Sudah lebih setahun Huawei dimasukkan ke dalam senarai entiti oleh Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat selepas didakwa melakukan intipan bagi pihak Beijing. Halangan bermula dengan akses kepada GMS pada peranti Android baharu keluaran mereka sebelum tekanan diberikan kepada sekutu rapat untuk mengharamkan penggunaan teknologi selular.
Huawei terus hidup dan untuk seketika berjaya memintas Samsung sebagai pengeluar peranti terbesar dunia pada suku pertama 2020. Tetapi situasi yang dihadapi oleh Huawei semakin getik sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Kekangan perdagangan telah diperketatkan sehingga TSMC, Samsung, SK Hynix dan LG tidak dapat lagi membekalkan komponen kepada Huawei bagi mengelakkan mereka sendiri dimasukkan ke dalam senarai entiti.
Kesan jangka pendek telahpun dapat dilihat. Cip Kirin 1000 akan menjadi cip Kirin terakhir dihasilkan kerana hanya TSMC mempunyai teknologi menghasilkannya menerusi teknologi 5nm yang dimiliki Amerika Syarikat. Qualcomm telahpun memohon lesen bagi menawarkan cip mereka kepada Huawei tetapi ia tidak seperti semudah menukar komponen A dengan komponen B.
Sistem kecerdasan buatan, pemprosesan imej pada kamera, pengoptimasian sistem operasi, kawalan pengecasan dan banyak lagi bergantung kepada cip Kirin yang mereka reka sendiri. Sebagai analogi sekiranya esok Apple diharamkan dari menggunakan cip A14 Bionic, mereka tidak boleh secara tiba-tiba berubah ke Snapdragon 875 pada iPhone 12.
Tetapi isu yang lebih besar dan kritikal bukanlah perniagaan telefon pintar Huawei (dan Honor). Tanpa telefon Huawei anda boleh berubah ke Oppo, OnePlus, Nokia, Apple, Samsung dan HTC sekiranya mahu. Peralatan telekomunikasi yang digunakan sekarang ialah isu yang patut mendapat perhatian kita.
Kelengkapan telekomunikasi di Malaysia secara majoritinya menggunakan teknologi 4G Huawei. Ujian awal teknologi 5G di Malaysia juga banyak bergantung kepada teknologi Huawei. Dengan akses kepada cip dan pelbagai lagi teknologi yang patennya dimiliki Amerika Syarikat, kita sebagai pengguna di Malaysia akan berhadapan dengan pengenalan rangkaian 5G yang mungkin lewat dilancarkan sekiranya Huawei tidak mampu menawarkan perkakasan yang diperlukan. Antara syarikat telekomunikasi tempatan yang menggunakan kelengkapan mereka ialah Maxis yang juga merupakan syarikat telekomunikasi dengan rangkaian terbesar.
Huawei dilaporkan memborong cip pemproses, memori dan storan sebelum lesen urusniaga yang diberikan Amerika Syarikat luput. Tetapi lambakan kini tidak akan bertahan lama. Apakah akan berlaku sekiranya berlaku kerosakan pada kelengkapan telekomunikasi dan alat ganti tidak mampu diberikan?
Masalah ini tidak terhad hanya kepada Malaysia tetapi pada negara-negara lain yang memilih kelengkapan Huawei yang ditawarkan pada harga yang lebih mampu milik.
Terdapat ramai yang mengatakan masalah Huawei akan selesai sekiranya Presiden Trump berjaya dikalahkan dalam pilihanraya presiden November kelak. Pada waktu ini tiada petanda yang beliau akan berjaya dikalahkan oleh Joe Biden. Dalam pilihanraya terdahulu, ramai meramalkan Hillary Clinton akan menyapu bersih tetapi keputusan upset berlaku.
Halangan yang dikenakan pentadbiran Presiden Trump akan berkuat kuasa sehingga Mei 2021. Selepas tarikh ini halangan mungkin akan terus dikekalkan kerana Huawei dituduh mendatangkan risiko keselamatan ke atas negara. Jika ditarik Amerika Syarikat akan dilihat sebagai pembuli teknologi yang tidak mengikut prosedur yang betul sebelum menghukum.
Pada penghujung tahun ini mereka akan melancarkan jam tangan pintar pertama dengan HarmonyOS dan kemudiannya telefon pintar HarmonyOS pada tahun 2021 bagi menggantikan Android. Untuk syarikat pengeluar telefon pintar kedua terbesar dunia untuk tiba-tiba berubah ke sistem operasi baru adalah amat mencabar.
Microsoft cuba melakukannya menerusi kombinasi Windows Phone 7 dan Nokia hampir sedekad lalu tetapi kita semua tahu ia berakhir dengan kegagalan. Kita kini berada di dalam generasi ke-tiga telefon pintar dan ramai tidak berminat untuk menggunakan sistem operasi selain Android dan iOS kerana sudah terbiasa atau dalam kes kami sendiri sudah banyak bergantung kepada ekosistem sedia ada.
Di China ini bukanlah isu besar dan sebab itulah jualan Huawei di negara asal mereka masih lagi stabil. Di Malaysia ketiadaan GMS ialah isu yang amat besar kerana ramai memerlukan Youtube, Gmail, Google Maps, Waze, Google Drive dan banyak lagi. Berapa ramai di kalangan pembaca Amanz yang boleh mengatakan mereka boleh hidup tanpa aplikasi-aplikasi ini?
Tahun 2021 akan menjadi tahun yang amat mencabar bagi Huawei. Aspirasi mereka untuk memintas Samsung sebagai pengeluar telefon pintar nombor satu dunia kini hancur lebur. Persoalannya ialah adakah mereka akan bangkit semula seperti phoenix dari abu (atau Apple selepas Steve Jobs kembali) atau mengikut jejak Motorola, Nokia, Siemens, Sony dan HTC yang kini beroperasi pada skala lebih kecil.