Cari @ Amanz

Sesiapa Sahaja Yang Ada Nombor Telefon Anda Boleh Menggantung Akaun WhatsApp Anda

Link Copied!

Tahun 2021 ini orang ramai dikejutkan dengan polisi privasi baharu WhatsApp, yang mana mereka menyatakan data pengguna akan digunakan untuk tujuan pengiklanan di Facebook. Walaupun kecoh orang berpindah kepada Signal, Telegram, dan sebagainya – majoriti masih setia dengan WhatsApp. Mungkin strategi pengiklanan mereka berjaya? Sedangkan ciri dan fungsi WhatsApp adalah terhad jika pengguna tidak bersetuju dengan polisi baharu.

Tidak cukup dengan itu, WhatsApp sebenarnya ada satu lagi kerentanan sekuriti yang sangat merbahaya. Isu ini sudah lama ada dan sejak dari dulu lagi dan sesiapa sahaja boleh menganiaya sesiapa selagi WhatsApp tidak membaiki masalah ini. Sesiapa sahaja yang ada nombor telefon anda boleh menggantungkan akaun WhatsApp anda dari jauh tanpa anda sedari. Bagaimana? Ia adalah seperti anda tukar ke peranti baru, yang mana apabila anda log masuk dan tetapkan akaun WhatsApp anda – peranti lama akan keluarkan notifikasi yang WhatsApp sudah berjaya dilog masuk ke peranti lain. Itu tiada masalah kerana anda sendiri memiliki kad SIM dan menerima kod pengesahan.

Tetapi, orang yang ingin menganiaya anda boleh gunakan nombor telefon anda dan melakukan cubaan log masuk ke peranti lain. Ya, mereka tidak akan menerima kod pengesahan kerana tiada kad SIM. Tetapi mereka boleh cuba berkali-kali sehingga WhatsApp menggantung akaun anda tanpa memberikan sebarang notis. Konsep yang sama pada suatu ketika dahulu akaun WhatsApp boleh digantung jika menggunakan aplikasi versi modifikasi. Cubaan pertama mungkin kurang sejam, cubaan seterusnya akaun boleh digantung sehingga beberapa hari.

Menurut laporan, WhatsApp menafikan isu ini. Malah mereka hanya cadangkan gunakan pengesahan dua faktor sahaja. WhatsApp yang dimiliki Facebook kedua-duanya sama sahaja, konon jaga privasi dan sekuriti pengguna – tetapi ternyata tidak. Contoh aplikasi hasad mudah tersebar di WhatsApp, penipuan untuk mengambil-alih akaun, dan banyak lagi.

Baru-baru ini 11 juta pengguna Facebook di Malaysia data peribadi telah tertiris oleh Facebook. Antara data ini adalah nombor telefon. Walaupun kerentanan sudah ditampal, Facebook tidak akan memaklumkan pengguna berkaitan hal ini. Sebagai langkah keselamatan, semak data anda di laman Have I Been Pwned untuk ketahui adakah data peribadi anda tertiris di web.


Komen ()