Akhirnya, yang ditunggu-tunggu kini telah tiba. Siri Samsung Galaxy Note20 telah diperkenalkan secara rasmi, hari ini. Samsung memperkenalkan dua model di bawah siri ini yang terdiri daripada Samsung Galaxy Note20 dan Samsung Galaxy Note20 Ultra. Rasanya, untuk pertama kalinya dalam sejarah Samsung mengadakan acara pelancaran untuk siri Galaxy Note secara atas talian. Ia berikutan penularan wabak COVID-19 yang masih belum temui penghujungnya.
Seperti biasa, setiap kali pengenalan produk baharu, sesebuah syarikat itu pastinya akan melakukan penambahbaikan untuk menjadikannya relevan dengan trend semasa. Almaklumlah, tiada siapa yang ingin memiliki peranti dengan penawaran spesifikasi dan fungsi yang lapuk. Jadi, apa agaknya penambahbaikan yang disertakan pada siri Samsung Galaxy Note20? Adakah setiap spesifikasi yang disertakan padanya berbaloi dengan harga yang ditawarkan? Untuk artikel kali ini, penulis akan senaraikan 10 perkara yang dirasakan menarik pada pewaris baru untuk siri Galaxy Note pada kali ini :
1.Sokongan S-Pen Yang Dipertingkatkan
Jika nak dibandingkan dengan sebelum ini, sokongan S-Pen pada siri Samsung Galaxy Note20 menerima sejumlah inovasi dan pembaharuan yang menarik. Kalau tahun lalu, Samsung telah memperkenalkan kawalan gestur pada S-Pen siri Samsung Galaxy Note10 – di mana kamera dan laras audio boleh dikawal menerusi Air Actions.
Tahun ini ia ditambah baik lagi masa pendam lebih rendah 9ms berbanding 32ms tahun lalu. Ini meletakkannya setanding dengan Apple Pencil. Air Actions ditambah lagi dengan empat gestur “kayu ahli sihir” baharu iaitu melancarkan skrin multi tugas, melakukan tangkapan layar, kembali ke skrin pemula dan melakukan aksi back tanpa skrin disentuh.
2. Spesifikasi Berkuasa Untuk Keperluan Pengguna Profesional
Perkara penting yang tidak boleh diketepikan apabila kita berbicara mengenai sesebuah peranti pintar baharu adalah kemampuan cip pemproses. Masakan tidak, para pengguna mesti mengharapkan sesuatu yang terbaik, di mana apa yang mereka dapat adalah setimpal dengan apa yang dibayar. Sama seperti sebelum ini, ketiga-tiga model dilengkapi cip pemproses Exynos 990 iaitu pemproses paling mercu dihasilkan Samsung tahun ini. Namun, ia masih boleh dikatakan peningkatan lebih berkuasa berbanding Exynos 9825 yang digunakan pada Galaxy Note10 yang dilancarkan sebelum ini.
Ditambah lagi dengan sehingga 12GB RAM LPDDR5, ia sekaligus menjadikan peranti ini mampu menjanjikan prestasi 30% lebih berkuasa bersama kecekapan 20% lebih baik. Ia sekaligus, berupaya menyajikan proses pelancaran aplikasi lebih pantas dan lebih banyak sebelum perlu menjalani proses segar semula. Tambahan lagi tahun ini versi 5G akhirnya ditawarkan kepada mereka yang ingin melakukan persediaan awal untuk rangkaian selular terpantas yang dijangka dilancarkan di Malaysia pada tahun 2021.
3. Kamera Dengan Kemampuan Zum Sehingga 50X
Selain pemproses yang berkuasa, kemampuan kamera baik adalah antara kriteria utama pengguna sebelum melakukan pembelian. Dengan harga peranti yang semakin tinggi. standard yang diharapkan pada kemampuan kamera juga semakin meningkat.
Pada siri Note20, kemampuan kamera yang tinggi dapat dinikmati. Note20 mampu melakukan zum hibrid sehingga 3X dan zum digital sehingga 30x. Note20 Ultra pula lebih baik dengan zum optikal sehingga 5x dan zum digital sehingga 50X. Tidak berakhir di situ, kedua-dua peranti juga mampu melakukan rakaman video pada resolusi 8K 24p yang tidak mampu dilakukan majoriti peranti lain di pasaran.
Note 8 memulakan era penggunaan multi-kamera pada peranti Note kita kini memasuki pula era tri-kamera dengan mekanisme periskop. Dari segi penawaran teknologi kamera terkini, siri Note20 tidak mengecewakan.
4. Skrin Dengan Kadar Segar Semula 120Hz
Tahun lalu, ramai pengguna merungut apabila siri Samsung Galaxy Note10 hanya dilengkapi skrin 60Hz sedangkan OnePlus 7 Pro yang dilancarkan tiga bulan lebih awal menggunakan skrin 90Hz yang panelnya dikeluarkan sendiri oleh Samsung. Secara lazimnya Samsung akan menggunakan teknologi terkini pada peranti keluaran mereka terlebih dahulu tetapi ini tidak berlaku pada Note10.
Setelah menerima kritikan yang hebat dari pengguna, skrin 120Hz akhirnya disokong pada Note20 Ultra. Kadar segar semula ini juga adalah dari jenis Adaptive yang menggunakan perisian untuk menetapkan bilakah kadar segar semula 120Hz akan diaktifkan. Ini secara teorinya akan menjimatkan penggunaan bateri peranti kerana tanpanya hayat bateri akan terjejas seperti yang dilihat pada S20 Ultra awal tahun ini.
5. Samsung DeX Kini Nirwayar
Nampaknya, fungsi DeX dilihat semakin ‘matang’ dengan lebih banyak penambahbaikan. Jika sebelum ini, Dex memerlukan dermaga khusus sebelum hanya memerlukan sambungan penyesuai HDMI dua tahun lalu.
Selepas bertahun dijanjikan, sokongan Wireless DeX akhirnya diberikan. Pengguna boleh menggunakan mod DeX pada skrin yang menyokong Miracast. Apabila ini dilakukan skrin Note20 dan Note20 Ultra boleh digunakan sebagai pad sesentuh atau skrin sekunder biasa sebuah telefon pintar.
Pada waktu ini Wireless DeX hanya disokong pada televisyen pintar Samsung dari tahun 2019 dan ke atas. Sokongan pada paparan lain menerusi sistem Miracast akan ditawarkan bermula Oktober 2020.
6.Samsung Notes Kini Lebih Berguna
Seterusnya, aplikasi pada Samsung Notes dipertingkatkan untuk menyokong lebih banyak format. Buat pertama kalinya fail berformat PDF boleh diimport sebelum disunting dengan bebas. Pasca suntingan pengguna boleh mengeksportnya pula dalam format Samsung Notes, Microsoft Word, PowerPoint atau PDF. Kemudian kesemua fail yang dihasilkan di dalam Notes boleh diselarikan ke storan awanan Microsoft.
Pengguna kemudian boleh mengakses kesemua fail di dalam komputer Windows 10 menerusi Microsoft One Note ataupun OutLook. Keperluan untuk memindahkan fail terlebih dahulu sebelum boleh dilihat di komputer tidak lagi perlu dilakukan.
Notes turut boleh melakukan rakaman anotasi audio ketika catatan dilakukan. Apabila mendengar semula audio, animasi catatan yang dilakukan akan dimainkan secara serentak. Ciri lain ialah meluruskan tulisan yang senget di dalam aplikasi. Pada Note20, Samsung Notes yang dianggap sebagai aplikasi yang dianaktirikan akhirnya membesar untuk menjadi lebih berguna.
7. Integrasi Android dan Windows 10 Lebih Mendalam Menerusi Aplikasi Your Phone
Perkara yang paling dibenci oleh kami di pejabat ialah gangguan dari notifikasi yang diterima pada telefon pintar terutamanya ketika sedang mengejar berita penting. Pada siri Note20 masalah gangguan kerja akan dapat dikurangkan menerusi integrasi lebih mendalam di antara Android dan Windows 10.
Bermula dengan Note20, pengguna boleh melancarkan sehingga 5 aplikasi Android yang dipasang pada telefon pintar di dalam komputer Windows 10 secara nirwayar. Sebelum ini ia hanya boleh dilakukan secara berwayar menggunakan Samsung DeX untuk Windows 10.
Ini ialah penambahan dari fungsi melihat notifikasi, menjawab mesej, melakukan salin tampal fail rentas sistem operasi, melakukan panggilan telefon dan mengakses kandungan telefon terus dari Windows 10 yang diumumkan sebelum ini. Kerjasama Samsung dan Microsoft memberikan ciri-ciri eksklusif lebih awal berbanding peranti Android pengeluar lain.
8. Nearby Share
Penghantaran fail dengan pantas dan lebih mudah boleh dinikmati menerusi Nearby Share. Nearby Share yang diaktifkan hanya minggu ini mempunyai ciri yang sama seakan AirDrop pada peranti Apple dan Huawei Share pada peranti Huawei.
Seperti sedia maklum, Samsung juga mempunyai ciri pindahan fail tersendiri iaitu Quick Share. Bagaimanapun, ia hanya terhad pada peranti Samsung denga One UI 2.1 sahaja pada waktu ini. Dengan Nearby Share. Samsung menyokong piawaian sekata yang akan digunakan pada kesemua peranti Android dengan sekurang-kurangnya Android 6. Fragmentasi sistem penghantaran fail pada platform Android boleh diselesaikan menerusi Nearby Share.
9. Teknologi Ultra Wideband (UWB) Terbina
Note20 adalah peranti pertama Samsung yang dilengkapi cip ultra wideband (UWB). Ketika majlis pelancaran peranti semalam, UWB diperlihatkan mampu menghantar fail dengan hanya menghalakannya. Peranti dengan bijak memahami pengguna ingin menghantar fail ke arah yang ditetapkan dan bukan kepada peranti-peranti lain yang berdekatan. Sekiranya ciri ini seperti pernah anda dengar, ia adalah kerana ia diperkenalkan terlebih dahulu pada siri iPhone 11 tahun lalu.
Tetapi impian Samsung untuk teknologi UWB tidak terhad kepada penghantaran fail. Ia kelak membolehkan Note20 menjadi kunci digital untuk menggunakan kereta atau pintu rumah. Kereta boleh dipinjam kepada rakan dengan menghantar kunci digital secara atas talian.
Kemudiannya ia boleh mencari barangan yang hilang dengan jubin tag fizikal lengkap dengan arah kedudukannya. Implementasi lain ialah pintu rumah akan dibuka, lampu akan dipasang dan televisyen akan terus menstrim YouTube sejurus selepas kehadiran anda di pintu dikesan kerana wujudnya cip UWB. Fiksyen sains rumah pintar dengan peranti berhubung SmartThings Samsung boleh menjadi realiti dengan teknologi ini.
10.Xbox Game Pass Premium
Akhir sekali, sekiranya Asus ROG Phone 3 menjalinkan kerjasama dengan Stadia, Samsung pula mengumumkan kerjasama dengan Microsoft untuk menyokong Project xCloud menerusi Xbox Game Pass Premium. Bagi anda yang mungkin tidak tahu, Project X Cloud juga merupakan perkhidmatan langganan penstriman permainan video sama seperti Stadia yang akan memulakan operasi September ini dengan 100 tajuk permainan. Permainan video eksklusif seperti Gears of Wars 5 dan Forza boleh distrim terus pada peranti siri Note20. Grafik bertaraf konsol boleh dinikmati pada sebuah telefon pintar menerusi Project xCloud.
Selepas perkhidmatan PlayGalaxy Link ditamatkan Mac lepas ini ialah hasilnya. Sebuah lagi kerjasama eksklusif antara Samsung dan Microsoft. Dengan Samsung pernah melancarkan sebarang peranti yang benar-benar memfokuskan kepada permua, mereka memintas keperluan spesifikasi tinggi menerusi penstriman terus secara awanan. Berita malang di sini ialah pada waktu ini Microsoft tidak mempunyai perancangan menawarkan Project xCloud di Malaysia dalam masa terdekat.
Akhir kata, Samsung dilihat masih teguh berdiri untuk terus bersaing dengan sejumlah jenama lain. Melalui penambahbaikan ini, kita boleh kata Samsung begitu komited dalam menyediakan sesuatu terbaik buat pengguna setia. Bukan sahaja, rupa paras serba baharu bahkan, sejumlah spesifikasi dalaman turut dipertingkatkan untuk menjadikan jenama ini untuk terus kekal relevan seiring trend semasa.
Grafik dan teks tambahan Effi Saharudin