Carian
15 Teknologi Dan Produk Menarik Yang Diumumkan Di CES 2025
January 20, 2025 Nazrin

Consumer Electronics Show 2025 berlangsung pada dua minggu lalu di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat, dan merupakan salah satu daripada acara teknologi pengguna terbesar di dunia. Banyak syarikat memperlihatkan teknologi dan produk-produk baru yang akan dilancarkan pada tahun ini, dan ini adalah senarai 10 produk yang pada pendapat kami adalah pengumuman-pengumuman yang paling menarik yang berlaku di acara tersebut.

1. Piawaian HDMI 2.2

HDMI 2.2 kini rasmi, diumumkan oleh HDMI Forum di acara CES 2025, dan tidak lama lagi, kita akan dapat melihat paparan skrin beresolusi 4K dengan kadar segar semula 480Hz dan 8K dengan kadar segar semula 120Hz.

Ini dilakukan dengan meningkatkan kadar penghantaran data melalui palam dan kabel ke 96Gbps, dua kali ganda apa yang ditawarkan melalui HDMI 2.1 sebelum ini.

Dengan teknologi baru ini, ia dilihat bahawa lengah masa diantara output video dan audio juga dapat dikurangkan, dengan HDMI Forum mengatakan bahawa produk-produk baru dengan piawaian HDMI 2.2 akan mula diperkenalkan di pasaran pada pertengahan pertama tahun 2025.

2.Robot Vakum Dengan Tangan Mengutip Sampah

Robot vakum boleh mengurangkan beban menyapu sampah di rumah setiap hari. Tetapi kesemua robot vakum tidak mempunyai kemampuan menyedut sampah yang bersaiz lebih besar. Di CES 2025, Roborock Saros Z70 dilancarkan dengan “tangan” yang menyelesaikan isu ini.

Tangan OmniGrip dilipat pada bahagian atas robot apabila tidak digunakan. Ia melipat keluar untuk mengutip sampah besar yang dikesan oleh sensor dan kamera robot. Menurut Roborock, OmniGrip boleh mengangkat sampah sehingga 300 gram yang kemudiannya dibuang ke dalam tong sampah. Pemilik juga boleh menggunakan aplikasi telefon pintar untuk mengawal OmniGrip secara jarak jauh.

Saros Z70 telah diprogramkan untuk mengenalpasti sehingga 108 objek dengan pemilik boleh memprogramkan sendiri 50 objek lain di rumah. Robot vakum ini serasi digunakan dengan ekosistem peranti berhubung (IoT) Google Home, Apple Home dan Amazon Alexa. Harga jualan belum lagi diumumkan.

3.Motosikal Elektrik Terbang

Terdapat beberapa prototaip kereta dan teksi terbang telah kami paparkan di Amanz sejak setengah dekad yang lalu. Boleh dikatakan 99% prototaip yang dihasilkan tidak menjadi produk sebenar kerana tiadanya sambutan oleh orang ramai. Maka di CES 2025, motosikal terbang Rictor Skyrider X1 telah diperlihatkan sebagai mod pengangkutan masa depan yang lebih praktikal.

Rictor Skyrider X1 boleh beroperasi seperti sebuah skuter tertutup apabila di atas jalan raya yang boleh membawa 2 orang penumpang. Dalam mod terbang, empat tangkai untuk sistem kuadrotor akan dibuka dengan lapan kipas elektrik. Menurut Rictor, motosikal terbang berkuasa elektrik mereka boleh terbang sehingga 40 minit pada kelajuan sehingga 100 km/j.

Terdapat sistem keselamatan seperti payung terjun kecemasan dan ia masih boleh. terbang walaupun dengan satu motor gagal berfungsi. Pengeluar turut berkata ia mempunyai kemampuan swaterbang tanpa kendalian manusia. Pengeluar ingin menawarkan motosikal terbang ini pada tahun 2026 dengan harga bermula $60,000 (~RM270,000) sebuah.

4.Frore Systems Airjet Mini Slim

Frore Systems mungkin nama yang tidak begitu dikenali oleh pengguna, tetapi jika anda seperti saya, seorang yang sentiasa mengikuti perkembangan teknologi perkomputeran, mereka dilihat sebagai masa hadapan penyejukan komputer dan mesin pelayan.

Di acara CES 2025, mereka telah memperlihatkan produk terbaru mereka, Frore Systems Airjet Mini Slim, iaitu sebuah “kipas” penyejuk yang menggunakan tenaga elektrik dan getaran untuk menghasilkan udara dan menyejukkan komponen-komponen elektronik.

Frore Systems telah menguji kemampuan penyejuk ini didalam sebuah komputer riba Samsung Galaxy Book4 Edge untuk menyejukkan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Elite. Ia dapat diperlihatkan bahawa penyejuk ini membolehkan CPU tersebut menggunakan kuasa elektrik yang lebih banyak, dan sebuah bateri lebih besar juga boleh dimuatkan untuk memastikan ia bertahan lebih lama lagi.

Ini dilihat sebagai sebuah bukti konsep terbaik sekarang ini bahawa cip penyejuk mereka adalah masa hadapan untuk menyejukkan komponen-komponen didalam komputer riba kelas nipis dan ringan hari ini. Samada syarikat-syarikat pembuat perkakasan akan menggunakan teknologi ini masih tidak diketahui lagi.

5. Lenovo ThinkBook Plus Gen 6 Dengan Skrin Bergulung

Lenovo ThinkBook Plus Gen 6 dengan skrin bergulung untuk menjadi lebih besar kini dilancarkan secara rasmi di CES. Seperti imej yang tertiris sebelum in, ThinkBook Plus Gen 6 hadir dengan skrin 14″ OLED 2000 x 1600 pixel bergulung yang boleh memanjang ke atas untuk meningkatkan saiz ke 16.7″ 2000 x 2350 pixel. Ini dilakukan dengan menekan sebuah butang khas atau melakukan aksi lambaian ke kamera web.

Apabila dibuka, luas skrin meningkat 50% berbanding asal membolehkan dua aplikasi dibuka dan disusun di atas satu sama lain bagi memudahkan multi tugasan. Komputer dilengkapi cip sehingga Intel Core Ultra 7, memori sehingga 32GB LPDDR5x RAM, storan sehingga 1TB PCIe Gen4 dan bateri 66Whr yang menyokong pengecasan 66W.

Hanya terdapat port USB-C Thunderbolt 4 dan bicu audio 3.5mm. Sistem audio pula terdiri daripada dua speaker 2W Harman/Kardon dengan sokongan Dolby Atmos. Kamera web pula sebesar 5MP dengan sistem infra merah yang hadir dengan penutup fizikal. Kesemua ini dimasukkan ke dalam kerangka sebesar 1.7 kilogram Lenovo ThinkBook Plus Gen 6 akan dijual bermula Jun 2025 dengan harga bermula $3,499 (~RM 15,733) sebuah.

6.AMD Ryzen AI Max

AMD adalah diantara beberapa syarikat di CES 2025 yang telah melancarkan banyak produk-produk baru, diantaranya model-model AMD Ryzen 9000X3D baru, siri cip AMD Ryzen Z2 dan kad grafik AMD Radeon RX 9000.

Akan tetapi, satu produk yang sangat menarik minat saya ialah APU terbaru mereka dibawah siri AMD Ryzen AI Max yang menggabungkan CPU dan GPU dalam satu cipset di bawah kod nama Strix Halo. Secara ringkasnya, cip pemprosesan ini dibina untuk komputer riba kelas gaming premium yang mahukan rekaan nipis dan ringan.

Komputer riba yang dikuasakan cip pemprosesan ini boleh hadir dengan jumlah memori terbina sebanyak 128 ke 192GB memori, dan sebahagian daripada memori tersebut boleh digunakan sebagai VRAM untuk bahagian grafik komputer riba ini.

Ia bukanlah kali pertama AMD membina APU berkuasa seperti ini, tetapi ia boleh dikatakan kali pertama AMD tampil dengan sebuah penyelesaian semua-dalam-satu yang dapat menandingi komputer-komputer riba gaming paling berkuasa di pasaran hari ini.

7.Jentolak Swapandu Elektrik Komatsu Boleh Beroperasi Di Dasar Laut

Kereta elektrik (EV) dan motosikal elektrik kini sudah menjadi norma harian di Malaysia dibantu oleh pelbagai inisiatif oleh kerajaan untuk menyokong penggunaannya. Tetapi terdapat juga permintaan untuk jentera elektrik untuk projek pembinaan yang lebih lestari. Di CES, Komatsu memperlihatkan prototaip jentolak elektrik yang bukan sahaja boleh beroperasi secara swapandu tetapi juga di dasar laut.

Menurut Komatsu, setiap jentolak berkuasa elektrik ini dilengkapi bateri sebesar 450 kWh membolehkan ia beroperasi sehingga enam jam. Waktu pengecasan semula adalah sekitar 4 jam. Pada waktu ini setiap jentolak boleh beroperasi sehingga kedalaman 7 meter di bawah permukaan air. Terdapat perancangan untuk membolehkan ia beroperasi sehingga kedalaman 50 meter. Had terletak pada panjang antena kerana sistem GPS tidak beroperasi di bawah permukaan air.

Mengapa jentolak bawah laut dibina oleh Komastu? Kerana mereka sudah mengeluarkan jentolak dengan kemampuan dua alam sejak 1970an lagi bagi memenuhi keperluan pembinaan projek pembinaan pesisir pantai untuk mengurangkan hentaman ombak, untuk menyelia kedalaman sungai dan pantai. Jentolak ini akan diperlihatkan sekali lagi di Expo 2025 yang berlangsung di Osaka pada April depan.

8.ASUS ROG Flow Z13

Bercakap mengenai CPU AMD Ryzen AI Max, ASUS ROG Flow Z13 akan dikemaskini setelah dua tahun tidak diperlihatkan. Ia adalah salah satu daripada komputer riba yang diumumkan oleh ASUS di acara CES 2025, dan pada pendapat saya ialah produk paling menarik yang diperlihatkan mereka.

Komputer riba ini tampil dengan paparan skrin OLED ROG Nebula bersaiz 13 inci dengan resolusi 2.5K dan kadar segar semula 180Hz. Ia dikuasakan cip pemprosesan AMD Ryzen AI MAX+ 395 yang hadir dengan 16 teras CPU Zen 5, bersama-sama dengan GPU Radeon 8060S terbina.

Dari segi penawaran memori dan storan pula, tablet ini akan hadir dengan 128GB memori LPDDR5X dan storan sebesar 2TB. Ia juga dimuatkan dengan bateri sebesar 70Wh untuk ketahanan selama beberapa jam.

9.Lenovo Legion Go S

Lenovo ialah sebuah lagi jenama komputer yang telah memperlihatkan beberapa produk-produk baru di CES 2025, dan diantaranya ialah dua konsol PC iaitu Lenovo Legion Go yang dikemaskini dengan cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme, dan satu lagi ialah Lenovo Legion Go S yang dikuasakan oleh cip AMD Ryzen Z2 Go.

Dari segi rekaan, Legion Go S dilihat sangat memiripi sebuah lagi konsol PC jenama lain, iaitu ASUS ROG Ally. Ia dikuasakan cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Go dan dimuatkan dengan paparan skrin bersaiz 8 inci dengan kadar segar semula 120Hz.

Keunikan konsol ini hadir melalui sokongan sistem operasinya, dimana ia bukan sahaja akan hadir dengan model yang menggerakkan sistem operasi Microsoft Windows 11 seperti banyak konsol PC yang lain, tetapi juga Steam OS keluaran Valve yang sebelum ini hanya diperlihatkan pada konsol Steam Deck.

Lenovo Malaysia juga turut mengesahkan bahawa konsol ini akan tiba ke pasaran tempatan pada bulan Februari 2025 ini dan akan dijual pada harga RM3299.

10.SteamOS Akan Menyokong Konsol Pihak Ketiga

Bercakap mengenai SteamOS, Valve, syarikat disebalik konsol Steam Deck, sistem operasi SteamOS dan juga platform penjualan permainan digital Steam telah mengumumkan bahawa mereka akan membuka sistem operasi tersebut untuk digunakan oleh konsol-konsol PC pihak ketiga, seperti Lenovo Legion Go, ASUS ROG Ally, MSI Claw dan sebagainya.

Kelebihan SteamOS berbanding Windows ialah sokongan alat kawalan yang lebih baik kerana ia dibangunkan untuk konsol mudah alih. Selain itu berdasarkan pengalaman penggunaan bateri juga lebih baik jika dibandingkan dengan konsol menggunakan Windows 11.

Valve mengatakan ujian Beta akan dibuka seawal Mac depan sebelum Lenovo Legion Go S dilancarkan pada bulan Mei. Senarai konsol pihak ketiga yang boleh memuat turun SteamOS belum lagi diumumkan tetapi Valve mengatakan pengalaman yang diberikan adalah setanding pada sebuah Steam Deck.

11.Acer Nitro Blaze 8 Dan Nitro Blaze 11

Acer telah memperlihatkan penawaran konsol PC mereka sendiri, iaitu Acer Nitro Blaze 7 di acara IFA 2024 yang berlangsung pada Oktober tahun lepas. Di acara CES 2025, mereka telah memperlihatkan dua lagi model Acer Nitro Blaze baru, dan kali ini hadir dengan dua penawaran saiz paparan, iaitu 8.8 dan 10.95 inci.

Kedua-dua konsol ini juga dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen 7 8840HS dan dimuatkan dengan memori LPDDR5X sebanyak 16GB dan storan SSD sebesar 2TB untuk membolehkan pengguna memuatkan banyak permainan di dalamnya.

Satu keunikan yang diperlihatkan pada Acer Nitro Blaze 11 khususnya ialah ia hadir dengan kebolehan untuk mencabut alat kawalan permainan seperti Nintendo Switch dan Lenovo Legion Go, dan mempunyai cagak yang membolehkan pengguna untuk mendirikan konsol ini untuk digunakan dengan lebih mudah.

12.NVIDIA GeForce RTX 5000

Pelancaran siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000 merupakan pelancaran yang sangat ditunggu-tunggu oleh ramai penggemar dan pembina PC gaming. Di CES 2025, mereka telah memperlihatkan empat buah kad grafik dalam siri tersebut, termasuklah NVIDIA GeForce RTX 5090, NVIDIA GeForce RTX 5080, NVIDIA GeForce RTX 5070 Ti dan NVIDIA GeForce RTX 5070.

Kad-kad grafik ini menggunakan cip pemprosesan Blackwell terbaru dan memori GDDR7 yang membolehkan pengguna untuk memainkan permainan-permainan moden pada gabungan resolusi, kadar segar semula dan tetapan yang tinggi tanpa masalah.

Jensen Huang, CEO NVIDIA telah mengatakan bahawa khususnya untuk kad grafik model NVIDIA GeForce RTX 5070, ia memperlihatkan prestasi kadar bingkai menyerupai sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090, yang merupakan kad grafik paling berkuasa generasi lepas dengan bantuan teknologi janaan bingkai DLSS 4 terbaru mereka yang akan tiba khusus untuk kad grafik siri ini.

Lebih menarik lagi, sejumlah pembuat komputer riba seperti ASUS, Acer, MSI dan sebagainya juga telah memperlihatkan komputer riba yang dikuasakan cip pemprosesan NVIDIA terbaru ini untuk komputer riba, walaupun pengumuman mengenainya tidak dijangka tiba hingga pertengahan tahun ini.

Kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090 dan GeForce RTX 5080 untuk komputer desktop dijangka akan tiba di pasaran global menjelang penghujung bulan Januari ini.

13. Dell Kemaskini Penjenamaan Produk Seakan Apple

Dell, jenama pembuat komputer terkenal untuk penawaran siri komputer riba mereka yang tampil melalui pelbagai siri seperti Dell XPS, Inspiron, Latitude, Precision dan sebagainya untuk pelbagai kategori pengguna.

Di acara CES 2025, Dell telah membuat satu pengumuman besar mengenai penjenamaan model-model komputer riba ini, dengan menggantikannya dengan nama seperti Dell, Dell Pro dan Dell Pro Max yang sangat menyerupai penjenamaan peranti Apple iPhone.

Dell ialah untuk produk yang ditawarkan untuk kegunaan kerja, pendidikan dan permainan. Dell Pro pula untuk pengguna produktiviti profesional. Akhir sekali Dell Pro Max ialah produk yang menawarkan prestasi maksimum. Setiap jenama kemudiannya mempunyai tiga tahap harga iaitu Base, Plus dan Premium.

Penjenamaan semula ini dikatakan untuk memudahkan pengguna memilih produk yang paling sesuai untuk mereka, tetapi untuk kita yang sudahpun biasa dengan penjenamaa seperti Dell XPS, perubahan ke model seperti Dell Pro Max Premium sebagai contoh mungkin akan rasa sedikit janggal pada mulanya.

14. NVIDIA Project DIGITS – Superkomputer AI Mini Harga Bawah RM14,000

Sejak dari awal sejarah perkomputeran, superkomputer hanya dimiliki oleh institusi kerajaan atau syarikat swasta yang mampu membeli kelengkapan yang harganya mencecah puluhan juta. Ini menjadikan akses untuk melatih model kecerdasan buatan (AI) adalah di luar kemampuan kebanyakan pembangun. Hari ini NVIDIA mengumumkan Project DIGITS yang menurut mereka ialah superkomputer melatih AI paling mampu milik di pasaran.

Setiap superkomputer Project DIGITS dilengkapi cip pemproses GB10 Grace Blackwell yang dipadankan dengan memori sebesar 128GB dan storan sehingga 4TB of NVMe storage. Cip GB10 Grace Blackwell mempunyai kemampuan pemprosesan AI 1 petaflop yang membolehkannya melatih model AI dengan 200 bilion parameter. Jika model lebih besar ingin dilatih, dua unit Project DIGITS boleh disambungkan menggunakan NVIDIA ConnectX.

Sekilas pandang, Project DIGITS nampak seperti sebuah komputer mini dengan saiz hampir sama dengan sebuah Mac Mini. Sistem operasi yang digunakan ialah NVIDIA DGX OS yang berasaskan Linux. NVIDIA Project DIGITS akan dijual pada bulan Mei pada harga $3,000 (~RM 13,462).

15. Razer Project AVA – AI Yang Boleh Memberikan Bantuan Ketika Sesi Permainan Video

Razer menggunakan pentas CES 2025 untuk memperlihatkan sebuah lagi konsep mereka. Dengan kecerdasan buatan (AI) menjadi ciri paling hangat pada waktu ini, Project AVA diumumkan dengan ia boleh memberikan bantuan ketika sesi permainan video secara masa nyata.

Project AVA ingin menjadi pembantu yang memberikan saranan terbaik apa yang perlu dilakukan seterusnya oleh pemain berdasarkan analisis sesi permainan terdahulu. Dalam video di atas, AVA memberikan saranan memberikan arahan kepada rakan sepasukan dalam permainan FPS dan memberitahu taktik terbaik mengalahkan musuh dalam Black Myth : Wukong.

AI AVA dilatih menggunakan data permainan atlet esukan Team Razer. Bantuan boleh diberikan dalam bentuk audio, teks perbualan dan lapisan di atas permainan yang sedang dimainkan. Pada ketika ini Project AVA masih sebuah konsep tetapi Razer merancang menawarkannya dalam bentuk perisian Beta di masa hadapan.

Komen