Cari @ Amanz

Dengan pelancaran Galaxy S8 dan Galaxy S8 Plus, Samsung mahu menunjukkan kepada dunia bahawa mereka masih lagi mampu menghasilkan peranti yang menarik. Dengan moto “nyahkotakkan peranti anda”, kedua-dua model peranti utama mereka ini melakukan anjakan paradigma dari segi rekaan peranti yang pernah mereka hasilkan sebelum ini.

Ini hanyalah evolusi seterusnya selepas menghasilkan peranti melengkung Galaxy Round dan peranti dwi-skrin sisi Galaxy S7 Edge. Di bawah ialah senarai lima perkara menarik yang kami temui pada Samsung Galaxy S8 dan S8 Plus.


01 – Rekaan Lain Dari Yang Lain

Akui sahaja rekaan “nyahkotak” peranti ini amat unik dan menarik perhatian anda pertama kali anda melihatnya. Skrin infiniti memanjang dipadankan dengan bahagian dagu dan dahi yang kecil. Rekaan hampir semua-skrin yang pernah suatu ketika dianggap hanya fiksyen kini menjadi tampak boleh dipegang di dalam tangan anda.

Pasaran sekarang dipenuhi beribu model peranti pintar yang mempunyai rekaan yang sama di antara satu sama lain. Ada pengeluar yang mengekalkan rekaan yang sama tahun demi tahun dengan perubahan yang kecil bagi memaksa pengguna membeli model terbaru. Tindakan berani Samsung ini sekadar mengikut trend semasa yang mahukan peranti dengan rekaan lebih futuristik. Bagi mereka yang sudah bosan dengan rekabentuk peranti semasa, Galaxy S8 ialah nafas baru yang telah lama dinantikan.


02 -Skrin HDR

Galaxy Note 7 ialah peranti Samsung pertama yang menyokong paparan HDR. Semasa tempoh ulasan tidak terdapat banyak kandungan yang menyokong HDR boleh dicuba. Hampir setengah tahun selepas Note 7 pupus dari pasaran, ia kini digunakan pada S8. Perkhidmatan penstriman Netflix dan Amazon mempunyai kandungan HDR. Kami sendiri menonton kandungan HDR menerusi konsol PlayStation 4 di rumah dan harus kami akui ia membuka dimensi baru dunia visual.

Dengan sokongan pada S8, kini kandungan dengan kualiti visual terbaik boleh ditonton di mana-mana sahaja. Menonton kandungan HDR ialah seperti kali pertama menonton Blu-Ray setelah lama menonton DVD. Selepas menonton kandungan HDR sukar untuk kembali ke kandungan biasa. Oleh itu skrin HDR pada Galaxy S8 ini amat mengujakan bagi kami.


03 – Akhirnya Butang Navigasi Atas Skrin

Di dalam artikel “Ramalan Trend Peranti Sepanjang 2017” kami meramalkan penggunaan butang navigasi atas skrin akan digunakan secara meluas pada peranti Android. Samsung akhirnya menghasilkan peranti dengan skrin navigasi atas skrin yang telah lama kami mahukan. Kali terakhir ia dilakukan Samsung ialah pada 2011 dengan Samsung Galaxy Nexus.

Mengapa kami lebih menggemari sistem navigasi atas skrin? Pertama sekali ia boleh dikustomasi mengikut keperluan. Susunan butang boleh ditetapkan mengikut kehendak peribadi. Kami lebih selesa dengan butang back di bahagian kanan butang home. Bagi yang tidak menyukai susunan ini ia boleh ditukar. Kebebasan melakukan pilihan ini adalah baik untuk pengguna.


04 – Antaramuka Baru Seakan Pixel

Banyak perubahan telah dilakukan oleh Samsung sejak antaramuka TouchWiz diperkenalkan. Samsung dahulunya agak tegar untuk mengekalkan rekaan antaramuka mereka. Tetapi setelah mendengar rungutan pengguna, dibelenggu masalah sela masa dan pasaran yang kini mahukan rekaan lebih minimalis TouchWiz digantikan dengan Grace UX.

Samsung Galaxy S8

Grace UX kini digantikan dengan antaramuka yang semakin minimalis dan tidak melampau untuk mengatakan lebih menghampiri pelancar Google Pixel. Tiada butang untuk talam aplikasi. Sebaliknya tatalan dari bawah skrin ke atas akan melancarkannya dengan pantas. Menatal skrin ke kanan akan melancarkan pembantu maya Bixby yang mempunyai persamaan dengan Google Assistant. Antarmuka S8 masih lagi belum stock sepenuhnya tetapi semakin hampir kepada rekaan asal Google. Sebagai peminat Android Stock kami suka dengan apa yang kami lihat dengan antaramuka Galaxy S8 ini.


05 – Tiada Lagi Bonjol Kamera

Kegilaan pengeluar menghasilkan peranti paling nipis adalah menjengkekan. Pada awalnya ia menarik kerana peranti-peranti pintar awal harus diakui sedikit tebal. Tetapi kini pada hemat kami peranti menjadi terlalu nipis sehingga kurang selesa dipegang. Bagi mengejar status “peranti ternipis” muncul fenomena baru bonjol kamera. Bonjol kamera membuatkan mustahil untuk meletakkan peranti rata pada permukaan meja tanpa menggunakan kerangka.

Pada S7 tahun lalu bonjol berjaya dikurangkan berbanding S6. Tahun ini dengan S8 bonjol kamera akhirnya berjaya dihapuskan sepenuhnya. Ini bukan sahaja memastikan peranti boleh diletakkan rata pada permukaan satah tetapi mengurangkan risiko lensa kamera tercalar.


06 – Masih Menyokong Bicu Audio 3.5 mm

Kami sudah mengulas beberapa peranti yang tidak dilengkapi bicu audio 3.5mm. Ia mungkin I/O yang sudah berusia. Ya ia bukanlah teknologi terkini. Tetapi bagi majoriti pengguna, bicu audio 3.5mm masih lagi sebuah keperluan. Terima kasih kepada Samsung kerana mempunyai “keberanian” sebenar untuk mengekalkannya pada Galaxy S8.

Peranti S8 masih boleh dicas dan disambungkan kepada sistem audio berwayar secara serentak dengan mudah. Ini tidak seperti peranti popular keluaran pesaing Samsung yang tidak perlu disebut namanya.


07 – Sistem Imbasan Wajah Tidak Mendiskriminasikan Penguna Berkaca Mata

Sistem imbasan iris mata digunakan pada Note 7. Dengan menggunakan teknologi biometri, kandungan peranti akan terasa lebih selamat. Fungsi ini digembar-gemburkan Samsung. Tetapi ikhlas kami katakan fungsi yang tidak berfungsi dengan pantas. Menyahkunci agak perlahan dan ia akan gagal mengenali pengguna sekiranya mereka berkaca mata.

Pada majlis pelancaran S8 pagi tadi demo sistem imbasan wajah dilakukan dengan seorang pengguna berkaca mata. Sebagai manusia bermata empat yang terkilan dengan “diskriminasi” Note 7, sistem imbasan wajah ini amat dialu-alukan.


08 – Kamera Hadapan Dengan Auto Focus

Kamera hadapan biasanya dianaktirikan berbanding kamera utama pada bahagian belakang. Hanya selepas pengambilan gambar selfie menjadi popular hampir lima tahun yang lalu, pengeluar mula mengambil berat kualiti kamera hadapan yang digunakan. Kamera hadapan bukan sahaja penting untuk selfie tetapi kini turut perlu untuk pengguna yang menggunakan Snapchat dan penstriman langsung Instagram Live.

Kamera hadapan Galaxy S8 kini mempunyai sokongan auto fokus yang mampu mengenali wajah. Apabila mengambil selfie wajah akan kelihatan sentiasa terfokus dengan baik. Video Snapchat dan Instagram lebih berkualiti sekaligus dapat meningkatkan jumlah pengikut yang kini menjadi komoditi selebriti atas talian.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd