OnePlus 13 telah pun tiba ke Makmal Amanz dan telah saya jadikannya sebagai peranti harian bagi menggantikan Google Pixel 9 Pro XL. Tidak dinafikan ini adalah peranti mercu yang lengkap dan hampir sempurna, tetapi harga jualan adalah penentu baginya.
Baru-baru ini, beberapa penjual rasmi set Malaysia untuk produk OnePlus telah berkongsi secara lebih awal harga jualan OnePlus 13. Ia dikatakan akan dijual pada harga RM4,399 untuk satu variasi sahaja iaitu 16/512 GB. Jualan awal akan melayakkan pengguna mendapatkan pengecas 100W SuperVOOC, kerangka rasmi magnetik untuk sokongan 50W AirVOOC, power bank magnetik OnePlus, beg sandang OnePlus dan botol air OnePlus. Bagi yang terawal, beberapa hadiah rawak lain turut boleh didapatkan.
RM4,399 adalah harga jualan lebih mudah berbanding OnePlus 12 iaitu RM4,599. Bukan itu sahaja, ia juga dilihat adalah harga yang menarik berbanding Oppo Find X8 dan Find X8 Pro yang dijual pada harga RM3,699 dan RM4,999.
OnePlus 13 menjalankan Oxygen OS 15 baharu yang berbeza dengan ColorOS 15. Ia lengkap dengan ciri AI generatif tersendiri, kekal menggunakan kamera 50MP Hasselblad, menyokong perlindungan IP69, menggunakan skrin rata LTPO 4.1 120Hz dengan Dolby Vision dan dijana cip Snapdragon 8 Elite. Dalam ujian awal, OnePlus 13 adalah peranti yang cukup kompetitif berbanding siri Oppo Find X8, siri vivo X200, siri ASUS ROG Phone 9 dan iQOO 13.
Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut pelancaran OnePlus 13 di Malaysia yang dijangka berlaku pada malam 7 Januari sama dengan pelancaran peringkat global. Di Malaysia, OnePlus bekerjasama dengan DirectD untuk tawaran eksklusif seperti baucar penginapan hotel 3 hari 2 malam.