Carian
10 Perkhidmatan Yang Ditamatkan Pada Tahun 2023
December 21, 2023 Effi Saharudin

Semalam kami mengasilkan senarai 10 tokoh sains dan teknologi yang telah pergi meninggalkan kita. Hari ini kami senaraikan pula 10 perkhidmatan yang juga telah ditamatkan sepanjang 2023.


1. Google Stadia

Google Stadia

Penstriman video dan muzik kini menjadi pilihan orang ramai kerana tidak lagi perlu membawa cakera fizikal untuk mendengarnya. Buka sahaja aplikasi dan ratusan ribu filem, siri TV dan album muzik boleh distrim dalam sekelip mata. Menerusi Google Stadia, Google ingin mempopularkan pula perkhidmatan penstriman permainan video. Pada 16 Jan 2023, Stadia ditutup kurang empat tahun selepas dilancarkan.

Kematian perkhidmatan ini adalah amat mengejutkan kerana ia adalah idea yang baik. Asalkan ada sambungan internet, pelayar web, aplikasi TV atau peranti pintar anda boleh mengakses permainan video dengan bantuan alat kawalan Stadia. Tidak perlu membeli konsol atau PC gaming yang mahal. Malang sekali Stadia bukan satu-satunya perkhidmatan Google yang ditamatkan tahun ini.


2. Fitbit Meninggalkan Malaysia

Sebuah lagi produk Google yang dimatikan ialah Fitbit dengan ia menarik diri dari pasaran Malaysia, Hong Kong, Korea, Thailand dan Filipina pada bulan Oktober. Tiada lagi produk akan ditawarkan serta langganan Fitbit Premium tidak lagi ditawarkan sejak Ogos. Penarikan diri dari pasaran Malaysia berlaku hanya dua tahun selepas Fitbit diambil alih oleh Google.

Fitbit mempunyai ramai peminat dan pengguna di Malaysia membuatkan pengumuman mereka mengejutkan. Kekosongan ini tidak pula digantikan dengan Google menawarkan Pixel Watch ke pasaran Malaysia. Peminat Fitbit terpaksa mencari jam tangan pintar alternatif sebagai pengganti akibat tindakan mereka ini.


3. Google Play Pada Peranti KitKat

Sebuah lagi perkhidmatan Google ditamatkan tetapi kali ini hanya pada peranti yang masih gigih menggunakan Android KitKat. Bermula Ogos lalu, tiada lagi kemas kini Google Play akan diberikan pada peranti yang menggunakan sistem operasi yang sudah berusia 10 tahun. Kemas kini sekuriti seperti Google Play Protect, kemas kini Play Store dan lain-lain tidak lagi akan disokong. Ini memberi risiko kepada pencerobohan data atau kerentanan sekuriti boleh berlaku.

Peratusan peranti yang masih menggunakan KitKat pada tahun adalah di bawah 1% dan ini menjadi faktor mengapa sokongan untuk Android 4 dihentikan. Sudah tidak berbaloi untuk terus menyokong sistem operasi yang sudahpun agak usang.


4. Microsoft Menghentikan Jualan Aksesori Komputer

Microsoft telah mengumumkan bahawa mereka menghentikan pengeluaran dan penjualan aksesori-aksesori komputer mereka, termasuklah tetikus, papan kekunci dan juga kamera web pada bulan April. Tumpuan hanya akan diberikan kepada aksesori berjenama Surface sahaja selepas ini.

Sebagai peminat aksesori papan kekunci Microsoft sejak dekad 90an, tindakan Microsoft ini amat meninggalkan impak kepada saya secara peribadi. Sejak mula berjinak-jinak dengan PC, saya hanya membeli papan kekunci ergonomik keluaran mereka kerana ianya yang terbaik dan paling selesa digunakan insan yang mempunyai isu RSI pada pergelangan tangan.


5. Google Menghentikan Jualan Dan Sokongan Untuk Glass Enterprise Edition

Google Glass

Trend Google membunuh perkakasan dan perkhidmatan tidak terhenti dan diteruskan pula dengan Google Glass Enterprise Edition. Selepas hampir empat tahun dilancarkan, jualan Google Glass Enterprise Edition dihentikan bermula 15 Mac. Sementara itu sokongan perisian pula akan mula dihentikan pada 15 September.

Cermin pintar ini masih boleh digunakan selepas tarikh di atas cuma tiada lagi sokongan kemas kini perisian dan juga alat ganti. Sebarang isu yang berlaku selepas 15 September perlu diuruskan sendiri oleh pengguna. Pengumuman ini memulakan spekulasi Google telah bersedia untuk melancarkan set kepala baharu dalam masa terdekat dan mungkin seawal Google I/0 2023 tetapi ini tidak berlaku.

Google, Samsung dan Qualcomm telahpun mengumumkan kerjasama untuk melancarkan set kepala baharu pada awal tahun ini tetapi ia ditangguhkan secara mengejut selepas Apple Vision Pro diumumkan.


6. Tiada Lagi iPhone Mini Dan MacBook Pro Touch Bar

Apple berhenti menawarkan siri iPhone Mini tahun ini. Hanya iPhone 15, 15 Plus, 15 Pro dan 15 Pro Max sahaja dijual sekaligus mengurangkan pilihan kepada mereka yang mencari iPhone bersaiz kecil. Adalah dipercayai siri Mini ini dimatikan bagi membuka ruang kepada siri iPhone SE baharu yang sebelum dilaporkan dibatalkan pelancarannya. Masihkah wujud permintaan untuk iPhone dengan saiz yang kecil?

Pada waktu yang sama dengan pelancaran MacBook Pro 14″ M3 dan MacBook Pro 16″ M3, sokongan Touch Bar juga secara rasmi ditamatkan. Pada sesentuh ini digantikan semula dengan barisan butang fizikal pada bahagian atas papan kekunci. Sejak dilancarkan Touch Bar tidak mencapai potensinya walaupun ia ciri unik yang tidak ditawarkan pada komputer riba lain di pasaran.


7. Intel Menghentikan Pengeluaran Cip Melombong Kripto

Intel menghentikan pengeluaran cip Blockscale yang digunakan untuk perlombongan kripto pada bulan April. Cip yang baru sahaja dilancarkan tahun lalu ini tidak lagi dikeluarkan kerana permintaan untuk perlombongan kripto yang semakin berkurangan.

Mereka akan menghentikan pesanan untuk cip ini pada 20 Oktober dengan pengeluaran akan dihentikan sepenuhnya menjelang 20 April 2024. Tumpuan kini akan diberikan kepada pelaburan ke dalam IDM 2.0 mereka yang juga menyebabkan mereka tidak lagi terlibat dalam pengeluaran cip modem tahun ini. Perniagaan pengeluaran modem Intel telahpun dijual kepada MediaTek.


8. Pgeon Menamatkan Perkhidmatan Selepas Beroperasi 7 Tahun

Pgeon merupakan salah satu perkhidmatan logistik yang menawarkan khidmat penghantaran bungkusan dan barangan. Ia telah beroperasi sekitar 7 tahun, dan kini, perkhidmatan tersebut ditamatkan secara rasminya.

Tarikh pengambilan dan penghantaran akhir yang dilakukan adalah 30 November 2023 lepas. Pgeon melalui laman rasmi mengumumkan mereka akan menamatkan perkhidmatan secara rasminya pada 31 Disember 2023. Pgeon mengatakan walaupun perkhidmatan mereka ditamatkan, tetapi pelbagai inovasi dan matlamat mereka akan diteruskan melalui perniagaan utama mereka, EasyParcel.


9. Astro Menamatkan Operasi Go Shop

Astro mengumumkan mereka akan menghentikan sepenuhnya operasi Go Shop berkuat-kuasa 11 Oktober. Go Shop merupakan sebuah jenama usahasama yang beroperasi di bawah Astro GS Shop Sdn Bhd. Go Shop telah dimulakan pada 2014 dimana ia menghimpunkan sejumlah promosi barangan dan diskaun untuk pembeli. Ia juga merupakan antara fokus Astro dalam arena edagang, sekaligus memudahkan orang ramai melakukan pembelian pada bila-bila masa dengan mudah.

Astro menyatakan langkah menghentikan operasi Go Shop diambil disebabkan oleh landskap ekonomi yang mencabar, selain perubahan gaya pembeli oleh para pengguna. Penurunan pembelian dan perubahan permintaan dapat dilihat sejak pandemik. Dengan menutup operasi ini, Astro dijangka akan memfokuskan sumber kepada perniagaan-perniagaan yang lain.


10. Omegle Ditutup Secara Mengejut Selepas 14 Tahun Beroperasi

Laman telesidang Omegle ditutup secara mengejut pada 9 November oleh pengasasnya Leif K-Brooks. Ia ditutup selepas 14 tahun beroperasi. Menurut K-Brooks antara sebab ialah kos operasi bagi memastikan pengguna dari pelbagai lapisan umur dapat menggunakan laman dengan selamat yang tinggi menyebabkan ia tidak lagi dapat ditanggung oleh syarikat.

Tetapi kemudian muncul laporan Omegle berhadapan dengan pelbagai saman oleh pengguna bawah umur yang mengalami gangguan seksual. Laman tidak mempunyai penyaring kandungan berdasarkan usia yang menjadikannya platform digunakan oleh pedofil untuk melakukan amang seksual.

Komen