Carian
China Ingin Membina Stesen Janakuasa Solar Sepanjang 1 KM Di Angkasa Lepas
January 13, 2025 Effi Saharudin

China sudahpun mempunyai stesen hidroelektrik dan ladang solar terbesar dunia bagi memenuhi sasaran keperluan tenaga lestari. Dengan rekod di bumi sudah berjaya dipegang, China kini ingin membina pula stesen janakuasa solar terbesar dunia di angkasa lepas bagi membekalkan kuasa tanpa henti.

Konsep stesen janakuasa solar angkasa lepas Solaris oleh ESA

Menurut laporan SCMP, saintis daripada Akademi Sains China (CAS) merancang membina stesen janakuasa solar pada ketinggian 36,000 km daripada permukaan bumi. Panel solar sepanjang 1 kilometer akan menjana kuasa yang kemudiannya dipancarkan semula ke bumi. Menurut perkiraan yang dilakukan, jumlah tenaga elektrik yang dijana setahun adalah bersamaan jumlah tenaga minyak yang dikeluarkan daripada bumi.

Walaupun idea membina stesen janakuasa solar angkasa lepas sini sudah mula difikirkan, teknologi merealisasikannya masih belum wujud sepenuhnya. Dalam pengumuman yang dilakukan pada tahun 2022, China merasakan pembinaan boleh dilakukan menjelang 2028. China masih memerlukan roket yang boleh menghantar kargo berat ke orbit dan kemudian melakukan pemasangannya di angkasa lepas. Setakat ini China telah membina satu stesen angkasa lepas menggunakan beberapa modul yang mengambil masa sekitar 18 bulan untuk disiapkan.

Stesen angkasa Taingong

Pada tahun 2022 China berjaya menguji memancarkan tenaga elektrik yang dijana panel solar kembali ke bumi menggunakan gelombang mikro. Selain China, negara Kesatuan Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat turut mempunyai perancangan yang sama tanpa sebarang pelan terperinci diumumkan.

Tidak berakhir di situ, sebuah lagi empangan hidroelektrik yang lebih besar akan dibina China di Tibet. Ia akan dibina di Sungai Yarlung Zangbo (juga dikenali sebagai Sungai Brahmaputra) dengan ia boleh menghasilkan 300 bilion kWh kuasa elektrik setahun. Ini adalah lebih daripada tiga kali ganda output 88.2 bilion kWh setahun yang dijana oleh Empangan Tiga Gaung.

Komen