Carian
Google Pixel 3A Mempunyai Masalah Piksel Pada Bucu Skrin
February 18, 2021 Fahim Zahar

Peranti Google Pixel adalah antara peranti yang saya sendiri gemari. Bukan kerana perkakasan atau spesifikasi, tetapi kerana perisian. Pixel menjalankan sistem operasi Android asli dengan perkhidmatan Google secara menyeluruh. Ia memberikan satu pengalaman penggunaan yang sangat memuaskan. Lebih-lebih lagi Pixel 4 dan Pixel 4 XL.

Tetapi seperti kebanyakan jenama peranti lain, Google Pixel bukan produk yang sempurna. Malah tiada istilah produk yang 100% sempurna, kerana ciptaan manusia pasti akan ada cacat cela. Jadi Pixel juga tidak terlepas dari masalah perisian, binaan tidak berkualiti dan banyak lagi. Terkini, peranti Pixel yang paling popular – iaitu peranti kelas pertengahan pertama mereka Pixel 3A mempunyai masalah skrin yang masih tidak diselesaikan lagi.

Sejak kemaskini Pixel Feature Drop yang diedarkan sejak Disember tahun lepas, Pixel 3A mempunyai masalah piksel di bucu skrin. Sebelum kemaskini ini, sistem Android yang dijalankan mempunyai ciri penopengan yang memadamkan sedikit piksel di bucu skrin agar ia tampak lebih kemas. Bagi yang tidak perasan, ia tidak akan menjadi satu masalah. Tetapi sekali sahaja anda terpandang pada bucu skrin, masalah ini tidak dapat dilupakan dan memberikan satu perasaan yang tidak menenangkan. Ini kerana bucu skrin kelihatan sedikit cacat tanpa penopengan piksel melalui perisian.

Ramai sudah maklumkan kepada Google sejak Disember tahun lepas lagi. Tetapi sehingga hari ini, Google masih tidak memberi sebarang maklum balas. Peranti yang pada suatu masa dahulu meningkatkan jualan Pixel ke dua kali ganda, sudah pun dihentikan penjualan kerana Pixel 4a yang jauh lebih baik. Tetapi, jangka hayatnya masih belum tamat. Google sepatutnya masih menjaga kemaskini dan sokongan untuk peranti ini. Apa kata anda?

Komen