Penanti telah berakhir pagi tadi kesemua misteri mengenai peranti yang dilancarkan Apple terjawab. iPhone 8, 8 Plus dan X dilancarkan serentak bagi menunjukkan hala tuju rekaan Apple selepas ini. Kesemua maklumat yang tertiris nyata adalah sahih. iPhone X mencuri perhatian kerana perubahan rekaan yang drastik serta penggunaan skrin OLED HDR. Bagi yang ketinggalan acara pelancaran ketiga-tiga peranti, ini ialah senarai 10 perkara menarik yang diperlihatkan pada iPhone X dan iPhone 8 pagi tadi.
Skrin OLED HDR
Skrin OLED akhirnya digunakan kepada peranti iPhone walaupun teknologi ini sudah digunakan pada N85 pada tahun 2008. Dengan penggunaan skrin OLED paparan pada iPhone X lebih hidup dan terang berbanding pada model iPhone 8. Selain daripada itu ia menjimatkan penggunaan bateri dan lebih mudah dibaca di bawah cahaya matahari. Akhir sekali ia menyokong penstriman kandungan HDR yang kini lebih meluas dan baru sahaja diaktifkan pada peranti Android beberapa bulan yang lalu.
Skrin True Tone
Skrin pada iPhone 8 dan 8 Plus masih lagi menggunakan teknologi IPS LCD tetapi telah dipertingkatkan. Teknologi True Tone yang terlebih dahulu digunakan pada iPad Pro 9.7 kini digunapakai pada iPhone. Menurut Apple skrin True Tone akan mengubah keterangan skrin dan tahap white balance warna bagi mengurangkan silau pada mata.
Pengecasan Pantas Dan Tanpa Wayar
Seperti yang diura-urakan selama ini, pengecasan pantas dan tanpa wayar kedua-dua disokong pada ketiga-tiga model baru iPhone tahun ini. Bateri pada peranti boleh dicas sehingga 50% dalam masa hanya setengah jam. Pengecasan tanpa wayar pula menggunakan format Qi, yang menjadi standard semasa. Ini bermakna sekiranya anda mempunyai pengecas tanpa wayar Qi di rumah, ia boleh digunakan dengan iPhone terkini. Walaubagaimanapun pengecas pantas tidak disertakan dengan setiap pembelian. Ia harus dibeli secara berasingan
Portrait Lighting
Sistem potret mode yang diperkenalkan tahun lalu menerima penambaikan tahun ini dengan Portrait Lighthing. Melalui sistem yang disokong pada iPhone 8 Plus dan X ini, pelbagai sistem pencahayaan maya boleh dikenakan pada objek yang ingin diambil gambarnya. Antara mod pencahayaan yang diberikan ialah Natural Light, Contour Light dan Stage Light. Stage Light paling menarik kerana menukar latar belakang terus berubah menjadi hitam. Ini membolehkan gambar potret yang lebih pelbagai diambil tanpa menggunakan lampu profesional.
Rakaman 4K 60FPS dan 1080P 240 FPS
Jika Sony Xperia XZ Premium mempunyai fungsi rakaman gerak perlahan 960FPS 720P, iPhone kini mampu merakam video 4K pada tetapan 60FPS atau 1080P 240FPS. Ini sekaligus menjadikan iPhone 8 dan X peranti terawal menyokong tetapan 4K 60FPS di pasaran. Ini semua kerana penggunaan pemproses terkini Apple A11 Bionic yang akan kami bincangkan di bawah.
Pemproses Apple A11 Bionic
Apple A11 Bionic meneruskan inovasi Apple dan ini langkah terbesar mereka lakukan dalam teknologi pemproses. Ia pemproses pertama mereka dengan GPU M11 yang direka sendiri. Dua teras berkuasa tinggi dipadankan dengan empat untuk tugas ringan. Ini adalah evolusi selepas teknologi enam teras diperkenalkan pada Apple A10X Fusion. Perbezaan pertama ialah pada A10X Fusion tiga teras berkuasa tinggi dipadankan dengan tiga teras tugas ringan.
Kuasa memproses dikatakan meningkat sehingga 70% berbanding A10 Fusion tetapi dengan penjimatan tenaga bagi memastikan bateri bertahan dengan lebih lama. Tahun lalu iPhone 7 Plus ialah juara ketahanan bateri di Amanz walaupun saiz baterinya kecil. Kami teruja untuk melihat sama ada iPhone 8 dan X boleh melangkaui ketahanan iPhone 7 Plus.
Kuasa memproses yang lebih tinggi akan membolehkan aplikasi realiti bergabung dapat digunakan dengan lebih lancar. Tim Cook menegaskan realiti bergabung adalah tumpuan Apple berbanding realiti maya. Dengan ARKit dan A11 Bionic mereka mempunyai platform untuk menjadi peneraju teknologi realiti gabungan pada peranti mudah alih.
Dwi Kamera Dengan Dwi-OIS
iPhone X ialah peranti kedua selepas Samsung Galaxy Note 8 yang dilengkapi sistem dwi-kamera dengan dwi-OIS. Penggunaan sistem OIS pada kedua-dua lensa memastikan gambar yang diambil akan sentiasa stabil. Tiada masalah gegaran terutamanya apabila menggunakan sistem zoom optikal yang biasanya menggandakan gegaran ketika digunakan. Gambar yang diambil akan lebih tajam dan meletakkan iPhone sekali lagi sebagai peranti penggemar seni fotografi peranti mudah alih.
Face ID
Sistem imbasan wajah menggantikan TouchID sepenuhnya pada iPhone X. Ini ialah kali pertama ia tidak disertakan pada iPhone sejak 5S. Apple mengatakan sistem imbasan wajah mereka adalah yang tercanggih kerana mampu mengesan 30,000 titik di wajah. Ini sekaligus mengurangkan kebarangkalian ia ditipu menggunakan gambar dan kanta lekap seperti pada Galaxy S8 sebelum ini. Kandungan peranti kini lebih selamat dari dilihat oleh insan yang tidak diingini.
Sistem pembelajaran mesin Face ID pula mempelajari perubahan wajah pengguna. Ini bermakna sekiranya mereka membeli janggut seperti Wak Doyok dan memakai topi, Face ID tidak akan mempunyai masalah untuk mengenali wajah pengguna.
Animoji
Fungsi yang mungkin dipandang ringan oleh kebanyakan pengguna. Tetapi hakikatnya penggunaan emoji amat popular dan semakin popular. Saban tahun puluhan emoji baru diperkenalkan dan iOS akan menjadi sistem operasi awal yang menyokongnya.
Dengan Animoji, 12 emoji dapat dikustomasi dengan animasi pergerakan wajah sendiri. Bayangkan keseronokan yang dapat dihasilkan dengan animasi yang dihasilkan. Kami yakin ini ialah antara fungsi yang akan “dipinjam” peranti Android selepas ini.
Pembesar Suara Yang Dipertingkatkan
Tahun lalu iPhone 7 menyokong audio stereo. Dua pembesar suara digunakan bagi memberikan kesan audio yang lebih baik berbanding model sebelum ini. Pada iPhone 8 kekuatan pembesar suara stereo dipertingkatkan sebanyak 25%. Bagi mereka yang gemar menstrim kandungan YouTube dan Netflix, pembesar suara yang lebih lantang ini akan meningkatkan kenikmatan menonton.
Ini ialah sepuluh perkara menarik yang diperkenalkan pada iPhone 8 dan iPhone X pagi tadi. Adakah fungsi yang anda rasakan menarik tetapi tidak kami senaraikan? Sila nyatakan pendapat anda di ruangan komen.