Selamat tinggal 2016 dan selamat datang kepada 2017. Dengan kedatangan tahun baru ini kami ingin memakai topi Nujum Pak Belalang/Nostradamus dan meramalkan sepuluh perkara yang harus wujud pada peranti sepanjang tahun ini. Tahun lalu kami menulis artikel yang sama dan agak berbangga enam ramalan menjadi kenyataan. Berikut ialah ramalan sepuluh fungsi yang harus wujud pada peranti untuk tahun ini.
01 – Penggunaan Skrin AMOLED Lebih Meluas
Skrin AMOLED amat sinonim dengan peranti keluaran Samsung kerana mereka adalah pengeluar terbesar skrin i9n ni. Menarik sekali peranti pertama dengan skrin AMOLED ialah N85 keluaran Nokia. Harga skrin ini adalah lebih mahal jika dibandingkan dengan LCD biasa. Tetapi selepas lapan tahun kos penghasilan sudah menurun dan kini hampir setanding dengan LCD biasa.Ini adalah penyebab mengapa model terkini iPhone tahun ini dijangka akan akhirnya menggunakan skrin AMOLED.
AMOLED memaparkan warna lebih terang, warna hitam lebih gelap dan kurang menggunakan bateri. Samsung, LG, Sharp dan konsortium pengeluar China (Huawei, Oppo, Vivo) akan meningkatkan pengeluaran AMOLED tahun ini. Kami meramalkan tahun 2017 ialah tahun AMOLED akan akhirnya menjadi skrin pilihan pada peranti mudah alih
02 – Dwi-Kamera
Penggunaan dwi-kamera pada peranti utama mula dilihat secara meluas pada tahun 2016. Ini amat tidak dijangka oleh kami kerana sebelum ini sistem dwi-kamera dianggap gimik yang gagal. Huawei P9, Huawei Mate 9, iPhone 7 Plus dan Xiaomi Redmi Pro ialah empat peranti utama yang dilengkapi sistem kamera berkembar. Tahun 2017 kami merasakan penggunaan dwi-kamera akan semakin meluas dan digunakan pada peranti kelas pertengahan.
03 – Kemampuan Kalis Air Menjadi Standard
Tahun lalu sistem pengimbas cap jari yang sebelum ini dianggap fungsi peranti utama mula muncul pada peranti kelas permulaan. Dengan adanya sistem imbasan biometri, pengguna lebih yakin dengan keselamatan maklumat peribadi mereka dari diakses. Ini menjurus kepada masalah melibatkan Apple yang enggan membantu pihak berkuasa menyahsulit sistem TouchID iPhone 5C milik pengganas San Bernadino.
Tahun 2017 kami meramalkan sistem kalis air IP68 akan mula digunakan pada peranti kelas pertengahan setelah sekian lama hanya wujud pada peranti utama. Samsung terlebih dahulu memilukan langkah ini dengan peranti Galaxy A 2017 yang kesemuanya kalis air IP68. Oleh itu kewujudan peranti utama yang tidak kalis air tidak akan lagi dapat diterima pada tahun ini.
04 – Sistem OIS Pada Kamera Hadapan
Kamera hadapan pada awalnya disertakan pada peranti untuk tujuan panggilan video. Panggilan video masih belum digunakan dengan kerap sebaliknya kamera hadapan lebih kerap digunakan untuk mengambil gambar selfie. Kamera hadapan HTC 10 tahun lalu dilengkapi sistem OIS. Kualiti video yang dirakam melaluinya adalah yang terbaik pernah kami lihat pada peranti pintar. Bagi mereka yang gemar menggunakan aplikasi seperti Snapchat, HTC 10 ialah peranti paling sesuai untuk anda.
Dengan kepopularan penstriman secara langsung yang semakin meningkat, kamera hadapan dengan OIS akan menjadi semakin perlu. Facebook Live dan Periscope telah digunakan untuk laporan berita secara langsung. Kami dapat merasakan tahun ini selain sensor kamera hadapan yang lebih besar, sokongan OIS akan menjadi fungsi wajib pada peranti utama.
05 – Sistem Pengecasan Yang Lebih Pantas
Tahun lalu sokongan pengecasan pantas mula hadir pada peranti kelas pertengahan. Pihak Qualcomm misalnya membawakan sokongan QuickCharge 3.0 pada pemproses kelas permulaan seperti Snapdragon 430. Malang sekali peranti-peranti yang menggunakan pemproses ini masih dihadkan kepada QuickCharge 2.0 kerana penggunaan port MikroUSB.
Tahun 2017 kami meramalkan sistem pengecasan yang lebih pantas dari 5V/2A yang digunakan oleh QuickCharge 2.0, Adaptive Quick Charging, TurboPump dan PumpExpress 2.0 akan digunakan lebih meluas. QuickCharge 4.0 akan digunakan pada peranti Snapdragon 835, tiada sebab format pengecasan lama QuickCharge 2.0 perlu diteruskan. Masa ialah emas dan pengecasan yang lebih pantas harus menjadi standard baru.
06 – Kemampuan Audio Lebih Tinggi
Kami mengkategorikan diri kami sebagai seorang audiophile. Tahun lalu Axon 7, Mi Mix dan HTC 10 yang kami ulas “membuka telinga” kami kepada dunia audio beresolusi tinggi. Ia membuatkan kami sudah tidak boleh lagi mendengar muzik pada resolusi biasa. USB-C akan mula menggantikan bicu audio 3.5 mm tahun ini dan ini membuka peluang kepada aksesori audio yang mempunyai kemampuan bunyi yang baik.
Tiada gunanya membuang bicu audio sekiranya bunyi yang dihasilkan masih di takuk lama. Oleh itu pada tahun ini kami meramalkan penggunaan cip audio khas pada peranti utama akan menjadi realiti. Apple mungkin boleh mula menggunakan kepakaran Beats. Samsung boleh menggunakan kepakaran Harman.
07 – Storan Minimum Lebih Besar
Saiz sensor lebih besar dengan kemampuan merakam pada resolusi 4K memerlukan storan yang besar. Tahun lalu Apple melakukan langkah bijak menghentikan model peranti dengan storan minimum 16 Gigabyte. Dari pengalaman peribadi 32 Gigabyte adalah saiz yang cukup pantas tidak mencukupi untuk peranti dengan kemampuan rakaman video 4K.
Pada waktu yang sama saiz sistem operasi dan aplikasi terpasang akan memakan ruang storan yang banyak sejak hari pertama ia dibeli. Kami berharap tahun ini 32 Gigabyte akan menjadi storan terkecil untuk peranti kelas pertengahan. Pada peranti utama pula 64 Gigabyte akan menjadi storan terkecil. Bagi peranti yang tidak menyokong penambahan storan menggunakan kad MikroSD pula, storan minimum harus sekali ganda dari yang kami senaraikan di atas.
08 – RAM Minimum 4 Gigabyte
Kami meramalkan RAM minimum pada peranti Android sepanjang 2017 akan meningkat ke 4 Gigabyte. Ini memandangkan Asus Zenfone AR dilengkapi RAM sebesar 8 Gigabyte. Tahun lalu OnePlus 3 dan LeEco Le Pro 3 dilengkapi RAM sebesar 6 Gigabyte. Saiz RAM yang tinggi sekiranya dipadankan dengan sistem pengurusan memori yang baik akan memastikan kelancaran peranti apabila pelbagai aplikasi dilancarkan serentak.
09 – Butang Navigasi Atas Skrin
Butang navigasi atas skrin diperkenalkan sejak Android Ice Cream Sandwich. Dengan penggunaan butang atas skrin, kedudukan butang navigasi boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Android Nougat pula menyokong sehingga sembilan butang navigasi di bahagian bawah skrin.
Butang navigasi kapasitif yang wujud sekarang hanya menyokong tiga butang yang kerap kali tidak menyokong kustomasi oleh pengguna. Trend peranti “skrin semua” yang dimulakan oleh Mi Mix akan menjadi ikutan pengeluar lain dan kami yakin ini akan mempercepatkan kepupusan butang navigasi kapasitif pada tahun ini.
10 – Pelancar Yang Lebih Menghampiri Android Stock
Tahun lalu kami yakin penggunaan Android Stock akan meningkat. Ramalan kami menyimpang tetapi apa yang berlaku ialah pengeluar mula menggunakan sistem operasi Android dengan hanya sedikit perubahan. Hasilnya ialah antaramuka pihak ketiga yang menghampiri Android Stock. Contoh terbaik ialah seperti yang dilakukan Lenovo, OnePlus,CynaogenMod dan Sony.
Tahun ini kami yakin trend ini akan berterusan kerana rekaan Android Stock adalah jauh lebih kemas berbanding pelancar pihak ketiga. Dengan jumlah kustomasi yang sedikit, di atas kertas mengemaskini Android ke versi lebih baru akan menjadi lebih mudah. Impian kami melihat Android Stock digunakan dengan meluas telah berkubur tetapi penggunaan pelancar yang menggunakan majoriti elemen Stock akan menjadi kenyataan tahun ini.
Sehingga kini, beberapa pengeluar telah memperkenalkan telefon pintar baru mereka, termasuk Sony dan juga Huawei. Pihak Samsung pula akan memperkenalkan Galaxy S8 secara rasminya pada minggu hadapan. Bagi anda, apakah lagi ciri-ciri yang ingin anda lihat pada peranti baru tahun ini?