Cari @ Amanz

Internet menjadikan dunia semakin kecil. Penggunaan media sosial di Malaysia contohnya memudahkan rakyat jelata berinteraksi dengan menteri dan wakil rakyat mereka tanpa batasan protokol. Rungutan boleh dihantar kepada wakil rakyat melalui WhatsApp dan dua tanda biru akan memberitahu anda yang berhormat sudah menerima pesanan anda. Kami sendiri pernah melaporkan kerosakan jalan raya kepada wakil rakyat kami dan jalan tersebut dibaiki dengan pantas. Yang berhormat sendiri menjawab tweet yang dihantar bagi memaklumkan beliau menerima aduan kami. Media sosial melakukan revolusi bagaimana negara diperintah dengan Dato’ Seri Najib Razak sendiri menggunakannya untuk mendengar pendapat kita semua sebelum membentangkan belanjawan.

Raja-Bansah

Di Ghana ada seorang raja yang membuktikan anda memang boleh melakukan apa sahaja melalui internet. Raja Bansah menggunakan Skype untuk memerintah suku Hohoe beliau dari Jerman. Baginda datang ke Jerman untuk belajar dan mengambil keputusan untuk menetap di sini. Pada tahun 1987 nenda baginda yang juga raja meninggal dunia. Raja Bansah dinobatkan menjadi raja pada tahun 1992 kerana bapa dan abang beliau tidak dirasakan tidak layak mengambil alih takhta kerana kidal. Bagi suku Hohoe manusia kidal tidak layak memerintah kerana dianggap tidak boleh dipercayai.

Sungguhpun sudah menjadi raja, Raja Bansah enggan kembali ke Ghana dan memerintah menggunakan telefon. Dengan adanya perkhidmatan internet baginda kini memerintah negara beliau menggunakan Skype. Kerana perbezaan zon masa beliau terpaksa berjaga pada waktu malam untuk membincangkan masalah negara. Baginda hanya pulang enam tahun sekali untuk mencemar duli dengan 200 000 rakyat baginda. Yang menariknya tentang Raja Bansah ialah di Jerman beliau bekerja sepenuh masa sebagai pengurus begkel membaiki kereta di Jerman dan hidup seperti rakyat biasa di sana. Beliau hanya hidup sebagai seorang bangsawan apabila berada di Ghana.

Yang menarik bagi kami ialah walaupun Malaysia ialah negara Koridor Raya Multimedia dan mengumumkan kerajaan tanpa kertas pertama dunia, pemerintah pertama yang menggunakan IT sepenuhnya untuk mengurus negara ialah seorang raja Ghana di Jerman. Raja yang juga seorang pomen kereta.

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd