Cari @ Amanz

Apple WWDC 2019Maklumat mengenai sistem operasi mudah alih iOS 13 telah diperlihatkan kepada pengguna oleh Apple pagi tadi. Penambahbaikan dilakukan dengan penambahan fungsi sahaja tanpa perubahan yang drastik dilakukan pada antaramuka. Tetapi hanya sebahagian kecil fungsi baharu dikongsi oleh Apple ketika pembentangan di WWDC. Oleh itu kami menyenaraikan dua puluh fungsi paling menarik yang bakal diberikan pada iOS 13 kelak.

1. Aplikasi Dilancarkan Dua Kali Lebih Pantas

Apple iOS 13Pelancaran aplikasi sudahpun amat pantas pada peranti iOS12 seperti iPhone XS Max. Tetapi mengaku sahaja manusia tidak pernah puas dengan apa yang sedang dinikmati. Pihak Apple kini menjanjikan aplikasi akan dilancarkan dua kali ganda lebih pantas berbanding pada iOS 12. Setakat ini Waze dan Twitter adalah dua aplikasi yang kami rasakan mengambil masa yang agak lama untuk dilancarkan tanpa mengira platform. Apabila masa menunggu dipendekkan, lebih banyak benda boleh dilakukan. Produktiviti pengguna juga meningkat.

2. Face Unlock 30% Lebih Pantas

Apple Face ID yang membolehkan peranti dinyahkunci menggunakan wajah pengguna yang unik. Pada iPhone X ia menerima kritikan mengambil masa yang lebih lama berbanding Touch ID. Pada peranti generasi seterusnya ia menyahkunci dengan lebih pantas. Tetapi menurut Apple, sistem nyahkunci ini bertambah pantas sebanyak 30% selepas kemas mini iOS 13 kelak. Tiada maklumat buat masa ini sama ada Face ID pada iPhone akan menyokong nyahkunci peranti yang berada pada posisi mendatar. Ini amat diperlukan kerana boleh dilakukan pada peranti Samsung dan Huawei semasa.

3. Dark Mode – Tema Gelap Menyeluruh

Tema gelap ialah trend semasa yang boleh kami katakan dipopularkan oleh OxygenOS menerusi peranti OnePlus. Paparan antaramuka peranti yang lebih gelap bukan sahaja mengurangkan penggunaan bateri pada peranti OLED tetapi turut tidak menyilaukan mata pada waktu malam. Seperti Android Q, iOS 13 juga akan mempunyai sokongan tema gelap Dark Mode secara menyeluruh melibatkan antaramuka serta aplikasi yang dihasilkan. Paling menarik ia boleh dijadualkan untuk aktif atau secara manual. Apabila diaktifkan, imej latar belakang juga berubah mengikut tema yang dipilih.

4. Find My iPhone Berfungsi Walau Peranti Tiada Sambungan Internet

Kerisauan utama pengguna iPhone yang agak mahal ialah peranti dicuri atau tercicir. Selama ini sistem Find My iPhone membolehkan peranti yang hilang ini dijejak tetapi ia memerlukan sambungan Internet untuk berfungsi. Kerap kali apabila peranti hilang kad SIM baharu perlu diaktifkan mengakibatkan sambungan Internet pada peranti yang hilang terputus.

Pada iOS 13, sistem Find My iPhone masih boleh berfungsi tanpa sambungan Internet.  Apabila peranti disenaraikan sebagai hilang, ia akan memancarkan isyarat lokasi menggunakan bluetooth. Peranti iOS berhampiran boleh mengesan isyarat ini dan menghantar lokasinya kepada pemilik. Ini dilakukan secara awanama dan data yang disulitkan.

5. Sokongan Kad SD, Pemacu USB Dan Pemacu Luaran

Ketika acara WWDC pagi tadi sokongan membaca kad SD, pemacu USB dan pemacu luaran diperlihatkan pada iPadOS. Tetapi ramai tidak menyedari sokongan membaca storan luaran ini turut disokong pada iOS 13. Pelbagai dokumen seperti gambar boleh dipindahkan dari storan luaran ke dalam peranti iOS menerusi aplikasi Files yang kini lebih berkuasa. Akhirnya satu fungsi Android yang telah lama kami mahukan kini disokong pada peranti iOS.

6. Sambungan WiFi dan Bluetooth Terus Dari Control Center

Satu lagi fungsi dari Android yang kini ke iOS ialah sambungan pantas WiFi dan Bluetooth terus dari Control Center. Pengguna akan dapat mencari rangkaian WiFi yang boleh disambung dan aksesori bluetooth untuk ditambat dengan lebih mudah. Sebelum ini kedua-dua fungsi ini hanya boleh diakses menerusi Settings. Ini adalah tidak mesra pengguna sekaligus menambah langkah tambahan.

7. Tambatan Dua Apple AirPods Serentak

Seperti kami laporkan hanya seminggu yang lalu, iPhone akan kelak dapat menambat dua aksesori bluetooth serentak. Laporan ini nampaknya tidak berapa tepat kerana sebenarnya iPhone akan hanya menyokong tambatan dua AirPods serentak menerusi iOS 13. Kami hanya boleh berharap sokongan Dual Audio seakan Samsung ini akan diperkembangkan kepada kesemua aksesori audio bluetooth dalam masa terdekat.

8. Sign In With Apple – Bagi Mereka Yang Mementingkan Privasi

Melog masuk ke pelbagai lama web menggunakan sistem Facebook dan Google telah lama dilakukan. Kini kita mengetahui data peribadi melog masuk menggunakan dua akaun ini mengakibatkan anda dijejaki oleh pihak ketiga. Sejak tahun lalu privasi pengguna mula dipandang serius kerana skandal Cambridge Analytice. Dengan iOS 13 fungsi baharu Sign In With Apple akan diperkenalkan.

Pada laman yang menyokongnya, akaun Apple ID akan digunakan sebagai ganti membuka akaun baharu. Apple mengatakan Sign In With Apple adalah lebih selamat kerana data peribadi tidak akan dikongsi dengan pihak ketika. Pengesahan identiti pula menggunakan Face ID atau Touch ID.

9. Sokongan Suntingan Video Dan Gambar Lebih Baik Dalam Photos

Fungsi suntingan video dan gambar pada aplikasi Photos adalah amat terhad. Ramai pengguna iOS terpaksa bergantung kepada aplikasi pihak ketiga yang perlu dimuat turun terlebih dahulu. Pada iOS 13, suntingan video dan gambar yang lebih terperinci dan berkuasa akhirnya diberikan. Sebagai contoh video yang di dalam posisi menegak boleh diputarkan ke posisi mendatar menggunakan fungsi sunting terbina Photos. Tambahan lagi tahap White Balance dan keterangan waran turut boleh dilakukan terus dari Photos.

10. Portrait Lighting Boleh Dikawal Dan Dilaras Pengguna

Suntingan gambar lebih pelbagai dipadankan pula dengan sistem Portrait Lighting yang juga boleh dilaras. Sebelum ini pengguna terpaksa berpuasa hati dengan hanya tetapan yang telah diberikan oleh Apple. Pada iOS 13, pengguna boleh mengawal arah sumber cahaya, dedahan, kekuatan kesan khas, sejauh mana kulit wajah dilembutkan dan sebagainya. Dengan kuasa di tangan jurugambar, imej yang lebih menarik dapat dihasilkan menggunakan sebuah iPhone.

11. Siri Yang Kedengaran Lebih Semula Jadi

Pembantu maya yang terbaik pada waktu ini masih lagi Google Assistant. Antara perkara paling menarik Assistant ialah ia kedengaran seperti manusia sebenar sehingga boleh digunakan sebagai ganti pengguna untuk melakukan tempahan kedai. Siri tidak mahu ketinggalan jauh dan akan menjalani penambahbaikan supaya turut kedengaran seperti manusia sebenar. Ini akan membolehkan pengguna mendengar pembacaan berita, emel dan mesej yang lebih semula jadi. Pada waktu ini Siri masih kedengaran seperti robot jika dibandingkan dengan Assistant.

12. QuickPath – Menaip Seakan Swype Terbina Pada Papan Kekunci

Menaip pada iPhone lebih mudah apabila dilakukan dengan dua tangan. Bagi memudahkan proses menaip dengan sebelah tangan, QuickPath diperkenalkan pada papan kekunci iOS13.  Dengan QuickPath fungsi seakan Swype untuk menaip tanpa jari diangkat dari skrin boleh dilakukan walaupun dengan hanya sebelah tangan. Bagi mereka yang tidak gemar menggunakan papan kekunci pihak ketiga pada iPhone, sokongan terbina QuickPath telah lama dinantikan.

13. Papan Kekunci Mengenali Bahasa Yang Diucapkan Secara Automatik

Papan kekunci juga dengan sokongan menaip menggunakan suara yang ditambah baik turut dilakukan. Pada iOS 13 papan kekunci iPhone boleh mengenali bahasa apakah yang diucapkan oleh pengguna dan kemudian menaipnya tanpa perlu mengubah bahasa secara manual. Bahasa yang boleh dikenali bergantung kepada bahasa yang dipilih oleh pengguna. Walau bagaimanapun buat masa ini jumlah bahasa yang boleh difahami secara automatik dihadkan kepada empat terlebih dahulu.

14. Apple Health – Mengesan Kitaran Haid Dan Waktu Subur

Apple Health boleh menjejak tahap kesihatan pengguna. Kini ia turut boleh mengesan kitaran haid pengguna wanita dan tempoh subur mereka. Kesihatan wanita kerap dilupakan dan Apple menyedari ini adalah sesuatu yang tidak boleh diendahkan. Pengguna wanita akan diberikan notifikasi bilakah haid akan tiba. Sejarah kitara juga boleh disimpan untuk tujuan melihat tahap kesuburan.

Sebelum ini mereka perlu memuat turun aplikasi pihak ketiga yang kemudiannya menjual data mereka tanpa disedari. Dengan sokongan terbina Apple Health, pengguna tidak perlu lagi risau tentang privasi kesihatan organ seksual mereka.

15. Sokongan Pengawal PlayStation 4 Dan Xbox One S

PlayStation 4

Pasaran permua tahun lalu mencecah nilai jualan $70 bilion. Trend jualan dijangka semakin meningkat kerana kepopularan permua seperti PUBG, dan Mobile Legends yang kini dimainkan atlet e-sukan profesional. Sebelum ini Apple Arcade diumumkan sebagai perkhidmatan permainan dari Apple. Satu kekurangan permua ialah kawalan pada skrin adalah agak sukar kerana saiz skrin yang kecil.

Menerusi iOS 13, sokongan untuk pengawal permainan DualShock 4 dan Xbox One S akhirnya akan diberikan. Permua yang dimuat turun untuk peranti kini akhirnya boleh dikawal menggunakan dua pengawal permainan yang paling popular di pasaran.

16. Screen Time – Lebih Berkuasa Dan Penuh Maklumat

Screen Time

Screen Time memaparkan jumlah masa yang dihabiskan menggunakan peranti dalam masa seminggu. Bagi mereka yang risau akan ketagihan digital, Screen Time membolehkan mereka menganalisa tabiat penggunaan peranti. Menerusi iOS 13 tempoh menjejak aktiviti akan disimpan sehingga 30 hari. Mereka juga boleh menetapkan jumlah masa keseluruhan sebelum peranti dihadkan penggunaan. Fungsi One More Minute memberikan pengguna seminit untuk menyimpan kerja sebelum peranti dikunci.

17. Sokongan Audio Dolby Atmos

Audio pada hemat kami adalah sama penting dengan kualiti visual. Tanpa sistem audio yang baik, filem aksi tidak akan memberikan impak seperti yang dikehendaki oleh pengarah. Pada iOS 13, peranti Apple akan akhirnya menyokong kandungan yang menggunakan runut bunyi Dolby Atmos, Dolby Digital, atau Dolby Digital Plus.

18. Apple Music – Paparan Lirik Segerak Dengan Audio

Apple Music menyokong paparan lirik lagu yang didengari secara automatik. Tetapi bagi mereka yang gemar berkaraoke, fungsi paparan lirik yang segerak dengan muzik yang didengari akhirnya diberikan. Pengguna juga diberikan pilihan untuk mendengar bahagian lirik yang ingin didengari.  Fungsi yang dahulunya disokong pada Spotify sebelum dihentikan kini muncul semula pada pesaing mereka Apple Music.

19. Pelekat Automatik Berdasarkan Memoji

Selepas Animoji diperlihatkan pada iPhone X, pengeluar peranti yang berlumba-lumba untuk menghasilkan versi mereka tersendiri. Samsung misalnya melancarkan AR Emoji yang menghasilkan pelbagai pelekat berdasarkan avatar wajah pengguna. Menerusi iOS 13, fungsi penghasilan pelekat secara automatik berdasarkan Memoji pengguna akan diberikan. Pelbagai lagi aksesori untuk Memoji juga akan ditambah bagi membolehkan penghasilan avatar 3D peribadi yang lebih realistik. Kesemua pelekat Memoji yang telah dihasilkan akan boleh diakses terus dari papan kekunci sekaligus memudahkan perkongsian ke pelbagai aplikasi yang wujud di dalam peranti.

20. Low Data Mode

Akhir sekali ialah Low Data Mode yang menghadkan penggunaan data pada aplikasi yang berada di latar belakang. Bagi mereka yang melanggan kepada perkhidmatan data, penggunaan data latar belakang yang banyak boleh mengakibatkan kuota dihabiskan dengan pantas. Ini akan menjadi isu lebih besar apabila wujudnya rangkaian 5G kelak. Pada iOS 13, pengguna mempunyai lebih kuasa mengawal berapakah data yang boleh digunakan oleh aplikasi latar belakang.

Jadi inilah 20 fungsi baharu iOS 13 yang diumumkan oleh Apple pagi ini. Apakah fungs yang paling menarik bagi anda? Adakah pula fungsi yang tidak kami senaraikan? Kongsi pendapat anda di bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd