Isu hangat minggu ini ialah Perdana Menteri bertukar nama dari Muhyiddin menjadi Mahiaddin. Pertama kali dalam sejarah negara kita yang hebat ini seorang Nayok Rattha Montri mengubah nama seperti seorang Erra Fazira, Emma Maembong, dan Bront Paralae. Berita kedua yang hangat ialah peranti di bawah skim Jaringan Prihatin yang didakwa berkualiti rendah dan seperti melepaskan batok di tangga. Semalam tular di media sosial peranti YES Altitude 3 yang diterima di bawah skim Jaringan Prihatin ini meletup ketika sedang dicas.
Memandangkan Amanz ialah sebuah laman teknologi, kami merasakan tergerak untuk menulis mengenai isu ini. Benarkah telefon yang ditawarkan berkualiti rendah? Adalah ia cukup elok untuk PdPR dan apakah yang sepatutnya dilakukan.
YES Altitude 3 Peranti Berkualiti Rendah?
Ini soalan yang bertalu-talu masuk ke dalam DM kami sejak berita mula menjadi tular. Benarkah YES Altitude 3 berkualiti rendah. Jawapan yang kami boleh berikan ialah definisi kualiti rendah ini adalah subjektif. Tubuh polikarbonat, skrin resolusi rendah, rekaan berdagu serta berdahi dan skrin LCD ialah teknologi lama maka tidak semestinya berkualiti rendah. Walau bagaimanapun kami boleh katakan spesifikasinya memang terlalu rendah untuk tahun 2021.
Skrin 5″ IPS LCD, memori 1GB RAM, storan 8GB dan bateri 2000 mAh ialah spesifikasi yang setanding dengan sebuah Samsung Galaxy S3 dari tahun 2012. Hampir sedekad memisahkan kita dengan spesifikasi klasik 4.8″ AMOLED, 1GB RAM, storan 16GB dan bateri 2100 mAh.
Isu bateri meletup sebenarnya berlaku berlaku pada hampir kesemua peranti di pasaran. Ia berlaku juga pada peranti Samsung, Apple, Nokia dan OnePlus. Oleh itu untuk mengatakan Altitude adalah tidak berkualiti mungkin tidak tepat.
Isu spesifikasi rendah diselesaikan dengan menggunakan sistem operasi Android 10 Go yang memang dibangunkan Google sejak 2017 untuk peranti berspesifikasi rendah. Dan di sinilah masalah bermula.
Kenapa Peranti Macam Lembab?
Kami tidak mempunyai peranti di dalam tangan tetapi telah menonton beberapa video di YouTube dari pengguna yang menerimanya sebagai peranti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Rata-rata merungut peranti lembab dengan isu sela masa (lag) yang ketara. Dengan spesifikasi hampir sedekad ini adalah dijangka walaupun dengan sistem operasi versi ringan.
Bagi menyokong Android Go, Google melancarkan aplikasi versi ringan seperti Gmail Go, Maps Go, Files Go, YouTube Go, Asssitant Go dan Gallery Go. Pembangun lain pula melancarkan aplikasi Lite seperti Facebook Lite, Spotify Lite, Twitter Lite dan Firefox Lite yang tidak memerlukan pemproses berkuasa serta memori yang besar.
Altitude 3 dipasarkan sebagai peranti yang serasi digunakan untuk PdPR tetapi hakikatnya “versi ringan” untuk WhatsApp, Zoom dan Google Classroom tidak wujud. Kesemua ini ialah aplikasi yang digunakan tenaga pengajar untuk PdPR. Memang Altitude 3 boleh menjalankan aplikasi-aplikasi ini tetapi ia seperti adalah seperti anda ingin memainkan Red Dead Redemption 2 pada sebuah PC yang berusia 9 tahun. Memang boleh main tetapi pada tetapan yang ultra-rendah.
Tambah menyedihkan ialah bateri 2000 mAh yang digunakan hanya boleh bertahan selama sehingga satu sesi pengajaran sahaja menurut pengguna. Pengecasan pantas pula tidak disokong. Anak saya mempunyai empat kelas PdPR sehari dan itupun sudah mampu membuatkan bateri Samsung Galaxy S21 Ultra (5000 mAh) yang saya miliki tinggal separuh di akhir kesemua sesi.
Jelas sekali YES Altitude 3 bukanlah peranti yang paling sesuai digunakan untuk PdPR walaupun itulah yang cuba iiklankan.
Alasan Untuk Elak Main Game
Selepas kritikan diterima bertalu-talu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang memberikan 20,000 peranti Yes Altitude 3 di bawah program Program Tuisyen Cikgu Saarani dengan bantuan Yayasan YTL berkata ini adalah disengajakan. Pemberian peranti yang tidak berkuasa kepada golongan B40 adalah bagi memastikan ia akan hanya digunakan untuk sesi PdPR dan bukannya bermain permua selepas habis kelas.
Isunya di sini ialah untuk digunakan sebagai peranti PdPR sekalipun kami rasakan tidak serasi. Spesifikasi zaman Jurassic Park untuk pengguna di zaman moden di mana penggunaan peranti yang semenggah dengan capaian Internet yang baik adalah utiliti untuk mengelakkan berlakunya keciciran.
Alasan tidak mahu peranti digunakan untuk main Mobile Legends atau PUBG Mobile adalah amat dangkal dikeluarkan dari seorang ketua negeri. Terdapat banyak cara untuk menghalang pemasangan permua seperti menggunakan Google Family Link. Lebih sadis bila laporan mengatakan peranti diberikan untuk pelajar dari tahun 1 hingga tingkatan enam. Otak saya berkecai menjadi bertih apabila membaca kenyataan tersebut.
Kalau digunakan untuk bermain PUBG Mobile sekalipun adalah itu dosa besar? Anak-anak sekarang tidak boleh keluar bermain, tidak boleh ke taman permainan, tak boleh sepak bola dan tak boleh bertemu dengan kawan-kawan akibat pandemik. Salahkah untuk santai selepas kelas dengan permua? Bukankah hanya beberapa tahun yang lalu kerajaan ingin mencari bakat e-Sukan? Kalau tak main macam mana nak jumpa? Adalah Tuan Saarani fikir atlet e-sukan lahir-lahir terus menjadi super-bakat seperti Sakuragi Hanamichi?
Kami yakin di kalangan pembaca pernah mengalami zaman menggunakan PC underpowered di universiti dahulu. Kerja menjadi perlahan. Tugasan tidak dapat disiapkan kerana BSOD adalah norma biasa. Kami juga yakin anda mempunyai sahabat dengan PC (atau sebuah MacBook Po) spesifikasi tahap Crysis. Beliau boleh menyiapkan kerja dengan lebih pantas kerana komputer tidak mendatangkan sebarang isu.
Ketidakadilan dan jurang teknologi berlaku pada waktu anda di universiti dahulu tetapi kini dibesarkan beribu-ribu kali ganda kerana pandemik. Adakah kerana mereka B40 dengan ibu bapa yang tidak berkepentingan mereka perlu menerima sahaja pemberian di bawah par kerana “lebih baik ada dari tak ada”.
Harus saya ingatkan pembaca sekalian bahawa Program Jaringan Prihatin bukan CSR tetapi menggunakan duit negara berjumlah RM 1.5 bilion. Kenapa apabila ingin memberi kepada rakyat seolah-olah berkira. Adalah golongan B40 tak layak menerima bantuan yang elok? Hina sangatkah golongan majoriti (dan akan semakin bertambah kerana ekonomi semakin ranap) ini untuk menggunakan peranti yang serasi dengan keperluan sebenar?
Ini mengingatkan kami kepada isu netbook untuk sekolah-sekolah lebih sedekad yang lalu. Bantuan yang hampir sama, isu yang hampir serupa berulang. Adakah Malaysia satu-satunya negara berdaulat yang suka mengulangi kesilapan lampau berkali-kali seperti Groundhog Day?
Bagaimana Dengan Syarikat Telco Lain?
Ini membawakan kita kepada soalan seterusnya. Bagaimana pula dengan syarikat telekomunikasi yang lain? Adakah peranti percuma yang ditawarkan di bawah Jaringan Prihatin mereka juga mempunyai spesifikasi berusia 9 tahun sehingga tidak serasi untuk PdPR?
Digi menawarkan Samsung Galaxy A02 dengan skrin 6.5-inci PLS TFT LCD dengan resolusi HD+, dijana cip MediaTek MT6739W, memori 3GB RAM, dan storan 32GB dan bateri berkapasiti 5000mAh. Spesifikasi berusia dua tahun tetapi masih serasi untuk PdPR kerana skrin, memori dan bateri yang besar.
Maxis menawarkan Samsung Galaxy Tab A 2019, Oppo A54, Realme C25s dan Vivo Y20. Keempat-empat telefon dan tablet ini dilengkapi sekurang-kurangnya skrin 6.5″, memori 3GB RAM, storan 32GB dan bateri sekitar 5000 mAh.
Celcom pula ada menawarkan Nokia C2 dengan spesifikasi sama seperti Altitude 3. Tetapi Celcom ada menawarkan Galaxy A02, Vivi Y20, Oppo A54 dan Redmi 9T. Kesemuanya dengan skrin sekurang-kurangnya 6.5″, memori 4GB RAM, storan 32GB dan bateri 5000 mAh
U Mobile menawarkan senarai peranti yang sama dengan Maxis tetapi menambah Real C11 dengan skrin 6.5″, memori 2GB RAM, storan 32GB dan bateri 5000 mAh. Ini ialah peranti dengan spesifikasi paling rendah ditawarkan U Mobile.
TuneTalk menawarkan Vivo Y1s secara percuma dan peranti ini dilengkapi skrin 6.22″, memori 2GB RAM, storan 32GB dan bateri 4030 mAh.
Ini bukanlah senarai yang paling komprehensif tetapi sekilas pandang anda dapat melihat bahawa Yes menawarkan pilihan peranti yang paling kurang berkuasa untuk Program Jaringan Prihatin.
Apa Seterusnya?
Jika ingin memberi produk yang menerima dana dari kerajaan seperti Program Rangkaian Prihatin, kami merasakan berilah peranti yang memang benar-benar sesuai untuk kegunaannya sepanjang PKP. Kita tahun sekarang PdPR akan kekal sehingga sekurang-kurangnya bulan Oktober. Bayangkan selama empat bulan perlu pergi ke sekolah secara telesidang menggunakan peranti yang tidak mampu memberikan pengalaman pengajaran yang baik.
Kepada ahli politik yang mengatakan golongan B40 perlu menerima sahaja apa yang diberi saya sarankan anda gunakan YES Altitude 3 selama beberapa hari dan kemudian keluarkan kenyataan “ya telefon ini sesuai sangat untuk kegunaan harian saya”. Seterusnya sedekahkan telefon iPhone 12 Pro Max atau Samsung Galaxy Z Fold2 yang anda dimiliki kepada anak-anak golongan B40 sebagai ganti. Ayuh. Letak duit di mulut anda sekarang!