Carian
Pengganti Snapdragon 888 Mungkin Diberi Nama Sebagai Snapdragon 8 Gen 1
November 15, 2021 Fahim Zahar

Qualcomm Snapdragon 888+ adalah antara cip yang terpantas sekarang untuk peranti Android. Namun penggunaannya adalah amat terhad kepada peranti gaming sahaja. Ia juga merupakan versi lebih sejuk berbanding Snapdragon 888 dengan sedikit lebih kuasa.

Pengganti cip ini dikatakan adalah Snapdragon 898 yang mungkin akan menggunakan teras utama ARM Cortex-X2 dengan kelajuan mencapai 3GHz. Terkini, menurut peniris terkenal Ice Universe – Qualcomm dikatakan akan memberi nama kepada cip ini sebagai Snapdragon 8 Gen 1. Ini adalah satu nama yang lebih baharu dan semakin rumit. Mungkin kerana mereka menggunakan teknologi baharu yang membuatkan cip ini sebagai generasi pertama menggunakan teknologi ini.

Snapdragon 898 atau Snapdragon 8 Gen 1 ini dikatakan masih mengekalkan penggunaan lapan teras dengan konfigurasi 1+3+4. Teras utama yang berasaskan Cortex-X2 adalah berkelajuan 3.0 GHz. Tiga lagi teras dengan Cortex-A710 pula berkelajuan 2.5 GHz. Akhir sekali ialah empat teras Cortex-A510 berkelajuan 1.79 GHz. GPU yang digunakan pula ialah Adreno 730.

Antara peranti yang akan menggunakan cip ini adalah tablet-tablet Samsung Galaxy Tab S8, Motorola Edge 30 Ultra, Redmi K50 Pro+, Huawei Mate X dan Mate 50 dan mungkin juga Xiaomi 12. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi berkenaan dengannya.

Komen