Kematian ialah satu perkara yang tidak dapat dielakkan oleh semua manusia. Hanya amalan di dunia dapat menentukan nasib di alam seterusnya. Tahun ini terdapat banyak tokoh terkemuka dalam dunia sains dan teknologi yang pergi menghadap Ilahi. Berikut ialah 10 tokoh sains dan teknologi yang telah meninggal dunia tahun ini tetapi impak mereka kepada dunia tidak akan dapat dilupakan.
1. Datuk Baharuddin Abu Kassim – Ketua Jurubina Masjid Negara
Ketua jurubina Masjid Negara, Datuk Baharuddin Abu Kassim meninggal dunia di usia 95 tahun Ogos lalu. Beliau bersama dengan Howard Ashley dan Ikmal Hisham Albakri terlibat dalam mereka masjid yang dibuka pada tahun 1965 dengan kapasiti 15,000 orang jemaah.
Masjid Negara memegang status masjid terbesar di Malaysia sehingga 1988 apabila ia dipintas oleh Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam. Allahyarham juga merupakan ketua jurubina Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz.
Selain mereka Masjid Negara dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, beliau turut merupakan jurubina Masjid Kolej Islam Malaya, Masjid Jamek An-Nur Labuan, dan Masjid Negeri, Negeri Sembilan yang kesemuanya mempunyai rekaan ikonik. Kerana sumbangan beliau kepada senibina negara, Datuk Baharuddin Abu Kassim dianugerahkan pingat emas daripada Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) pada tahun 2009.
2. Niklaus Emil Wirth – Pencipta Bahasa Pengaturcaraan Pascal Dan Hukum Wirth
Niklaus Emil Wirth saintis perkomputeran yang mencipta tujuh bahasa pengaturcaraan dan mempopularkan Hukum Wirth meninggal dunia pada 1 Januari lalu pada usia 89 tahun. Sepanjang kerjaya beliau, Wirth terlibat dalam pembangunan bahasa pengaturcaraan Euler, PL360, ALGOL, Modula, Modula-2, Oberon, Oberon-2, Oberon-07 dan Pascal.
Selain meninggalkan impak yang besar pada dunia bahasa pengaturcaraan, beliau turut memperkenalkan Hukum Wirth yang mengatakan perisian akan lebih cepat perlahan berbanding perkakasan yang semakin pantas. Beliau menyedari perisian menjadi semakin berat kerana pelbagai ciri yang mungkin tidak begitu diperlukan ditambah sehingga tidak boleh digunakan pada perkakasan sedia ada.
Kerana sumbangan beliau kepada dunia perkomputeran, Wirth menerima Anugerah Turing pada tahun 1984. Sebab kematian beliau tidak diketahui pada waktu artikel ini ditulis.
3. Tan Sri Ananda Krishnan – Pengasas Maxis, Astro dan MEASAT
Tan Sri Ananda Krishnan, tokoh perniagaan terkemuka dan yang juga merupakan antara hartawan terkaya di Malaysia meninggal dunia November lalu pada usia 86 tahun. Pemergian beliau disahkan oleh syarikat pegangan pelaburannya, Usaha Tegas Sdn Bhd tetapi sebab kematian masih belum diumumkan.
Ananda Krishnan dikenali sebagai pengasas dan pengerusi beberapa syarikat besar seperti Maxis Bhd, Astro Malaysia Holdings Bhd, MEASAT Satellite Systems dan Bumi Armada Bhd. Beliau juga disenaraikan sebagai individu ke-6 terkaya di Malaysia dan ke 667 di dunia oleh Forbes dengan nilai kekayaan bersih sebanyak $5.1 bilion (RM22.7 bilion).
Ananda dilahirkan di Brickfield, Kuala Lumpur pada tahun 1938dan menerima pelajaran awal di Sekolah Tamil Vivekananda Kuala Lumpur dan kemudiannya di Victoria Institution. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Mudanya (Kepujian) daripada Universiti Melbourne, Australia sebelum melanjutkan pelajaran ke tahap Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Harvard. Mendiang meninggalkan tiga orang anak.
4. Shigeichi Negishi – Pencipta Karaoke
Pencipta mesin karaoke Shigeichi Negishi meninggal dunia Mac lalu . Beliau mencipta mesin karaoke pada tahun 1967 selepas mendapat idea menghasilkan mesin yang membolehkan sesiapa sahaja menyanyikan lagi kegemaran mereka apabila diperlukan.
Shigeichi Negishi mempunyai tabiat mendengar rancangan radio Pop Songs without Lyrics setiap pagi di Jepun yang disiarkan secara minus one di Jepun. Pada satu pagi beliau ditegur kakitangan syarikat Nichiden Kogyo dimana beliau bekerja kerana menyanyi seorang diri ketika memasuki pejabat. Beliau kemudian mendapat idea menggunakan rakaman pita 8 trek siaran Pop Songs without Lyrics yang kemudian digabungkan dengan sistem speaker, mikrofon dan mesin kutipan wang. Dengan mesin ini beliau boleh menyanyi dengan sokongan muzik latar belakang apabila diperlukan.
Karaoke ialah gabungan dua perkataan “kara” untuk kosong dan “oke” untuk orkestra. Mesin karaoke pertama yang dihasilkan oleh Shigeichi ialah Sparko Box dengan lampu berkelip di hadapan dan pemain pita 8 trek yang boleh ditukar mengikut lagu yang ingin dimainkan. Ia hadir dengan buku lirik yang memastikan lagu dinyanyikan dengan betul. Pengguna hanya perlu membayar 100 Yen untuk satu lagu menggunakan Sparko Box.
Walaupun beliau adalah pencipta mesin karaoke, Shigeichi Negishi tidak pernah menerima sebarang keuntungan kerana beliau tidak pernah mempatenkan rekaan disebabkan proses yang terlalu rumit serta mahal.
5. Kabosu – Anjing Yang Menjadi Meme Doge
Kabosu, anjing menjadi asas kepada meme popular Doge telahpun mati pada bulan Mei di usia 18 tahun. Pemilik beliau Atsuko Sato mengatakan Kabosu meninggal dunia kerana telah lama sakit dengan pengumuman dilakukan menerusi laman Instagram.
Anjing dari baka Shiba Inu ini mula menjadi meme selepas gambarnya dikongsi di blog milik Atsuko Sato pada tahun 2010. Ia diambil oleh Atsuko Sato dari sebuah tempat perlindungan haiwan selepas pusat ternakan anjing milik pemilik asal Kabosu telah ditutup. Kabosu ialah nama sejenis limau yang digunakan dalam masakan di Jepun.
Gambar Kabosu kemudiannya tersebar ke Reddit dan semenjak itu ia menjadi imej yang sinonim dengan meme doge. Ekspresi wajahnya yang seakan manusia membuatkannya dengan pantas tersebar ke semua sudut internet .Kepopularan beliau juga menjadi asas kepada dua mata wang kripto Dogecoin dan Shiba Inu.
6. Susan Wojcicki – Mantan CEO YouTube dan Tokoh Penubuhan Google
Susan Diane Wojcicki yang memegang jawatan CEO YouTube dar tahun 2014 hingga 2023 telah meninggal dunia Ogos lalu pada usia 56 tahun disebabkan kanser.
Mendiang Wojcicki terlibat dalam penubuhan Google pada tahun 1998 apabila menyewakan garaj milik beliau di Menlo Park untuk dijadikan pejabat oleh pengasas Google. Beliau turut menjadi pengurus pemasaran pertama Google pada tahun 1999, dan kemudiannya mengetuai perniagaan pengiklanan dalam talian dan perkhidmatan video.
Selain itu Wojcicki ialah insan yang mencadangkan agar Google membeli YouTube pada tahun 2006. Beliau dilantik sebagai CEO pada 2014 dan meletakkan jawatan pada Februari 2023 tetapi pada waktu tersebut sebab tidak diberikan tetapi kini didedahkan bagi mendapatkan rawatan.
7. Gordon Bell – Pencipta Minikomputer
Komputer moden pertama dunia ialah ENIAC dengan ia seberat 27 tan dan memerlukan ruang lantai sebesar 1800 kaki persegi. Kerana saiznya, idea komputer peribadi (PC) adalah dianggap mustahil. Jalan ke arah terciptanya PC mula menjadi kenyataan dengan terciptanya minikomputer. Penciptanya Gordon Bell telahpun meninggal dunia 17 Mei lalu akibat penyakit paru-paru berair pada usia 89 tahun.
Gordon Bell dilahirkan pada tahun 1934 di Missouri, Amerika Syarikat. Sejak dari awal beliau terlibat dalam perniagaan peralatan elektrik milik bapa beliau sebelum menerima ijazah sarjana dalam kejuruteraan elektrik dari Massachusetts Institute of Technology.
Ketika bertugas di Digital Equipment Corporation (DEC) beliau terlibat dalam menghasilkan minikomputer PDP-8 yang merupakan minikomputer pertama yang berjaya terjual dalam jumlah yang tingi serta dijual pada harga mampu milik $18,000 sebuah. PDP-8 dilabel sebagai minikomputer kerana bersaiz 10.5 x 19 x 24 inci sahaja. Kemajuan teknologi minikomputer membuka jalan kepada terciptanya PC desktop lebih kecil dan kini komputer mudah alih di tangan anda sekarang.
8. Robert Dennard – Pencipta DRAM
Robert Heath Dennard, insan yang mencipta DRAM dan merupakan mantan penyelidik di IBM telah meninggal dunia 23 April lalu pada usia 91 tahun. Beliau memulakan kerjaya di IBM pada tahun 1958 dan terlibat dalam pembangunan komputer-komputer awal.
Pada tahun 1977, beliau menemui cara menyimpan satu bit digital di dalam satu transistor. Ini merupakan permulaan kepada teknologi Dynamic Random-Access Memory (DRAM) yang kini digunakan pada kesemua komputer, telefon pintar, tablet, jam tangan pintar dan pelbagai lagi peranti elektronik yang memerlukan memori yang disimpan sementara. Secara tidak langsung beliau turut membuka pintu kepada penciptaan memori Flash dan SRAM.
Selain mencipta DRAM, beliau juga terkena dengan Penskalaan Dennard (Dennard Scaling) yang menyatakan apabila transistor semakin kecil, ketumpatan kuasanya kekal malar supaya penggunaan kuasa kekal berkadar terus dengan luas.
9. Ward Christensen– Pencipta Bulletin Board System (BBS)
Twitter, mIRC, forum, Yahoo Messenger, Facebook, Twitter, WhatsApp adalah platform pemesejan yang digunakan sejak internet dicipta pada tahun 1989. Asal usul kesemua platform ini boleh dijejak kembali kepada Bulletin Board System (BBS) yang wujud sejak zaman internet proto. Ward Christensen salah seorang pencipta BBS telah meninggal dunia di usia 78 tahun pada bulan Oktober.
Ward Christensen dan Randy Suess mencipta BBS pada tahun 1978 yang membenarkan individu dengan komputer melakukan sambungan kepada sistem menggunakan talian telefon. Menerusi BBS fail dapat dimuat naik dan dimuat turun. Terdapat perkhidmatan papan mesej dan juga bilik berborak bagi melakukan perkongsian dengan pengguna BBS yang lain. Antara penggunaan awal BBS ialah berkongsi perisian-perisian awal dan juga melihat sama inventori buku yang boleh dipinjam daripada perpustakaan awam.
Semasa hayat beliau, Christensen bertugas di IBM dari tahun 1968 sehingga beliau bersama pada tahun 2012. Kerana sumbangan beliau kepada sistem telekomunikasi menggunakan PC, Christensen dan Suess menerima anugerah Pioneer Award daripada Electronic Frontier Foundation.
10. Richard Slayman – Penerima Ginjal Khinzir Pertama
Mac lalu Richard Slayman dari Massachusetts menjadi manusia hidup pertama menerima ginjal khinzir. Tetapi malang sekali bulan Mei, beliau telahpun meninggal dunia. Namun doktor dari Massachusetts General Hospital yang melakukan pembedahan xenotransplan ke atas beliau berkata kematian tidak disebabkan oleh komplikasi dengan organ yang diterima.
Beliau menghidap penyakit kerosakan ginjal tahap akhir dan menghadapi masalah mendapatkan organ gantian disebabkan faktor usia. Doktor dari Massachusetts General Hospital menjadikan beliau manusia hidup pertama menerima ginjal khinzir yang telah disunting gen bagi membolehkan ia sesuai digunakan oleh manusia. Selepas lebih seminggu, organ didapati berfungsi dengan normal tanpa tanda penolakan.
Sebelum Slayman, dua pemindahan ginjal khinzir ke tubuh manusia dilakukan tetapi penerimanya sudah mengalami kematian otak. Selepas dua minggu organ dikeluarkan semula dan mereka meninggal dunia.
Ginjal ialah organ tubuh utama pertama yang berjaya dipindahkan daripada tubuh satu manusia ke seorang lagi penerima manusia pada Disember 1954. Kemudian diikuti pula oleh hati, jantung dan pankreas. Walaupun teknologi sudah wujud hampir 70 tahun, ia masih belum mampu menyelamatkan nyawa semua pesakit yang memerlukan organ kerana kurangnya penderma.