Xiaomi Mi 11 adalah peranti pertama dunia yang dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 888. Ia adalah cip pertama Qualcomm yang direka dengan binaan 5nm, bersaing dengan Huawei HiSilicon Kirin 9000 dan Apple A14 Bionic. Untuk pasaran tempatan, cip 5nm kini boleh didapati pada peranti Huawei Mate 40, Samsung Galaxy S21 dengan cip Exynos 2100 dan iPhone 12 atau iPad Air cip A14.
Kebiasaannya, cip Qualcomm tidak dapat menandingi Apple. Walaupun skor AnTuTu dilaporkan sebelum ini tinggi, ada kerisauan pada isu memanas. Peranti ini turut menggunakan sistem pembesar suara Harmon/Kardon, pengimbas cap jari dalam skrin yang turut berfungsi sebagai pengimbas nadi dan banyak lagi perkara menarik. Mi 11 sudah pun tiba ke Makmal Amanz dan saya sudah menggunakan peranti ini untuk beberapa hari. Ini adalah artikel pandang pertama, mengenai pendapat awal saya terhadap peranti ini.
Spesifikasi
Xiaomi Mi 11 | |
---|---|
Skrin | 6.81″ AMOLED WQHD+ 1440 x 3200 Piksel, Warna 10-Bit, 120Hz, HDR10+, 1500 nits Corning Gorilla Victus |
Pemproses | Snapdragon 888 (5nm) |
Cip | 1 x 2.84 GHz Kryo 680 3 x 2.42 GHz Kryo 680 4 x 1.80 GHz Kryo 680 |
Cip Grafik | Adreno 660 |
RAM | 8GB |
Muatan Dalaman | 128GB/256GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | Utama 108 MP, f/1.9, 26mm, 1/1.33″, 0.8µm, PDAF, OIS Sudut Ultra Lebar 13 MP, f/2.4, 123˚, 1/3.06″, 1.12µm Makro 5 MP, f/2.4, 1/5.0″, 1.12µm gyro-EIS, HDR10+, 8K30FPS |
Kamera Swafoto | 20 MP, f/2.2, 27mm, 1/3.4″, 0.8µm 1080P60FPS, HDR |
Bateri | 4,600mAh Quick Charge 4+/PD 3.0 Turbo Charging Berwayar 55W Turbo Charging Nirwayar 50W Pengecasan Nirwayar Berbalik 10W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G Snapdragon X60 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin dengan pengimbas nadi |
Harga Jualan | Belum Diumumkan Lagi |
Skrin
Skrin Xiaomi Mi 11 menggunakan panel AMOLED bersaiz 6.81″ dengan resolusi WQHD+ 1440 x 3200 piksel. Ia juga akan bersaing dengan Oppo Find X3 kelak, kerana turut menyokong warna 10-Bit, HDR10+ dan kecerahan sehingga 1500 nits. Skrin peranti ini juga menyokong kadar segar semula 120Hz dengan kadar maklum balas sentuhan 480Hz. Teknologi kadar segar semula yang digunakan adalah mirip Xiaomi Mi 10T, iaitu AdaptiveSync yang boleh berubah-ubah dari 30Hz ke 60Hz kemudian ke 90Hz dan akhir sekali 120Hz. Paling menarik, kadar segar semula 120Hz ini turut boleh digunakan dengan resolusi WQHD+.
Nisbah skrin adalah 20:9, dilindungi dengan kaca Corning Gorilla Glass Victus, mempunyai sistem kecerahan Sunlight mode 3.0, sensor cahaya ambien 360 darjah, serta perlindungan mata yang diiktiraf SGS Eye Care Display Certification. DisplayMate turut memberi skor A+ untuk skrin peranti ini.
Skrin Mi 11 adalah antara skrin peranti mercu terbaik pernah saya lihat tahun ini. Memandangkan saya tidak menggunakan Galaxy S21 sebagai peranti harian saya, jadi sukar untuk saya bezakan di antara dua ini. Tetapi dalam perbandingan awal berdasarkan pengalaman penggunaan – Mi 11 mampu bersaing dengan Samsung Galaxy S21. Tiada masalah perwarnaan atau isu ghosting, HDR disokong di bawah format HDR10+ yang semakin popular disokong. Saya cuba menonton video HDR Netflix dan YouTube 2160p60fps HDR – ia sangat menakjubkan. Penggunaan di bawah matahari terik juga tidak bermasalah, semuanya dapat dilihat dengan jelas.
Pengimbas Cap Jari
Pengimbas cap jari yang digunakan adalah jenis bawah skrin. Mengejutkan, ia masih jenis optikal bukannya ultrasonik. Tetapi ia cukup pantas dan turut boleh berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Sensor yang digunakan adalah Sensor Ultra-Nipis Optikal Goodix IN-DISPLAY FINGERPRINT SENSOR. Walaupun Goodix mendakwa yang sensor ini boleh membaca nadi dengan tepat seperti penjejak kesihatan atau jam tangan pintar – ujian saya memperlihatkan data yang tidak tepat.
Tetapi, unit ulasan saya ini bukan unit yang akan dijual kelak. Jadi usah risau dengan ini, kerana Xiaomi sudah janjikan yang versi yang dijual nanti tidak akan ada masalah.
Rekaan
Xiaomi tidak menggunakan teknologi OLED terkini seperti yang akan digunakan pada Redmi K40, kerana kamera swafoto skrin berlubang pada peranti ini masih lagi di sisi atas bukan di bahagian tengah. Skrin juga melengkung ke dua-dua sisi untuk menawarkan rekaan yang lebih nipis. Peranti ini menggunakan rekaan modul kamera serba baharu, di mana modul tidak tebal dan menjengkelkan dan hanya ada satu lensa tebal seakan iPhone 12 atau Oppo Reno5.
Panel belakang adalah kemasan pusam, tetapi masih menangkap kotoran cap jari dan agak licin. Ia juga masih menyertakan sensor infra merah untuk dijadikan sebagai alat kawalan. Ia diletakkan di bahagian atas bersama-sama dengan lubang mikrofon dan kekisi pembesar suara. Di bawah pula ada port USB-C 2.0, slot kad sim, dan satu lagi kekisi pembesar suara. Di sisi kiri tiada apa-apa, tetapi di sisi kanan ada butang aras suara dan juga butang kuasa.
Variasi
Variasi yang akan ditawarkan di Malaysia adalah 8/128 GB dan 8/256 GB, di mana RAM adalah LPDDR5 dan storan dalaman adalah UFS 3.1. Tetapi Xiaomi katakan versi 12GB mungkin akan ditawarkan tidak lama lagi, mungkin versi Lei Jun?
Pengalaman Penggunaan
Cip pemprosesan adalah Snapdragon 888, yang mana dipadankan dengan GPU Adreno 660. Ia adalah cip lapan teras dari 1 teras 2.84 GHz Kryo 680, 3 teras 2.42 GHz Kryo 680 dan 4 teras 1.80 GHz Kryo 680. Cip ini adalah rekaan 5nm yang mana menjanjikan penggunaan kuasa yang lebih baik, lebih sejuk, lebih efisien dan secara teorinya lebih berkuasa dan jauh lebih lancar.
Kebiasaannya peranti Xiaomi apabila awal penggunaan, seperti dalam proses menetap, memasang aplikasi, pemindahan data – ia akan memanas, skrin kadar segar semula seakan tidak berfungsi dan masalah lengah masa akan berlaku. Tetapi Mi 11 apabila melakukan hal sedemikian, tiada sebarang masalah berlaku. Ia masih lancar dan peranti juga sejuk.
Dalam penggunaan sekitar tiga hari, peranti ini memberikan pengalaman sentuhan yang sangat baik. Skrin kadar segar semula 120Hz adaptif benar-benar membantu. Saya belum nenguji kemampuan multi-tugasan, tetapi peranti ini apabila menjalankan banyak aplikasi serentak – ia masih boleh dikendalikan dengan baik. Untuk itu, saya menggunakan aplikasi Don’t Kill My App untuk menguji kemampuan pengurusan memori. Skor yang diperoleh adalah 100% dalam ujian 3 jam.
Semasa saya memasang PUBG Mobile, ia dilihat mampu ditetapkan kepada tetapan grafik paling tinggi. Permua masih belum diuji sepenuhnya, tetapi dalam bermain permua Asphalt 9 selama 45 minit ia amat lancar, memuaskan, dan peranti tidak panas. Grafik juga cantik, kemas, tiada masalah pixelated di sisi. Ini adalah kerana cip Snapdragon 888 hadir dengan mod permua terbina iaitu Elite Gaming dan dibantu pula dengan Game Turbo peranti. Saya akan berikan pendapat lanjut dalam ulasan.
Skor Penanda Aras
Selama ini, Apple sentiasa mendahului. Kali ini dalam ujian saya sendiri – AnTuTu mempunyai skor yang sangat tinggi dan peranti tidak memanas pun. Belum lagi menggunakan kipas penyejuk untuk memastikan cip berfungsi pada suhu yang paling optimum.
Mi 11 unit saya ini, iaitu versi global memperoleh skor 680,690 melalui AnTuTu dengan suhu maksimum 38 darjah dan berakhir dengan suhu 34 darjah. Aplikasi penanda aras Geekbench 5 pula memperoleh skor 1100 untuk satu teras dan 3590 untuk multi-teras. Ini adalah skor yang agak hebat, malah jauh lebih hebat dari A14 Bionic dan Exynos 2100.
Semasa pelancaran Mi 11 di China Disember tahun lepas, Xiaomi memperlihatkan skor AnTuTu 745,942. Saya yakin itu adalah versi 12/256 GB dengan ujian pada tahap paling optimum. Kemudian versi China tiada GMS yang memakan banyak memori. Saya ada satu unit Mi 11 set/ China 12/256 GB – saya dapat katakan skor Xiaomi ketika pelancaran ini masuk akal. Unit pada saya ini menerima skor 706,784. Tetapi Geekbench 5 hanya 1118/3574 iaitu lebi kurang versi 8/128 GB yang saya uji ini.
Kamera
Xiaomi Mi 11 bukan peranti mercu utama Xiaomi, Mi 11 Pro dan Mi 11 Ultra masih belum didedahkan lagi. Oleh yang demikian, peranti ini mempunyai tetapan tri-kamera sahaja dari lensa utama 108 MP, f/1.9, 26mm, 1/1.33″, 0.8µm, PDAF, OIS + lensa sudut ultra lebar 13 MP, f/2.4, 123 darjah, 1/3.06″, 1.12µm dan lensa makro 5 MP, f/2.4, 1/5.0″, 1.12µm. Ia juga mempunyai sistem penstabilan hyro-EIS, mampu merakam video HDR10, rakaman 8K 30FPS atau gerak perlahan 240FPS 1080p.
Mi 11 turut memfokuskan kepada kemampuan video dengan sistem kecerdasan buatan yang mampu merekam video dengan kesan visual menarik, kawalan manual seakan Pro atau juga melangkau suntingan dan terus hadir dengan video yang kreatif. Antara fungsi yang ada adalah Ultra Night Video, Magic Zoom, Time Freeze atau Parallel World.
Kamera swafoto adalah lensa 20 MP, f/2.2, 27mm, 1/3.4″, 0.8µm yang mampu merakam video resolusi 1080 60fps, video HDR, Selfie Night mode atau gerak perlahan 120fps 720p.
1080P60FPS, HDR
Berikut adalah sampel gambar yang saya sempat ambil. Anda lihat dan cuba nilai sendiri. Saya akan jelaskan dalam ulasan akan datang. Jika anda teliti, gambar ini agak baik dengan warna yang tajam, butiran yang jelas, bokeh yang kemas dan juga kemampuan zum yang baik.
Bateri
Peranti ini menggunakan bateri 4600mAh dengan sokongan pengecasan pantas 55W Turbo Charge berasakan Quick Charge 4+. Ia juga menyokong pengecasan USB-PD 3.0 dan pengecasan nirwayar pantas 50W. Ia juga menyokong pengecasan nirwayar berbalik 10W.
Ujian ringkas memperlihatkan ketahanan sehingga 5 jam SOT untuk penggunana ekstrem. Jadi saya dapat jangkakan peranti ini tidak akan mempunyai masalah bateri.
Perisian
MIUI 12 masih lagi digunakan pada peranti ini. Tetapi ia berasaskan Android 11. Agak mengecewakan yang Xiaomi mengambil masa yang agak lama untuk menawarkan MIUI 12.5 yang sepatutnya mempunyai kemampuan yang lebih hebat dengan fungsi dan ciri lebih menarik.
Tetapi, sedikit pembaharuan dapat dilihat. Sudah semestinya yang pertama adalah fungsi dan ciri Android asli disertakan. Ia terus diintegrasikan dalam sistem. Sekain itu dengan fokus terhada penggunaan mirip Android asli, kerana peranti menggunakan Google Discover pada pelancar, Google Phone, Google Message dan Google Assistant berfungsi dengan baik.
Tidak dinafikan yang Xiaomi cuba sedaya upaya membaiki paparan notfikasi. Kini ada banyak mod dan jenis untuk pengguna berinteraksi dengan talam notifikasi. Ia memberikan pengalaman penggunaan Android asli dan iOS 14.
Peranti ini turut mempunyai fungsi Back Tap, yang mana sentuh dan ketuk manja di belakang peranti untuk mengakses sesuatu. Ini adalah fungsi yang ada pada Pixel dan iPhone.
Kesimpulan
Dalam penggunaan yang ringkas ini, Xiaomi Mi 11 memberikan pengalaman penggunaan yang sangat menarik. Sepanjang tiga hari penggunaan saya amat berpuas hati dan tiada rasa kecewa langsung. Skrin yang sangat cantik, kemampuan 120Hz yang luar biasa menjadikan ia sangat lancar dan pantas.
Bukan itu sahaja, kemampuan kamera juga mengejutkan. Saya belum boleh kongsi sampel video lagi, kerana masih dalam penilaian – tetapi nampaknya Xiaomi akhirnya mampu memberikan kemampuan videografimyang lebih baik. Fotografi juga dilihat lebih hebat dengan sistem kecerdasan buatan lebih pintar.
Akhir sekali cip pemprosesan Snapdragon 888 yang memberikan prestasi gila hebat dan membuatkan saya ternganga dan terkejut. Paling tidak saya sangka adalah peranti tiada masalah memanas yang serius.
Xiaomi Mi 11 akan dilancarkan di pasaran Malaysia pada hari ini, iaitu 25 Februari – 9 P.M. Xiaomi akan memberikan jaminan 2 tahun dengan 1 tahun perlindungan skrin. Untuk jualan di Malaysia, iaitu sama dengan versi global – pengecas disediakan di dalam kotak. Ini bermakna anda akan terima kotak yang besar. Pengecas yang diberikan adalah GaN 55W, tetapi jenis A-C bukan seperti kebanyakan pengecas GaN di pasaran yang menggunakan C-C.
Harga jualan masih tidak diketahui lagi. Tetapi di China harga 8/128 GB adalah sekitar bawah RM2500 sahaja. Jika harganya bawah RM3000, Mi 11 boleh mennewaskan siri Samsung Galaxy S21. Sama-sama kita nantikan malam ini.
Pro
- Skrin yang sangat cantik dan menakjubkan, serta 120Hz adaptif yang sangat lancar
- Kemampuan kamera yang menjanjikan pengalaman penggunaan seakan pro, tidak kira fotografi atau videografi
- Rekaan yang nipis, selesa di tangan dan binaan premium
- Prestasi yang sangat lancar dan tiada masalah memanas
Kontra
- Masih lagi MIUI 12 dengan banyak iklan dan aplikasi gendut
- Pembesar suara pada aras 100% tidak memelihara butiran yang baik dan sedikit pecah
- Walaupun ada sistem palm rejection sudah boleh ditetapkan secara manual dalam MIUI 12 – ia masih tidak cukup baik