Sedang banyak pengeluar peranti berlumba hadir dengan peranti mercu yang terbaik, membandingkan antara satu sama lain siapa lebih hebat – pasaran peranti kelas pertengahan turut berlumba untuk menjadi siapakah yang terbaik dan yang berbaloi. Seperti kelas mercu, kelas ini juga mempunyai banyak pembahagian dari yang asas, biasa atau yang premium. Masing-masing mendakwa mempunyai kehebatan lebih kurang cip peranti mercu lepas, jadi siapa yang patut dipilih?
- MediaTek Dimensity 800U – Realme 7 5G
- Qualcomm Snapdragon 765G – OnePlus Nord
- HiSilicon Kirin 985 – Huawei Nova 7

Kesemua ujian dilakukan beberapa kali dengan markah tertinggi diambil. Memandangkan setiap peranti dilancarkan di Malaysia di tarikh yang berlainan dan tempoh kami dapat menguji setiap peranti juga adalah berlainan. Jadi, versi AnTuTu dan Geekbench yang digunakan mungkin berlainan.
Kami memulakan dengan ujian Antutu 3D, kesemua skor yang diperoleh adalah seperti di bawah;
- MediaTek Dimensity 800U – 304,943
- Qualcomm Snapdragon 765G – 328,568
- HiSilicon Kirin 985 – 414,075
Markah yang dicatatkan oleh MediaTek Dimensity 800U adalah lebih rendah berbanding Qualcomm Snapdragon 765G dan HiSilicon Kirin 985. Ini adalah keputusan yang dijangkakan, kerana walaupun MediaTek kerap mendakwa yang cip mereka lebih hebat dari Qualcomm, ia masih jauh ketinggalan lagi.
Perbezaan markah yang dicatatkan di antara Dimensity 800U dan Snapdragon 765G adalah 7.5%. Manakala Snapdragon 865+ dengan Kirin 985 pula mempunyai beza 23.03%. Akhir sekali, beza antara Dimensity 800U dengan Kirin 985, sudah semestinya jauh sekali iaitu 30.36%. MediaTek dilihat sudah menghampiri Snapdragon, tetapi Huawei tetap mendahului. Sayang sekali, peranti tanpa GMS bukan kegemaran ramai – jadi ramai lebih sanggup menggunakan peranti yang dijana Snapdragon 765G.

Keputusan yang sama dilihat dalam ujian Geekbench. Dimensity 800U sekali lagi tewas kepada Snapdragon dan Kirin. Secara keseluruhan, cip 7nm dari Huawei ini tampak lebih hebat dan berkuasa.
- MediaTek Dimensity 800U – 597/1776
- Qualcomm Snapdragon 765G – 608/1868
- HiSilicon Kirin 985 – 690/2542
Dalam banyak-banyak cip ini, Huawei Nova 7 dengan cip pemprosesan HiSilicon Kirin 985 dilancarkan terlebih dahulu dan dijual. Walaupun begitu, pesaing masih tidak dapat menandingi dalam skor ujian penanda aras. Perbezaan markah yang dicatatkan ialah 1.83% dalam ujian satu teras dan 5.05% pula dalam ujian multi-teras antara MediaTek dan Snapdragon. Jujur kami terkejut dengan kebolehan Kirin 985.
Di Malaysia, peranti yang dijana Kirin 985 hanya terdapat Nova 7 sahaja. Model lain tidak dijual. Jika permua atau aplikasi kegemaran anda berada dalam Huawei AppGallery dan anda inginkan prestasi menarik serta pengalaman penggunaan yang memuaskan – anda perlu korbankan penggunaan GMS. Malah ulasan Nova 7 kami juga menerima pujian. Tetapi jika GMS penting, pilihlah peranti yang dijana Snapdragoin 765G.


Peranti dengan cip ini sudah ada banyak pilihan, jika sebelum ini terhad dengan OnePlus Nord dan Vivo X50, kini ada pilihan Oppo Reno5 atau ZTE Axon20 5G (jika anda menerima jemputan untuk beli).
Banyak lagi peranti kelas pertengahan akan tiba tahun ini. Kita tahu tahun ini akan masih ada peranti hadir dengan cip-cip tahun 2020. Tetapi, mari kita nantikan peranti yang dijana oleh cip pengganti Snapdragon 765G, pengganti Dimensity 800U dan kalau masih ada pengganti Kirin 985 – untuk melihat kehebatan masing-masing.