Brave sentiasa berusaha untuk menjadi pelayar web terbaik di pasaran. Mereka memfokuskan privasi dan sekuriti pengguna dengan pelayar web hadir dengan penghalang penjejakan aktiviti pengguna, bebas iklan, sambungan VPN dan juga enjin carian tersendiri Brave Search.
Brave baru-baru ini telah melancarkan aplikasi natif untuk platform Windows on Arm. Semua ciri dan fungsi dikatakan adalah sama dengan Brave pada versi x64/x86. Ini secara tidak langsung mengembangkan lagi penawaran aplikasi ARM64 untuk Windows. Komputer Windows on Arm masih belum popular seperti MacBook dengan cip Apple Silicon yang juga berasaskan Arm.
Tetapi pembangunan aplikasi sudah mula menarik perhatian ramai pembangun termasuk Google, DaVinci Resolve atau Adobe Lightroom. Komputer Windows on Arm dijangka akan lebih berkembang, lagi-lagi dengan Microsoft yang sudah boleh menggunakan cip selain Qualcomm.