Cari @ Amanz

Samsung Galaxy S21, Galaxy S21+ dan S21 Ultra dilancarkan secara rasmi minggu ini sebagai peranti mercu yang memegang panji-panji Samsung dalam perang peranti mercu 2021. Dengan cip Exynos 2100, Samsung berharap kekecewaan tahun lalu akan dapat diubati.

Sebelum ini kami menerbitkan artikel 10 Perkara Menarik Mengenai Siri Samsung Galaxy S21. Hari ini tiba pula giliran 10 Perkara Mengecewakan pula bagi memberikan maklumat lebih lengkap mengenai peranti yang bakal dipasarkan di Malaysia dalam jangka masa terdekat.

1.Bonggol Kamera Yang Masih Besar

Antara rungutan tahun lalu ialah bonggol kamera pada peranti pintar semakin membesar seperti bisul yang membusung. Ini dapat dilihat pada peranti mercu hinggalah peranti kelas pertengahan atas alasan sistem kamera yang semakin kompleks. Beberapa imej pengolokan awal S21 yang tertiris memberikan harapan era bonggol besar akan berakhir tahun ini.

Tetapi malang sekali pisang berbuah dua kali dengan bonggol S21 Ultra bukan sahaja besar tetapi juga tinggi. Seperti saudara rapatnya S20 Ultra dan Note20 Ultra, ia turut tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Tiada kerangka percuma diberikan dengan pembelian tahun ini maka pada hari awal penggunaan, pemilik S21 Ultra perlu berhadapan isu peranti terjungkit jika digunakan pada permukaan meja.

2.Tiada Slot Kad Mikro SD

Ini mungkin isu yang akan menjadi meme hari ini. Siri S21 tahun ini tidak lagi menyokong penambahan storan peranti menggunakan kad mikro SD. Pada awalnya terdapat harapan model S21 Ultra akan menyokongnya tetapi pada peranti ulasan yang kami terima hanya dwi-SIM disokong. Talam yang disertakan bukan dari jenis hibrid seperti yang diharapkan.

Kita telahpun melihat tahun lalu Samsung berjinak-jinak dengan tiada sokongan kad mikro SD pada model bukan Ultra. Eksperimen asal Samsung tidak menyertakan kad mikro SD ialah pada Galaxy S6 enam tahun lalu. Yang mungkin boleh mengubat kekecewaan ialah di Malaysia kesemua model ditawarkan dengan storan bermula 256GB. Storan adalah cukup besar yang memastikan pengguna mungkin tidak akan kehabisan storan sepanjang hayat peranti.

3.Tiada Pengecas dan Fon Telinga Dengan Pembelian

Kotak Galaxy S21

Ya pembaca Amanz sekali, tiada lagi kepala pengecas, fon telinga dan kerangka percuma diberikan dengan setiap pembelian siri S21. Hanya kabel USB-C ke USB-C disertakan di dalam kotak. Bagi mereka yang tidak pernah mempunyai kepala pengecas USB-C anda tiada pilihan selain membeli pengecas baharu untuk peranti ini.

Kesemua aksesori asas tadi tidak lagi diberikan kerana ia adalah langkah untuk mengurangkan sisi elektronik dan plastik. Seperti Apple dan Xiaomi. Samsung mengikut trend cakna alam sekitar. Inginkan pengecas pantas 25W untuk S21 anda? Ia dijual pada harga RM129 sebuah. Kami hanya boleh berharap Samsung Malaysia akan mengurangkan harga jualan sebelum S21 dipasarkan secara rasmi mengikut resam Apple yang turut melakukannya tahun lalu.

4.Pengecasan Terpantas Sekadar 25W

Pengecas tidak disertakan adalah isu yang telah kami bincangkan di atas tetapi satu lagi isu mengenai pengecasan perlu kami sentuh. Siri Galaxy S21 menyokong pengecasan pantas sehingga 25W sahaja yang kini dijual pada harga RM79. Xiaomi pula menjual pengecas GaN 65W pada harga RM119 sebuah untuk Mi 11. Dengan penambahan sedikit wang pengguna dapat pengecasan yang berlipat ganda lebih berkuasa.

Untuk tahun kedua berturut-turut. siri Galaxy S ketinggalan dalam menggunakan teknologi pengecasan pantas. Dengan bateri 5000 mAh yang agak besar, pengecasan yang pantas adalah amat perlu lebih-lebih lagi apabila pesaing Samsung kini mampu mengecas bateri peranti dalam masa kurang 40 minit.

5.Panel Polikarbonat Pada Galaxy S21

Secara peribadi kami lebih menggemari peranti dengan panel polikarbonat kerana lebih tahan lasak. Tetapi sebahagian besar pembaca Amanz adalah di dalam kem “peranti mercu perlu bahan binaan premium”. Kami meramalkan ramai pasti yang kurang senang kerana Galaxy S21 menggunakan panel polikarbonat “glastik” dan bukannya Gorilla Glass seperti S21+ dan S21 Ultra.

Wakil Samsung mengatakan panel ini digunakan untuk mengurangkan kos jualan peranti di seluruh dunia. Sekilas pandang harus kami akui sukar membezakan panel glastik dan kaca pada ketiga-tiga model kerana kemasan pusam yang digunakan. Ia hanya disedari apabila bahagian belakang S21 diketuk dengan jari.

6. S Pen Tiada Sokongan Bluetooth

Siri Galaxy Note masih akan dilancarkan tahun ini tetapi sampai bila? Samsung mempunyai tiga keluarga peranti mercu sekarang iaitu Galaxy S, Galaxy Note dan Galaxy Z. Tiga keluarga peranti mercu adalah strategi yang tidak boleh bertahan lama lebih-lebih lagi di zaman pandemik.

Samsung Galaxy S21 Ultra ialah yang pertama dalam siri Galaxy S yang menyokong S Pen. Sebagai pengguna Note kami redha bahawa siri ni kini nyawa-nyawa ikan. Pencarian peranti ganti apabila ia dihentikan kelak sudahpun dimulakan.

Kami suka dengan S Pen Galaxy S21 Ultra yang lebih besar dan panjang. Kami juga suka kerana tahap keperinciannya adalah setanding dengan siri Note dan Tab S. Yang mengecewakan ialah S Pen yang ditawarkan sekarang tiada sokongan bluetooth. Kami sudah membiasakan diri menggunakan S Pen sebagai alat kawalan jauh kamera. S Pen Pro dengan bluetooth hanya akan ditawarkan di satu tarikh yang belum diumumkan dan penantian adalah satu penyeksaan.

7. Hanya S21 Ultra Menyokong WQHD+

Samsung Galaxy S21 dan S21+ kedua-duanya sekadar menyokong resolusi maksimum FHD+. Ini ialah langkah ke belakang kerana tahun lalu kesemua model S20 menyokong resolusi maksimum WQHD+. Hanya S21 Ultra boleh menyokong resolusi ini dengan kadar segar semula 120Hz. Langkah yang diambil dilihat sebagai langkah mengurangkan harga peranti. Namun begitu harga jualan S21 dan S21+ masih lebih tinggi walaupun kami akui storan asas kini lebih besar.

Pengurangan spesifikasi pada peranti mercu sebelum ini hanya dilakukan pada siri Galaxy FE tetapi telahpun dimulakan pada Galaxy S. Ini membuka persoalan sama ada Galaxy S1 FE nanti apa pula yang akan dicantas untuk mengurangkan lagi harga jualan?

8. Exynos 2100 Tidak Dapat Menandingi Apple 14 Bionic

Exynos 2100

Ujian awal yang telah dilakukan di makmal kami mengesahkan Exynos 2100 masih belum mampu menandingi markah penanda aras yang dicatatkan oleh Apple 14 Bionic. Markah yang dicatatkan memang lebih baik berbanding Snapdragon 888 (yang telah tertiris), Snapdragon 865+ da Exynos 990. Terdapat banyak harapan diletakkan di bahu Exynos 2100 kerana ketiga-tiga teras yang digunakan berkelajuan lebih tinggi berbanding teras-teras Snapdragon 888. Untuk empat tahun berturut-turut pemproses yang ditawarkan oleh Apple adalah lebih berkuasa berbanding cip yang ditawarkan untuk telefon pintar Android.

9. Tiada Lagi Sokongan MST

AffinPay

Samsung Pay ialah sistem pembayaran nirsentuh yang menjadi pilihan ramai kerana menyokong kedua-dua sistem NFC dan MST. Dengan ini telefon pintar Samsung boleh menjadi pengganti kad debit dan kredit untuk melakukan pembayaran yang selamat ketika membeli belah. Tetapi pada siri Galaxy S21 sokongan MST dihentikan. Ini bermakna pembelian menggunakan terminal pembaca kad tanpa NFC tidak lagi boleh dilakukan. Ini ialah isu yang besar di Malaysia kerana majoriti terminal pembaca kad di Malaysia adalah dari jenis MST.

10.Harga Yang Semakin Meningkat

Kami jarang sekali menyentuh tentang harga kerana kemampuan setiap insan berbeza. Ada yang merasakan RM4000 untuk peranti masih mampu milik tetapi ada juga mengatakan RM1000 suda merobekkan kocek. Tetapi tahun ini Samsung menjual S21 Ultra pada harga bermula RM5299 untuk 12/256GB. Ini adalah RM100 lebih mahal berbanding Note20 Ultra yang mempunyai skrin lebih besar, stylus terbina dan pengecas/fon telinga dalam kotak. S20 Ultra tahun lalu dijual pada harga RM4999 dengan pilihan 12/128GB.

Ini meletakkan harga Galaxy S21 Ultra setanding dengan iPhone 12 Pro Max (RM5299 6/128GB) . Kami memahami Samsung melihat diri mereka sebagai setanding dengan Apple. Tetapi hakikatnya ramai yang kini mengatakan jika harga sama baik beli iPhone. Samsung menjadi nama besar dalam dunia telefon pintar kerana menawarkan spesifikasi lebih baik pada harga lebih mampu milik. Dua tahun lalu penawaran harga mereka masih lagi kompetitif kerana terdapat ancaman dari Huawei. Dengan Huawei kini terkubur, Samsung tidak mempunyai pencabar sebenar pada platform Android dan harga mula naik semula.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd