Cari @ Amanz

Google Pixel 7 dan Pixel 7 Pro dijangka akan dilancarkan pada tahun ini sebagai peranti mercu baharu mereka untuk tahun 2022. Peranti dikhabarkan akan dijana dengan cip Google Tensor 4nm binaan Samsung, menjalankan Android 13 serta menggunakan rekaan mirip Pixel 6 tetapi bar kamera kaca digantikan dengan bar aluminium.

Peranti ini dilihat sudah pun tiba ke tangan orang awam, kerana model prototaip tertiris dan dijual di Facebook Marketplace dan juga eBay. Di samping dua peranti ini, Google dikatakan mungkin akan hadir dengan satu lagi peranti Pixel dengan spesifikasi lebih tinggi daripada Pixel 7 Pro.

Melalui XDA, seorang pembangun berjaya mendapatkan kod-kod Android 13 Beta 4 dan mendapatkan butiran kamera untuk Pixel 7 dan Pixel 7 Pro. Sensor yang akan digunakan dikatakan adalah Samsung ISOCELL GN1 50MP dengan sensor Sony IMX381 12MP serta kamera swafoto sensor ISOCELL 3J1 11MP. Tambahan pada Pixel 7 Pro adalah sensor ISOCELL GM1 48MP menggantikan sensor IMX586 48MP yang digunakan pada Pixel 6 Pro.

Untuk tablet Pixel yang akan dilancarkan pada tahun 2023 nanti, pembangun ini menemui kod yang menyatakan tablet ini akan menggunakan konfigurasi dwi-kamera 8MP daripada sensor Sony IMX355 iaitu sensor sama pada kamera swafoto Pixel 6.

Pixel Tablet

Tambahan XDA lagi, selain Pixel 7 dan Pixel 7 Pro sebuah peranti misteri dengan kod  Lynx (L10) turut ditemui dengan penggunaan kamera ISOCELL GN1 50MP yang sama. Tetapi peranti ini dilihat turut menyertakan sensor IMX687 64MP untuk telefoto dan satu sensor baharu Sony yang belum diumumkan iaitu IMX712 13MP. Ini adalah kali pertama Google menggunakan sensor baharu yang belum diumumkan, kerana selama ini mereka hanya mengitar semula sensor yang sama.

Walau bagaimanapun, ada kemungkinan peranti ini adalah sebuah peranti yang hanya digunakan Google untuk ujian kamera sahaja. Akhir sekali, kod untuk sebuah peranti dengan skrin boleh-lipat Google turut ditemui. Walaupun peranti ini dilaporkan akan ditangguhkan, Google dilihat masih meneruskan ujian untuknya.

Peranti dengan kod nama Passport atau Pipit dilihat menyertakan kamera ISOCELL GN1 50MP, sensor lama IMX363 12MP, sensor IMX386 12MP dan kamera swafoto dengan sensor IMX355 8MP. Sama-sama kita nantikan lanjut dan lihat apakah kejutan daripada Google akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd