Carian
Poco F6 dan F6 Pro Kini Rasmi Dengan Snapdragon 8s Gen 3, Kamera 50MP Dan AI -Harga Bermula RM1799
May 23, 2024 Fahim Zahar

Poco hari ini telah melancarkan dua peranti di bawah siri Poco F6 di Dubai Exhibition Center. Peranti pertama adalah Poco F6 dan yang kedua pula adalah Poco F6 Pro. Kedua-dua peranti ini adalah telefon pintar kelas mercu mampu milik yang dinantikan selepas tahun lepas Poco F5 saya katakan ia sudah hampir sempurna, sementara ketus editor kami En. Effi menyatakan Poco F5 Pro adalah peranti harga mampu dengan prestasi sebuah mercu.

Poco F6

Ini adalah peranti mercu mampu milik generasi keenam Poco. Kali ini, Poco F6 akan menjadi peranti global kedua dengan cip Snapdragon 8s Gen 3 selepas Moto Edge 50 Ultra. Cip ini mirip dengan 8 Gen 3 tetapi berbeza pada konfigurasi teras, kemampuan kamera dan modem. Pada F6 ia dipadankan dengan pilihan memori sehingga 12GB LPDDR5X serta storan mencapai 512 GB UFS 4.0.

Skrin peranti adalah Flow AMOLED DotDisplay yang bersaiz 6.67-inci dengan teknologi CrystalRes. Ia turut menyokong kadar segar semula 120Hz, paparan Dolby Vision dan HDR10+ dan boleh mencapai kecerahan sehingga 2400 nits. Untuk kamera, Poco F6 mengikut jejak langkah Nothing dengan menggunakan dua sensor sahaja tanpa ada sensor gimik iaitu 50MP sudut lebar + 8MP sudut ultra lebar dan 20MP kamera swafoto. Jika anda pernah mendengar spesifikasi peranti ini, ia mirip dengan Redmi Note 13 Turbo tertiris sebelum ini yang bakal dilancarkan di China.

Xiaomi HyperOS berasaskan Android 14 menjadi sistem operasi peranti ini. Ciri kecerdasan buatan generatif seperti Xiaomi 14 turut diberikan iaitu AI Eraser Pro dan AI Expansion, AI Portrait dan AI Subtitle tetapi beberapa ciri memerlukan akses beta. Sistem audio adalah stereo Dolby Atmos, port USB-C menyokong audio Hi-Res, peranti turut dilengkapi dengan pengimbas cap jari bawah skrin, sensor infra merah, WiFi 7, Bluetooth 5.3, NFC dan bateri 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas Xiaomi HyperCharge 90W.

Poco F6 Pro

Peranti ini adalah model mercu mereka tahun ini. Poco F6 Pro sebenarnya adalah sebuah Redmi K70 yang dijenamakan semula seperti Poco X6 adalah Redmi K70E. Teknologi skrin adalah lebih kurang sama dengan Poco F6 iaitu Flow AMOLED 6.67-inci Dolby Vision 120Hz, tetapi pada F6 Pro ia menggunakan resolusi WQHD+ (3200 x 1440) dan mempunyai kecerahan mencapai 4000 nits. Kedua-dua siri Poco F6 turut dilindungi dengan Gorilla Glass Victus.

Cip peranti ini adalah Snapdragon 8 Gen 2 iaitu cip peranti mercu tahun lepas. Untuk peranti ini ia dipadankan dengan pilihan memori sehingga 16GB RAM LPDDR5X serta storan dalaman mencapai 1TB UFS 4.0. Konfigurasi kamera adalah 50MP, OIS sudut lebar + 8MP sudut ultra lebar 2MP makro dan 16MP kamera swafoto.

Poco F6 Pro menjalankan sistem operasi Xiaomi HyperOS berasaskan Android 14. Semua ciri dan spesifikasi lain pada peranti ini adalah lebih kurang sama dengan Poco F6. Cuma bateri 5000mAh pada peranti ini menyokong pengecasan yang lebih pantas, iaitu Xiaomi HyperCharge 120W. Dua ciri AI generatif iaitu AI Expansion dan AI Eraser Pro turut boleh digunakan.

Rekaan kedua-dua peranti menggunakan skrin yang rata, direka untuk kelihatan seakan sebuah peranti yang premium dan tiada sebarang gimik pada panel belakang peranti. Poco F6 dengan penawaran warna Titanium seakan Samsung dan Apple, sementara Poco F6 Pro dengan panel belakang bercorak.

Untuk Poco F6, ia dijual di Malaysia pada harga RM1799 untuk model 8/256 GB dan RM1999 untuk 12/512 GB. Sempena pelancaran, kedua-dua peranti ini boleh dibeli pada harga RM1559 dan RM1699. Dua pilihan warna selain Titanium adalah hitam atau hijau. Model ini hanya dijual di Shopee rasmi Poco dan laman mi.com.

Model Pro pula terdapat tiga pilihan iaitu RM2299 untuk 12/256 GB (Lazada), RM2499 untuk 12/512 GB (Eksklusif di Shopee) dan RM2899 untuk 16GB + 1TB (Shopee). Sempena pelancaran ketiga-tiga pilihan ini ditawarkan pada harga RM2059, RM2159 dan RM2599. Pilihan warna terhad kepada dua sahaja iaitu hitam atau putih. Jika anda tidak mempunyai akaun Shopee atau Lazada, model 12/256 GB dan 16GB +1TB turut boleh dibeli di laman mi.com.

Komen