Cari @ Amanz

Seperti yang kami katakan dalam artikel #Seratus21 – Huawei Macam Mana Wei, masa hadapan Huawei adalah sangat mencabar. Nasib mereka terhadap pasaran telefon pintar adalah sangat malang dan disebabkan itu mereka mula fokus kepada peranti berhubung, aksesori audio dan juga peranti boleh pakai. Peranti terkini mereka iaitu siri Huawei Mate 40 sudah pun di acah dan akan dilancarkan pada 22 Oktober ini.

Berdasarkan imej pengolokan yang tertiris, panel belakang Mate 40 Pro kelihatan seakan iPod. Manakala versi RS memperlihatkan rekaan yang lebih unik. Terkini, tangkapan layar bagi Mate 40 Pro telah tersebar di Internet dan memperlihatkan serba sedikit spesifikasi bagi peranti ini. Skrin yang digunakan adalah resolusi 2772 x 1344 dan bukan lagi skrin jenis waterfall sebaliknya lengkungan biasa sahaja. Ia dijana dengan cip Kirin 9000 dan dipadankan dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB.

Cip Kirin 9000 ini dilihat lebih hebat dari Snapdragon 865, mungkin kerana binaan 5nm. Peranti ini menjalankan sistem operasi EMUI 11, yang mana adalah berasaskan Android 10 sahaja. Sudah pasti, peranti ini akan kekal dengan HMS dan tidak akan ada GMS. Skrin hadapan adalah seakan P40 Pro+, iaitu jenis dwi-lubang, sistem kuad-kamera 50MP + 20MP + 12MP + satu lensa lagi. Manakala kamera swafoto pula dikatakan adalah 13MP + sensor 3D.

Bateri dikatakan 4,400mAh, menyokong WiFi 6 dan Bluetooth 5.2, USB-C 3.1, pengecasan pantas 65W.

Sumber: HuaweiAilesi melalui Gizmochina

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd