Cari @ Amanz

Twitter telah memperkenalkan banyak ciri dan fungsi baharu pada tahun ini. Antaranya adalah CoTweet, Twitter Notes, kemampuan Unmention, atau juga rekaan bar sisi baharu. Ada juga ciri yang masih dalam fasa ujian seperti Twitter Delegates dan baru-baru ini harga langganan Twitter Blue turut dinaikkan.

Laporan daripada TechCrunch beberapa hari lepas memperlihatkan yang Twitter sedang menguji ciri Twitter Status. Status ini boleh diletakkan pada sesuatu ciapan untuk pengguna memberitahu pengikut atau pengguna lain mengenai topik ciapan yang disampaikan.

Pengguna hanya boleh menggunakan Status yang Twitter sediakan, contohnya jika ciapan itu untuk perbincangan yang sedang hangat boleh gunakan Hot take, jika ia adalah satu bebenang boleh gunakan A thread, jika perbincangan mengenai beberan Spoiler alert, jika pertanyaan AMA, perkongsian pendapat peribadi juga boleh menggunakan Unpopular Opinion dan banyaj lagi.

Setiap Status ini mempunyai emoji di hadapannya. Ciri ini adalah seperti status pada MySpace ketika dahulu atau Facebook beberapa tahun lalu. Pengguna turut boleh tekan pada Status tadi untuk melihat ciapan daripada pengguna lain yang menggunakan status yang sama.

Ciri ini buat masa ini masih dalam fasa ujian dan diedarkan kepada pengguna terpilih di Amerika Syarikat dan Australia. Tidak pasti bila ciri ini akan diedarkan kepada semua orang. Ciri ini juga nampaknya tidak terhad kepada pengguna Twitter Blue dan mereka yang bernasib baik sudah boleh menggunakannya.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd