Carian
Nothing OS 3.0 Mungkin Adalah Kemas Kini Terakhir Untuk Nothing Phone (1)
December 14, 2024 Fahim Zahar

Bulan ini, Nothing berjaya menunaikan janji mereka iaitu untuk memberikan tiga peranti Nothing lain selepas Nothing Phone (2) dan Phone (2a) menerima kemas kini Nothing OS 3.0 berasaskan Android 15. Minggu ini secara berperingkat selepas CMF Phone 1 dan Nothing Phone (2a) Plus menerima kemas kini sama, kini giliran Nothing Phone (1) pula.

Memandangkan Phone (1) dilancarkan pada tahun 2022 dengan Nothing OS 1.0 berasaskan Android 12, kemas kini ini mungkin adalah yang terakhir untuknya. Ini akan melengkapkan janji Nothing yang memberikan Phone (1) kemas kini Android selama 3 tahun. Walau bagaimanapun, kemas kini masih lagi dalam bentuk beta dengan versi stabil akan tiba pada tahun hadapan.

Walaupun Nothing OS 3.0 berasaskan Android 15 untuk Phone (1) ini adalah kemas kini besar yang terakhir, Nothing masih ada komitmen satu tahun lagi untuk terus memberikan kemas kini tampalan sekuriti.

Dengan kemas kini ini, Phone (1) turut akan dapat menikmati pengalaman AI baharu. Nothing OS 3.0 menawarkan talam aplikasi AI, widget pembaca berita, aplikasi Nothing Gallery dengan ciri carian AI, antaramuka baharu yang lebih kemas dan juga penggunaan font San Serif berbanding NDot.

Tahun hadapan, Nothing dijangka akan hadir dengan tiga peranti baharu. Salah satu adalah Nothing Phone (3) dengan Nothing OS yang mempunyai integrasi pembantu maya AI.

Komen