Elon Musk ingin membangunkan X, iaitu super-app sejenis aplikasi semua dalam satu. Langkah awal membangunkan X adalah membeli Twitter. Sejak Twitter di bawah pengawasan beliau, pelbagai perkara telah berubah.
Pengguna Twitter Blue perlu menbayar RM34.90 untuk dapatkan tanda calit biru, label “Twitter for iPhone” akan dihentikan, label “Official” diperkenalkan kemudian dihentikan selepas sehari dan dikembalikan semula, serta Twitter turut kerugian $4 juta sehari.
Tetapi ia tidak menghentikan Twitter untuk terus menjadi platform media sosial yang baik. Terkini, Jane Manchun Wong menemui bukti yang Twitter sedang menguji ciri DM dengan sokongan penyulitan hujung-ke-hujung atau penyulitan penuh.
Ciri ini dilihat sudah dibangunkan sejak tahun 2018 dan hanya kini ia diteruskan kembali. Dengan pengenalan ciri ini, pemesejan melalui Twitter DM akan lebih selamat untuk pengguna. Namun buat masa ini, ciri ini hanya diuji pada peranti Android sahaja.
Ciri penyulitan penuh melalui platform pemesejan sudah diperkenalkan oleh WhatsApp, Facebook Messenger, Google Message dan Signal. Menurut Elon Musk, beliau ingin Twitter DM bersaing dengan Signal.