Carian
10 Perkara Mengecewakan Pada Siri Samsung Galaxy Note20
August 10, 2020 Effi Saharudin

Selepas beberapa hari dilancarkan, pelbagai maklumat lebih lengkap mula diketahui mengenai Samsung Galaxy Note20 dan Note20 Ultra. Walaupun di dalam artikel sebelum ini kami memberikan 10 Perkara Menarik Mengenai siri Note20, kini tiba giliran untuk artikel balasan pula diterbitkan kerana harus diakui peranti ini masih mempunyai beberapa isu. Menerusi artikel ini kami berharap penambahbaikan dapat diberikan pada Note30 tahun hadapan

1.Exynos 990 Bukan Snapdragon 865+

Exynos 990 bukanlah pemproses yang tidak berkuasa dan sebenarnya mampu mengalah 99% pemproses peranti mudah alih di pasaran sekarang. Tetapi menerusi ujian penanda aras yang telah kami lakukan sebelum ini mengesahkan ia masih di belakang Snapdragon 865 dan Apple A13. Dengan pelancaran Note20 pada bulan Ogos, ramai mengharapkan pemproses baharu yang lebih berkuasa akan digunakan tetapi ini tidak berlaku.

Di pasaran lain Note20 dan Note20 Ultra dilengkapi Snapdragon 865+ yang lebih berkuasa berbanding Snapdragon 865. Mengapa Samsung memasarkan peranti mercu mereka dengan dua pemproses dengan jurang prestasi yang ketara. Walaupun kami difahamkan pada Note20 Samsung tidak menumpukan kepada kuasa, realitinya pengguna kini lebih kritikal dan merasakan penggunaan Exynos 990 bukanlah keputusan yang tepat.

2. Masih Tiada 120Hz Pada Resolusi WQHD+

Siri Samsung Galaxy S20 memperkenalkan skrin dengan kadar segar semula 120Hz. Ia walau bagaimanapun tidak boleh diaktifkan pada resolusi WQHD+ dengan terdapat ura-ura ia akan diaktifkan menerusi kemas kini kelak. Enam bulan telah berlalu dan Note20 Ultra yang juga tidak menyokong kadar semula 120Hz pada resolusi WQHD+. Samsung tidak mempunyai kekangan untuk mengaktifkan mod ini kerana panel keluaran mereka untuk Oppo Find X2 Pro tidak mempunyai masalah menyokongnya pada resolusi ini.

Lebih mengecewakan ialah skrin Note20 pula hanya menyokong resolusi FHD+ 60Hz. Ini ialah kritikan yang diberikan ke atas Poco F2 Pro tetapi peranti ini dijual pada harga bermula RM2199. Maka ketiadaan skrin dengan kadar segar semula tinggi boleh dimaafkan. Pada sebuah peranti mercu yang dijual pada harga yang RM3899, penggunaan skrin 60Hz kami rasakan tidak lagi boleh diterima.

3. Bonggol Kamera Yang Besar

Bonggol besar dipopularkan oleh Lumia 1020 tujuh tahun lalu bagi menyokong kamera dengan sensor sebesar 41 megapixel. Saiz bonggol peranti moden masih belum mampu menandingi yang ditemui pada 1020 tetapi Note20 Ultra kini antara calon pemenang anugerah bonggol terbesar 2020.

Dari gambar ia kelihatan lebih kecil berbanding S20 Ultra tetapi di dunia sebenar bonggol Note20 Ultra adalah lebih tinggi.  Ia terlalu ketara tinggi sehingga peranti terjengket lebih tinggi daripada biasa. Risiko kerosakan berlaku ke atas bukan sahaja lensa tetapi bonggol itu sendiri adalah tinggi.

Samsung Malaysia telahpun mengesahkan kerangka tidak akan diberikan dengan setiap pembelian Note20 tidak seperti yang dilakukan dengan setiap pembelian siri S20 dan Note10.

4. Pengecasan Pantas 25W Sahaja

Bateri pada Note20 Ultra dan Note20 adalah lebih besar berbanding yang ditawarkan pada siri Note10 tahun lalu. Dengan kapasiti tertinggi 4500 mAh, ini ialah kapasiti yang agak besar. Pengecasan yang pantas adalah amat perlu bagi mengurangkan masa menanti. Tetapi kedua-dua model sekadar menyokong pengecasan dengan output maksimum 25W sahaja. Tiada sokongan 45W seperti pada S20 Ultra. Mengapa ini dilakukan masih lagi misteri tetapi satu lagi keputusan yang kurang masuk akal.

5. Tempat Simpanan S-Pen Diubah

Tempat simpanan S Pen diubah dari kanan ke kiri buat pertama kali sejak peranti dilancarkan sembilan tahun lalu. Tiada sebab diberikan tetapi kami mempunyai teori ia adalah kerana bagi memberi ruang kepada modul kamera yang besar yang terletak pada sisi kanan peranti. Selepas sehari menggunakan Note20, kami masih tidak boleh membiasakan diri dengan kedudukan baharu ini kerana sudah hampir sedekad melatih diri menarik S Pen dari bucu kanan. Harus akui terasa amat canggung keran kami tidak kidal dan apabila peranti di tangan kiri, proses menarik S Pen keluar dari bicu kiri ini kurang mesra pengguna.

6.Skrin Melengkung Pada Note20 Ultra

Skrin melengkung dipelopori oleh Samsung pada Note Edge. Kemudian skrin dwi-lengkung diperkenalkan pada Galaxy S7 Edge. Rekaan unik ini digunakan bagi memberikan ilusi peranti hampir tiada bezel ketika saiz bezel pada skrin masih lagi besar. Kita kini di tahun 2020 dan bezel peranti sudah semakin nipis dengan peratusan skrin kepada tubuh melangkaui 90%  adalah normal.

Tetapi tidak seperti enam tahun lalu, penggunaan peranti telah banyak berubah. Rekaan skrin melengkung yang dulunya dilihat seksi kini menyebabkan video yang ditonton kelihatan cacat apabila menggunakan mod skrin penuh. Pengalaman menggunakan permua juga terganggu. Skrin melengkung pada hemat kami mungkin perlu dihentikan seperti rekaan dagu serta dahi yang besar.

7. Panel Belakang Note20 Diperbuat Daripada Plastik

Galaxy Note 5 memulakan era panel belakang kaca dan bateri yang tidak boleh ditanggalkan. Penggunaan panel kaca menjadikan peranti kelihatan lebih premium serasi dengan statusnya sebagai sebuah peranti mercu. Tahun ini Not20 telah dilancarkan dengan panel polikarbonat. Apabila memegang Note20 di dalam tangan, perbezaannya amat ketara.

Peranti teras lebih ringan dan memberikan pengalaman seperti menggunakan peranti kelas pertengahan. Apabila diketuk kedengaran bunyi rompong yang kurang menyenangkan. Kami memahami jika panel plastik digunakan untuk mengurangkan harga jualan tetapi Note20 ditawarkan pada harga RM3899 di Malaysia.

Terdapat banyak peranti pengeluar lain dengan panel kaca yang dijual pada harga lebih rendah. Apapun alasan yang diberikan oleh Samsung, panel plastik Note20 adalah satu kekurangan yang seharusnya tidak berlaku.

8. Wireles DeX Terhad Kepada TV Tertentu

Wireless DeX akhirnya disokong selepas dua tahun dijanjikan kewujudannya oleh Samsung. Tetapi masih ada sedikit kekurangan di mana ia hanya akan disokong pada televisyen pintar keluaran Samsung terlebih dahulu dan model 2019 ke atas sahaja. Ini memerlukan pengguna mempunyai kelengkapan Samsung tersedia di pejabat untuk menikmati ciri menarik ini. Pada waktu yang sama sokongan Miracast akan diberikan bermula Oktober tetapi senarai peranti yang akan disokong masih belum diketahui.

9. Spesifikasi Tertinggi Tidak Cukup Ultra

Dengan penggunaan nama Ultra, ramai pasti menyangka spesifikasi yang tertinggi dan terbaik boleh dinikmati dengan pembelian Note20 Ultra. Tetapi di Malaysia Note20 Ultra hanya ditawarkan dalam satu model dengan 12GB RAM dan storan 256GB. Pada tahun 2020, kami merasakan 256GB bukanlah saiz storan yang paling “ultra” kerana tahun lalu Samsung ada menawarkan S10+ dengan storan 1TB di pasaran tempatan.

Bagi sebuah peranti yang dipasarkan untuk kegunaan golongan profesional dan menggantikan sebuah komputer riba, storan seharusnya lebih besar. Sekurang-kurangnya 512GB pada hemat kami bagi menyamai penawaran Apple yang dilihat sebagai pesaing sektor peranti premium Malaysia.

10.Xbox Game Pass Premium Tidak Di Malaysia

Kami tidak boleh menyalahkan Samsung dalam hal ini kerana Microsoft telah bertahun tidak memberikan sokongan Xbox di negara kita. Kebarangkalian Project xCloud menerusi Xbox Game Pass Premium akan ditawarkan di negara adalah amat-amat rendah Tetapi ia masih lagi mengecewakan kerana antara fungsi paling menarik Note20 ini tidak boleh diakses. Bayangkan grafik tahap konsol generasi terkini dapat distrim terus pada peranti dengan katalog 100 permainan pada hari pertama pelancaran.

Baiklah ini sahaja 10 perkara yang mengecewakan kami mengenai Samsung Galaxy Note2o dan Note20 Ultra. Ini tidak bermakna kedua-dua peranti ini tidak berbaloi cuma kami berharap kekurangan yang diketengahkan akan dapat diperbaiki sehingga tahun hadapan apabila Note30 dilancarkan artikel seperti ini tidak lagi perlu diterbitkan.

Komen