian-perisian “pihak ketiga” dan tanpa bayaran menyebabkan mereka terpaksa ditutup kerana tiada punca pendapatan.


8. Sir Ian Wilmut – Bapa Pengklonan

Pada tahun 1996 dunia dikejutkan apabila Roslin Institute di University of Edinburgh mengumumkan kejayaan mengklon kambing biri-biri yang diberikan nama Dolly. Ia kali pertama dalam sejarah haiwan mamalia berjaya di klon. Sir Ian Wilmut yang mengetuai pasukan yang menghasilkan Dolly telah meninggal dunia pada usia 79 tahun kerana penyakit Parkinson pada 13 September.

Kejayaan Sir Wilmut membuka kajian sel tunjang yang digunakan untuk merawat pelbagai penyakit seperti Parkinson. Malang sekali sains tidak maju cukup pantas untuk Sir Wilmut melihat teknologi yang dipelopori beliau digunakan untuk merawat diri beliau.

Dolly diklon menggunakan sel seekor bebiri baka Fin-Dorset dan telur seekor lagi bebiri yang digabungkan. Ini menghasilkan embrio yang kemudiannya diimplankan ke dalam seekor lagi bebiri. Bebiri paling terkenal dunia ini meninggal dunia pada tahun 2003 kerana penyakit paru-paru dan ia kini dipamerkan kepada orang ramai di Roslin Institute.


9. Dennis Austin – Pembangun Powerpoint

Nama Dennis Austin kami yakin tidak dikenali ramai seperti Bill Gates, John Carmack dan Grace Hopper tetapi beliau ialah jurutera perisian yang bertanggungjawab membangunkan Powerpoint. Pada 1 September lalu beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun akibat kanser paru-paru yang merebak ke otak.

Powerpoint dilancarkan pada tahun 1987 dengan ia dibangunkan oleh Austin berasaskan idea Robert Gaskins semasa mereka berdua bertugas di firma Forethought. Austin bertanggungjawab menghasilkan perisian yang pada mulanya menggunakan nama Presenter dan adalah untuk Macintosh. Menurut Gaskins, kebanyakan ciri-ciri awal dalam Powerpoint adalah hasil buah fikiran Austin.

Beberapa bulan selepas Powerpoint dilancarkan, Microsoft mengambil alih Forethough pada nilai $13 juta yang menjadikannya pembelian terawal oleh firma teknologi tersebut. Kini 30 juta pembentangan dihasilkan setiap hari menggunakan Powerpoint dan menjadi amat sinonim dengan sut perisian Microsoft Office.


10. Paul Berg – Bapa Kejuruteraan Genetik

Kejuruteraan genetik menghasilkan padi kalis banjir serta kemarau dan meningkatkan hasil tanaman di ladang. Paul Berg yang merupakan perintis suntingan genetik meninggal dunia pada 15 Februari. Beliau menerima gelaran Bapa Kejuruteraan Genetik selepas berjaya memasukkan DNA bakteria ke dalam DNA virus SV40 pada tahun 1972. Ini menghasilkan molekul pertama yang mengandungi DNA daripada dua organisma berbeza.

Molekul ini dikenali sekarang sebagai DNA hibrid atau DNA rekombinan. Kejayaan beliau menghasilkan DNA rekombinan menyebabkan beliau dianugerahkan Hadiah Nobel Kimia pada tahun 1980. Sungguhpun begitu beliau tidak selesa diberi gelaran bapa kejuruteraan genetik kerana merasakan beliau sekadar meneruskan kajian dilakukan saintis-saintis terdahulu.

Kita kini melihat organ khinzir diubah genetiknya supaya lebih serasi apabila dimasukkan ke dalam tubuh manusia. Tanpa usaha awal Paul Berg, xenotransplan tidak mampu dilakukan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd